Tuesday, September 29, 2020

kiSAH sERam public pHoNE nENek

 

sambungan kisah seram.

 

Hari ni 29 september 2020, hari selasa bersamaan 12 safar 1442H

 

Kisah ni berlaku pada tahun 1992 iaitu selepas hampir setahun aku menamatkan zaman sekolah. Aku dengan abangku hazla kononnya membuat xpdc motorsikal dari jb ke seremban, menuju rumah kak uda. Untuk pengetahuan korang, kak uda aku dah berumahtanggga dengan seorang askar yang bertugas di kem tentera, sikamat, seremban.

 

Kami memulakan perjalanan kira-kira pada jam 10 pagi. Dari ulu tiram, kami melalui jalan lama felda ulu tebrau menuju ke kulai, memasuki lebuhraya PLUS melalui tol kulai.  Dalam perjalanan tu tiada apa yang seronok nak diceritakan. Cuma keterujaan aku pada masa tu tak payah nak cakap, mengalahkan kera mendapat bunga. Haha.. maklumlah, ini kali pertama aku keluar dari negeri johor. Yang membuatkan pengalaman ini menjadi lebih best lagi adalah kerana, ini pengalaman pertama aku menaiki motor dalam satu jarak yang jauh. Walaupun sekadar motor yahama 100 sports, dan aku hanyalah sebagai pembonceng.

 

Kami sampai dirumah kak uda lebih kurang jam 3 petang. Lambat? Memang lambat, sebab abang aku menunggang motor sambil santai-santai je. Lagipun ini bukan lah sebuah jentera superbike. Kapcai je pun. Selepas makan, aku terlelap, kepenatan first time berjalan jauh. Dipendekkan cerita. Masa solat maghrib baru aku teringat nak telefon mak aku. Sebab sebelum bertolak pagi tadi mak ada pesan, “dah sampai nanti telefon”

 

Aku bagitau abang aku. Kitorang pun bersiap-siap untuk keluar. Abang ipar aku pesan, “jangan balik lewat sangat, gi telefon mak je, lepas tu balik, kita makan sama-sama, kak uda dah masak tu”.. zaman tu masih belum ada telefon bimbit, jauh sekali smart phone. Rumah yang memiliki telefon pun boleh dibilang dengan jari. Dan rumah abang ipar aku memang takde telefon.

 

Kami pun keluar mencari public phone disekitar taman desa rhu. Taman tempat abang ipar aku menyewa. Tapi malangnya banyak public phone yang rosak. Ada lah satu dua telefon yang boleh digunakan, tapi mak datok, panjangnya beratur.. yang paling kurang pun, ada 3 atau 4 orang yang menunggu. Abang aku mencadangkan “jom kita g jauh sikit, keluar dari taman ni, kalau nak tunggu, sampai bila ni, masing-masing bergayut”. Abang aku cadangkan lagi, “kita g taman tasek seremban, kat situ banyak public phone”… Aku ikut je..

 


#kalau masing-masing bergayut begini, bertahun la gamaknya kena  menunggu. Anak-anak zaman sekarang tak mungkin merasa pengalaman ni.


Keluar dari taman desa rhu menuju ke Bandar seremban, kami melalui jalan yang gelap, tiada lampu jalan. Aku memang tak fokus pada jalan la, sebab bukan aku yang menunggang, dok belakang je. Langsung tak cam jalan, lagipun ini first time aku long distance ke negeri orang.

 

Dalam melalui jalan yang gelap dan berselekoh selekoh tu, kami hanya mengharapkan lampu motor, kerana langsung tiada lampu jalan. Tiba-tiba kami terpandang ada satu public phone di tepi pondok menunggu bas. Public phone ni sangat menarik perhatian kerana dalam suasana yang gelap tanpa lampu jalan, ia diterangi cahaya dari atas pondok telefon tersebut. Korang boleh faham? Public phone zaman tu kebiasaannya digantungkan pada sebatang tiang yang mana ia dilindungi oleh sebuah pondok kecil, di bahagian atas pondok telefon tu dilengkapi lampu, untuk menerangi public phone tu sendiri. Tapi sejauh pengamatan aku kebanyakkannya lampu pondok telefon tak menyala, sebaliknya pulak bagi telefon yang satu ni.

 

Sambil menghampiri public phone tersebut abang aku mencuit lutut aku sambil berkata “tu ada public phone, cepat tipon mak, mesti mak risau pikirkan kita dah sampai ke belum”. Elok beberapa meter kami menghampiri public phone tersebut, tiba-tiba ia berdering…. Kringg, kringg.. kringg, kringg.. “alamak sapa pulak tipon ni?” Gerak hati aku. Abang aku bergurau, “cepat man angkat, awek nogori nak berkenalan kot”.. aku terus turun dari motor, sambil berjalan sambil aku membuka helmet. selepas 4 atau 5 langkah aku terus mencapai gagang public phone tersebut.. “hello !” ayat pertama keluar dari mulutku…. “hellloooo siapa ni?” suara balasan dari hujung talian. Suaranya seakan-akan seorang nenek tua, menggelatar dan hanya sayup sayup kedengaran. Aku berasa hairan, kenapa sipemanggil boleh bertanya “siapa aku”, sedangkan ini adalah telefon awam.

 

Terlintas difikiran aku mungkin public phone ni menjadi penghubung dari pemanggil luar ke rumah-rumah berhampiran... Kalau korang boleh ingat cerita ‘pak maon. yang mana tunang nora membuat panggilan menggunakan public phone dari kelab malam tempat dia berkerja ke public phone yang berhampiran dengan rumah nora, anak pak maon’. Sesiapa saja yang berhampiran dengan public phone tu boleh menjawab panggilan dan tolong panggilkan siapa yang ingin dihubungi oleh si pemanggil. Aku cuba tinjau-tinjau disekitar public phone tersebut, tapi hanya gelap gelita, tiada sebarang cahaya. Mustahil lah kalau ada rumah penduduk berhampiran telefon awam ni. Dan sudah tentulah mustahil si pemanggil menghubungi public phone ni untuk bercakap dengan penduduk berhampiran.

 

Aku cuba pastikan sekali lagi “hello !”…

yee.. helloo… siapa yang cakap nii?”

kali ni, aku pasti, memang suara seorang nenek tua, yang menggeletar dan sayup-sayup kedengaran suaranya dari dalam gagang. Yang menghairankan aku, kenapa dia bertanya “siapa aku?”. Kalau aku nak andaikan seperti kisah ‘nora anak pak maon’ tu, mesti nenek ni akan terus mintak aku untuk bercakap dengan seseorang… tapi ini sebaliknya, dia makin mendesak siapa aku ?

 

helloo… siapa yang cakap nii?” suara nenek itu terus mendesak aku… aku cuba mengelak dari memberitahu siapa nama aku. Kerana pada fikiran aku tak perlu pun dia nak mengetahui siapa nama aku, lagipun aku bukannya orang sini. Kalau aku cakap nama aku pun bukan dia kenal aku.

 

helloo… siapa yang cakap nii?” kedengaran suara nenek tu terus menerus bertanyakan siapa aku. Aku menjawab “ini public phone, buat apa awak nak tau nama saya?”

 

“ye saya tau ini public phone, saya cuma nak tau siapa yang cakap ni” dalam pada aku kebingungan melayan situasi yang berlaku, abang aku dah mematikan enjin motor lalu dia menghampiri ku.

“siapa ?” Tanya dia.

Selamba aku jawab “ntah, orang gila agaknye”

“dia nak apa ?”

“ntah, dia Tanya nama aku siapa”

“awek ke ?”

“awek apa, nenek tua”

 

Sambil berbual dengan abang aku, gagang telefon masih melekat di telingaku, dan suara nenek yang sayup-sayup kedengaran itu masih boleh aku dengari bertanyakan siapa nama aku.

 

Abang aku sengaja mengacau “nenek tua?, hantu agaknye”

Dengan selamba aku menjawab “kalau hantu, gentle, keluar la sini, aku tak takut la”

 

Aku tak tau macamana mulut aku boleh celupar sebegitu. Mungkin masa tu aku masih muda belia kot. Lagipun tak pernah aku ada pengalaman berbual dengan hantu, sebab pada fikiran aku masa tu, hantu mana boleh bercakap, dia sekadar menampakkan bentuk tubuh atau wajahnya saje.

 

Sebaik aku mencabar dengan ayat yang cukup celupar tu, tiba-tiba suara nenek di dalam gagang tadi tu terus senyap. Aku tak perasan lagi pada waktu tu, gagang yang melekap ditelinga ku terus kosong. Tiada bunyi suara nenek, tiada bunyi angin, sss, dan juga tiada nada tuttt seakan talian terputus. Korang mesti boleh bayangkan kalau korang menjawab call, walaupun si pemanggil diam tak nak bercakap, tapi korang masih boleh dengan bunyi seakan-akan angin atau pun mungkin bunyi line. Aku pun tak tau macamana nak terangkan bunyi line tu, tapi kalau korang biasa guna telefon pejabat atau rumah, mesti korang boleh bayangkan. Manakala andainya si pemanggil memutuskan talian, korang mesti boleh dengar line terputus, iaitu bunyi tuttttt…

 

Mungkin abang aku pun perasan yang mulut aku cabul sangat kot, dah la kat tempat orang yang kita tau kisah-kisah disebaliknya. Boleh pulak aku cakap besar, mencabar hantu suruh keluar. Sebelum aku merapu lebih berlagak lagi, abang aku terus memotong cakap “dah cepat la tipon mak”. Aku pun meletak gagang dengan tangan kiri pada tempat nya sebagai tindakan memutuskan line. (yang sebenarnya tanpa aku sadari line memang telah terputus) Memberikan helmet yang dari tadi ditangan kanan kepada abang ku, kemudian jari telunjuk kanan aku mengorek poket kecil seluar jeans yang kebiasaannya poket digunakan untuk menyimpan duit syiling. Setelah dapat duit syiling. Tangan kiri ku mengangkat kembali gagang dan meletakkan di telinga kiri memastikan ada bunyi line clear, tuttt, manakala tangan kananku cuba memasukkan duit syiling didalam lubang yang disediakan. Tapi malangnya. Tiada kedenganran bunyi tuttt, dan lampu led merah kecil bersebelahan lubang duit syiling tidak menyala.


 


#inilah jenis public phone yang aku maksud itu. Tiada skrin menunjukkan telefon berfungsi atau sebaliknya. Tiada juga tulisan di skrin tertera ‘masukkan duit’. Yang ada hanyalah sebutir lampu led merah dan terdapat 3 lubang untuk nilai syiling berbeza-beza.


Tangan kanan aku beralih dari lubang duit syiling, menekan 2, 3 kali tempat letak gagang, dengan harapan kalau-kalau public phone ni berfungsi, pasti akan ada nada bunyi tuttt… tapi malangnya… tetap tiada bunyi tutt… aku cuba masukkan je duit syiling kedalam lubang nya, tapi duit tu jatuh semula, menandakan public phone tersebut dalam keadaan rosak. 2 3 kali mengulangi perkara yang sama. Aku dah mula hairan. "Cepat nya telefon ni rosak, baru je tadi ada line masuk, sekarang dah tak boleh pulak", fikir ku.

 

Dalam pada aku mencuba itu dan ini, abang aku bersuara “kenapa ?” “ntah, macam rosak je, cuba kau dengar” jawab ku cemas, sambil meletakkan gagang ditelinga abang aku. “eh tadi elok je kau kata nenek tipon kau”. Aku dah semakin cemas, tiba-tiba terasa badan aku semakin lemah, darah dah mula berkumpul di kepala. Aku pandang tepat kearah muka abang aku… Seakan faham, abang aku membalas pandangan ketakutan aku. Aku perhatikan anak mata abang aku menjeling ke arah bawah public phone tersebut… jelingannya terhenti disitu, aku pun perlahan-lahan mengalihkan pandangan ke bawah public phone tu yang hanya bersebelahan dengan peha aku. Abang aku membongkok dan mencapai beberapa helai wayar yang terputus di bawah public phone tu, aku hanya memerhatikan saje gerak gerinya. Dia angkat wayar tu dah tunjuk depan mata aku sambil bercakap “eh wayar ni semua dah putus, patut la takde line, macamana nenek tadi boleh tipon pulak ?” kami berpandangan sejenak, seolah-olah dah tau apa tindakan yang patut di buat. Gagang telefon yang masih ditangan kiri ku, aku campakkan macam tu je, dan terus berlari serentak dengan abang aku kearah motor.


 Masa tu lubang kunci motor pun dah tak jumpa nak cucuk. Aku capai helmet abang aku yang diletakkan di cermin sisi motor dan merampas helmet aku yang ditangan kiri, bagi memudahkan abang aku menolak motor dengan kedua-dua tangannya. aku terus berlari beberapa meter kedepan. Manakala abang aku yang tak padan kurus boleh menolak motor sama laju dengan larianku. Bila jarak kami dah agak jauh beberapa meter dari public phone tersebut barulah abang aku start enjin motor dan kami terus memecut tanpa memakai helmet, setelah agak jauh baru kami memakai helmet sambil menunggang motor.

 

Aku dah semakin tak sedap badan, terasa macam nak demam pun ada, terasa sejuk tapi berpeluh dan bermacam-macam lagi perasaan yang timbul. Beberapa kilometer kemudian kami sampai di taman tasek seremban. Abang aku meletakkan motornya ditempat yang disediakan berhampiran restoran A&W. Di belakang booth A&W tu ada sederet public phone. Tapi public phone ni yang lebih moden sikit la, berwarna silver, berbanding telefon berpuaka tadi. Abang aku suruh aku telefon mak aku, tapi aku dah tak de kuderat masa tu, dah trauma tengok public phone. Akhirnya abang aku yang telefon mak.

 


#ini contoh telefon awam yang agak laters pada zaman tu.


Sekarang satu part lagi kami nak menempuh jalan balik melalui public phone nenek tu semula. Sebelum bergerak abang aku pesan baca-baca apa yang patut. Aku memang dah tak boleh berfikir lagi masa tu. Sampai aku rasa macam tak nak balik rumah kak uda, aku nak duduk je di taman tasek seremban ni. sebab kat situ ramai orang kebetulan malam tu malam minggu, ada konsert percuma di pentas taman tasek seremban tu, bagi korang yang melalui zaman seusia aku mesti korang tau konsert di taman tasek seremban tu.

 

Dipendekkan cerita semasa perjalanan balik aku peluk kuat-kuat abang aku, dan abang aku pulak semakin aku peluk dia kuat-kuat, semakin laju pulak dia memerah throttle. Masa melalui kawasan tu aku tak nak pandang kearah public phone berpuaka tersebut.

 

Alhamdulillah kami selamat sampai semula di rumah kak uda. Masa makan malam, abang ipar aku Tanya “lamanya tipon ?”

abang aku jawab “public phone ramai orang”.

“biasalah, kat sini public phone tak banyak, pastu rajin rosak, kalau ada yang boleh guna tu yang ramai beratur, abis tipon kat mana ?”

“g taman tasek seremban”

“amboi jauhnya”

“itu je yang ada paling dekat”

“tadi ada lalu sebelah kem?, tempat abang kerja?”

“ntah, xperasan, jalan gelap, xde lampu jalan”

“kalau dari sini mesti lalu kem tu, kem sikamat, sebelah tu ada jugak public phone, tapi dah lama rosak”

“dah lama rosak….?” Tanya abang aku. Aku memang dah lepak gila, tak berbual langsung sejak dari balik tadi. nak suap nasik pun dah tak de rasa. Cuma rasa badan lemah, macam nak demam je.

“haah, kenapa ?” Tanya abang ipar aku.

“tadi masa kitorang lalu kat situ tetiba tipon tu berbunyi” jawab abang ku. “Man angkat. Ada suara nenek tua katanya”.

“suara nenek?, dia nak apa? “ soal abang ipar ku lagi dalam keadaan terperanjat dan terhenti suapan nasi ke mulutnya.

“ntah man”. Abang ku menjawab sambil memandang kearah ku sebagai isyarat supaya aku sendiri yang bercerita.

“dia nak apa man?” Tanya abang ipar ku lagi dalam keadaan terkejut.

“dia tanya nama siapa” jawabku lemah dan trauma.

“abis tu kau cakap ke nama kau siapa?”.

“tak”. Jawab ku ringkas.

“nasib baik kau tak bagitau nama kau, kalau tak nanti dia seru nama kau. Abis.. tak tau apa yang jadi, silap-silap kau boleh berjalan macam orang kena rasuk kesana semula tengah-tengah malam buta nanti, ramai dah budak-budak army kena kacau kat situ”.

 


# lokasi public phone nenek. Tapi aku rasa dah maju kawasan tu sekarang


Mendengar kata-kata dari abang ipar aku, membuatkan badan aku semakin lemah. Kalau boleh rasanya macam nak lari balik ke johor malam ni juga. Tak nak aku tinggal di negeri Sembilan ni, dan tak nak aku berada berdekatan dengan public phone nenek tersebut.

 

Selesai makan kami bersembang sambil menonton tv, abang ipar menceritakan berbagai kisah misteri terjadi di public phone tersebut. Betul-betul di belakang public phone tersebut terdapat sepohon pokok tua yang tinggi, manakala batangnya sahaja sebesar 3 pemeluk orang dewasa. Di sebelahnya ada pondok menunggu bas. Beberapa meter kehadapan ada sebuah simpang 3. dan diseberang jalannya adalah kem tentera tempat dia bertugas.

 

Menurutnya lagi ramai askar yang pulang selesai dari tugasan malam akan diganggu oleh mahluk halus disitu. Kadang kala ia muncul sebagai seorang wanita cantik yang menggoda, apabila dilayan ia bertukar menjadi hantu yang menyeramkan. Kadang kala ia menjelma sebagai seorang nenek tua. Sering kali juga ada lembaga yang duduk diatas bumbung public phone tersebut. ada kalanya juga ia tidak muncul, tapi tiba-tiba askar yang sedang menunggu bas terasa sukar untuk bernafas seolah-olah dicekik. Ada juga berlaku peristiwa yang lebih ngeri mengakibatkan kemalangan. Dan tidak kurang juga beberapa orang kerasukkan semasa menunggu bas disitu.

 

Banyak lagi kisah-kisah yang menyeramkan diceritakan oleh abang ipar ku, tapi kepala otak aku dah tak boleh fokus semuanya. Malah badan aku dah semakin lemah, terasa nak demam dan menggigil kesejukan tapi berpeluh.

 

Menyedari keadaan aku, kak uda aku mengarahkan aku segera menunaikan solat isya’ dan tidur. Ketakutan aku semakin memuncak, sehinggakan untuk kebilik air pun aku tak berani, sedangkan bilik air hanya terletak disebelah dapur. selesai menunaikan solat, aku terus cuba untuk tidur didalam bilik bersendirian. Kerana abang aku masih bersembang dengan kak uda dan suaminya. Namun aku tak boleh melelapkan mata, setiap kali aku memejamkan mata, aku terbayang-bayang kejadian yang menakuktkan tadi. Bila aku membuka mata pula, aku rasakan seolah-olah aku sedang diperhatikan oleh satu mata jahat sambil ia tersenyum menyindir akan ketakutan ku.

 

Akhirnya aku buat keputusan untuk tidur diruang tamu sambil mendengarkan mereka bersembang. Dengan harapan aku dapat segera melelapkan mata sebelum mereka bersurai untuk tidur. Ye lah kalau aku dah dapat lena dahulu, tentu aku tidak akan kesunyian nanti. Bila dah tidur, tentu dah hilang rasa takut. Beberapa ketika kemudian aku terlelap. Aku sendiri tidak sedar bila mereka semua bersurai.

 

Mungkin pada pandangan kalian lega. Sebab aku dapat lena awal sebelum mereka bersurai dan sebelum lampu dimatikan… tapi malangnya dalam tidur aku bermimpi sepertimana kejadian yang asalnya tadi berlaku… ye sama.. dan tidak ada satu pun yang tertinggal. Seolah-olah dejavu. Kalau korang pernah alami, dejavu adalah satu keadaan yang mana korang bermimpi, namun bila sedar dari tidur korang telah terlupa akan mimpi tadi. Hanya beberapa waktu kemudian, mungkin sehari, seminggu atau beberapa bulan, korang akan alami satu keadaan nyata yang serupa dengan mimpi tadi. Semasa melalui keadaan itu akan terlintas difikiran korang, “macam pernah aku lalui perkara ni”. Dan masa itu barulah korang ingat perkara yang baru saje korang lakukan sama dengan mimpi yang pernah korang lalui dulu. Ini lah yang dinamakan dejavu. Namun kebiasaannya kita menyedari dejavu ini hanya selepas melakukan semua yang telah dipamerkan didalam mimpi.

 

Tapi kejadian dejavu itu terbalik bagiku, kerana perkara sebenar telah aku lalui, kini ia berulang semula didalam mimpi. Ianya bermula dari kami keluar dari rumah menaiki motor mencari public phone di sekitar taman desa rhu hingga lah kepada perbualan aku bersama nenek tua tersebut. Apa yang lebih mengerikan didalam mimpi tersebut, aku telah mengetahui bahawa aku mengalami dejavu mimpi, yang mana nanti aku akan berbual bersama hantu nenek tua. Dalam dejavu mimpi itu, aku untuk cuba mengelak dari meneruskan jalan cerita sebenar, namun ia tetap berjalan sama seperti kejadian asal. Dan kali ini aku lebih merasa takut kerana, sebelum menjawab panggilan telefon itu, aku telah tahu bahawa suara nenek yang akan bercakap dengan ku nanti adalah hantu yang mendesak ingin mengetahui namaku untuk diseru.

 

Seperti kejadian asalnya, kami sampai di public phone nenek itu, telefon berdering, abang ku suruh menjawab panggilan tersebut. Sehinggalah nenek itu mendesak ingin mengetahui nama aku, tapi kali ini, abang ku tidak datang dekat kearah ku, sebaliknya dia hanya menanti di motor saje. Dalam perbualan itu aku cuba mengelak dari menyatakan siapa nama ku, namun nenek itu terus mendesak dan mendesak, sehingglah akhirnya aku terjaga dari mimpi. Keadaan ruang tamu sudah gelap dan sunyi, hanya tempias cahaya dari kaki lima menerobosi celah-celah lubang angin diatas tingkap. Dalam samar-samar cahaya itu aku menoleh kesebelah kiri. Rupanya abang ku menemani aku di tidur di ruang tamu. Mujur dia tidak tinggalkan aku bersendirian. Dalam keadaan yang sangat lemah, berpeluh dan mengigil ketakutan, aku kejutkan abang ku. Dia bingkas bangun. Dan bertanya kenapa. Aku ceritakan apa yang terjadi dalam mimpi ku.

 

Abang ku menyuruh aku bangun dan mengambil wuduk. Dia menemankan aku ke bilik air. Sambil tu dia menghidupkan lampu dapur, agar cahayanya dapat menerangi sebahagian ruang tamu tempat kami tidur. Mudah-mudahan dengan cara ini dapat mengurangkan rasa takut ku. Jam didinding menunjukkan pukul 2.35 pagi. Dan kami cuba untuk sambung tidur semula. Malangnya aku telah totally demam dan tak boleh tidur, melainkan hanya baring dan sesekali berpaling ke kiri mahupun ke kanan untuk mencari sedikit keselesaan. Aku merasakan itu adalah satu malam yang panjang untuk menanti azan subuh. Walaupun dalam keadaan lemah, penat, demam, tidak stabil dan cuba melelapkan mata, sebenarnya aku takut untuk tertidur semula, kerana aku amat khuatiri dejavu mimpi tadi akan berulang lagi.

 

Setelah melalui satu malam panjang yang sangat menakutkan, akhirnya aku terdengar tahrim dari surau berdekatan. Hati aku merasa lega kerana tidak lama lagi azan subuh akan berkumandang menandakan hari akan bertukar menjadi siang.

 

Aku kejutkan abang aku yang tidur-tidur ayam, kami sama-sama bangun mandi dan menunaikan solat subuh. Selesai solat barulah aku masuk kedalam bilik dan tidur untuk merehatkan badan dan menghilangkan demam.

 

Aku tersadar kira-kira jam 10 pagi. Alhamdulillah tiada lagi rasa demam. Aku bersarapan, mandi dan keluar bersama abang ku untuk meronda-ronda sekitar seremban. Ketika melintasi public phone berpuaka itu, aku tidak berani memandang kearahnya walaupun hari siang. Pada hari yang sama sebelah petangnya kami bergerak pulang ke jb.

 

Alhamdulillah, kami selamat sampai ke rumah pada lewat malam. Tak sanggup lagi aku nak bermalam di seremban, kerana peristiwa yang pada aku cukup menakutkan. Inilah pengalaman pertama aku bermotorsikal dalam jarak yang jauh dan inilah pengalaman pertama aku berbual dengan hantu. Mungkin korang pernah terdengar suara hantu, seperti suara mengilai, suara menangis. Tapi aku pula dapat mendengar suara hantu dan berbual dengannya. Kalau ditanya nak berbual lagi ke?.. oh tidak, cukuplah sekali..

 

Beriman dan percayalah, Allah menciptakan alam ini bukan hanya untuk dihuni oleh golongan manusia, banyak lagi mahluk-mahluk lain yang berkongsikan nya. hanya sahaja Allah tidak membuka hijab kita untuk melihat mereka. Namun itu tidak bermakna mereka tidak ujud.

 

Pernah juga aku mendengar ceramah dari seorang ustaz yang mengatakan andainya kita bercerita tentang mahluk halus seperti jin, maka mahluk itu ada bersama-sama dan mendengarkan cerita kita. Sebab itu jangan suka sangat bercerita kisah-kisah hantu dan jangan terlalu takut, kerana takut itu hanya menjadikan mereka lebih berasa bangga dan ingin menunjukkan kengerian dirinya. sebaliknya jangan pula terlalu berani mendabik dada, kerana sikap sebegitu seolah-olah mencabar mereka untuk menjelma dan menakutkan kita untuk melihat sejauhmana keberanian kita. Ada benarnya kata-kata ustaz, semasa aku menulis cerita ini, mata aku tidak hanya tertumpu pada skrin laptop, sesekali dengan tanpa rela aku akan menoleh kebelakang, kerana aku terasa seperti ada sesuatu yang bergerak melintasi ku, dan sesekali aku terasa tidak keseorangan. Sepertinya ada sesuatu yang menjengah dari belakang, mencuri-curi membaca apa yang sedang aku taipkan…

 

Teringat pula aku kepada youtuber ‘kupi-kupi go seram’ disebalik kisah-kisah seram yang beliau kongsikan. Beliau juga sering diganggu…. Oleh siapa? Aku rasa korang pun tau jawapannya….

 

wAllahuaklam….


#lama betul restoran A&W ni bertahan, melalui google map masih ada lagi ia disitu. Yang aku drop pin tu kalau tak silap itu lah kedudukan deretan public phone yang abang aku gunakan untuk tipon mak.




No comments:

Post a Comment