Hari
ini ahad bersamaan 24 may 2020
Merupakan
hari diharamkan berpuasa bagi seluruh umat Islam. Hari kembali kepada fitrah
kehidupan. Hari meraikan kemenangan setelah sebulan mendidik dan menundukkan
hawa nafsu. Alhamdulillah Allah masih bagi peluang kepada ku berhari raya dalam
menyambung sisa-sisa kehidupan ini.
3
fasa berbeza bagi diriku menyambut aidilfitri setelah bergelar bapa.
Fasa pertama.
Kami
menyambut aidilfitri di kampung isteri ku. Bermula malam tadi, sebaik diumumkan
hari ni raya, suara takbir memecah keheningan malam. Menggantikan suara
cengkerik yang kebiasaannya menemani sepanjang malam ku dikampung. Suara takbir
memuji kebesaran Illahi bersahut-sahutan dari corong pembesar suara masjid dan
surau. Dengan penuh semangat tanpa mengenal ngantuk mahupun penat Jemaah masjid
dan surau bertakbir sehinggalah selesai menunaikan solat sunat aidilfitri.
Selepas
menunaikan solat subuh, ibu mertua ku sibuk menghidangkan juadah raya. Kerana
kebiasaanya bagi masyarakat dikampung ini, mereka akan menziarahi kubur sebelum
menunaikan solat sunat aidilditri. Memandangkan rumah ibu mertua ku
bersebelahan dengan tanah perkuburan, lazimnya selesai menziarahi kubur, mereka
akan singgah beraya dirumah ibu mertua ku terlebih dahulu. Secara tak langsung
aku akan menemankan tetamu yang datang
itu sambil bersarapan sekali. Maklumlah aidilfitri ini kita disunatkan menjamah
makanan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat raya berbanding
aidiladha. Pada mula-mula perkahwinan dahulu aku berasa hairan dengan rutin
masyarakat dikampung ini. Ye lah, mana pernah berlaku di Johor menziarah rumah
orang selepas subuh. Tapi lama kelamaan aku sudah lali dengan budaya ini.
Selesai
menunaikan solat sunat aidilfitri yang kebiasaannya diadakan pada jam 9 pagi, aku
dan anak-anak terus balik kerumah, mahklumlah kami bukannya kenal sangat
penduduk kampung disini. Terasa malu pula hendak singgah beraya dirumah mereka
jika tidak ditemani isteri. Sekembalinya kami kerumah, kami akan
bermaaf-maafan, bermula dari memohon maaf dari ibu mertua ku, diikuti dengan
tuk perempuan isteriku, aku, isteri dan diakhiri oleh anak bungsu lelaki ku.
Selesai
bermaafan, kami akan bergegas ke rumah ayah mertua ku, yang terletak di Tg.
Pari, kira-kira setengah jam perjalanan. Di rumah ayah mertua, kami tidak
begitu lama. Sekadar menghantar sedikit juadah raya sebagai tanda ingatan, menjamah
juadah raya yang disediakan dan bersembang ringkas bersama ipar duai ku sahaja. Mereka
faham akan keadaan ini, mengapa kami bertandang seketika sahaja di pagi raya.
Selaku
anak sulong dan telah bercerai lama dari suaminya, ibu mertua ku kembali tinggal
bersama mak dan bapaknya. Maka rumah yang kami tumpangi itu sudah tentulah
menjadi kunjungan wajib adik beradik ibu mertuaku. Oleh sebab itu, kami mesti
cepat-cepat pulang. Maklumlah kalau ditinggalkan ibu mertua ku bersendirian
dengan ibu nya, sudah tentu kelam kabut dibuatnya nanti nak melayan puluhan,
malahan ratusan tetamu yang datang tak putus-putus.
Tambahan
pula memang dari kecil setelah kedua ibubapa nya bercerai, isteriku kurang
rapat dengan ayahnya. Bukan kerana sikap anak derhaka, tapi ayah telah
berkahwin lain dan mempunyai anak-anak baru, sedangkan ibunya terus menjanda
dan hanya mempunyai satu-satunya anak kesayangan nya iaitu isteriku.
Lagipun
selama kami bercuti raya dikampung bukan hanya sekali kami mengunjungi ayah. Memandangkan
jarak rumah antara mereka hanyalah setengah jam, kami sering berulang alik
meziarahi ayah mertua ku.
Dirumah,
telah sibuk dan hiruk pikuk dengan kehadiran adik beradik ibu mertua ku. Sepupu
sepapat memenuhi ruang tamu, dapur mahupun di bawah kolong rumah. Kami
terpaksalah bertindak sebagai tuan rumah membantu ibu. Membuat air. Menambah
mana-mana kueh ataupun lemang yang telah habis. Keadaan sebegitu berlarutan
sehingga kemalam hari. Maklumlah adik beradik ibu mertuaku seramai 11 orang,
sepupu isteriku melebihi 50 orang, anak saudara… tak terkira banyaknya. Itu
belum lagi dicampur dengan adik beradik tuk dan salasilah keturunannya… pendek
kata kalau nak buat kenduri tak payah jemput jiran, kumpulkan saudara mara je
dah boleh abis seekor lembu.. Penat sepanjang hari tak usah ditanya. Ngantuk
sudah semestinya. Namun itulah dikatakan kemeriahan berhari raya.
Menjelang
hari raya kedua, barulah giliran kami mengunjung balas pakcik dan makcik.
Kebiasaannya ibu tidak turut serta, kerana dia menguruskan tuk yang telah uzur.
Niat dihati, mahu je aku angkut kedua-duanya. Tapi tuk seringkali menolak atas faktor
keuzurannya. Begitulah sehingga cuti kami berakhir dan pulang ke Johor.
Di
Johor, akan bermula satu lagi episod raya. Kebiasannya kami telah ketinggalan
konvoi raya adik beradik ku. Namun itu tidak merencatkan kami untuk beraya kerumah
mereka mahupun saudara mara. Maklumlah di Johor raya kan sebulan.
Fasa kedua raya.
Setelah
2 tahun permergian ibu mertua. Kami sudah tidak lagi pulang beraya di Kedah,
sebaliknya kami akan pulang pada awal ramadhan ataupun sebelum aidiladha nanti.
Raya di Johor seakan menjadi perkara yang pelik pula bagiku. .. kenapa pelik…? maklumlah
berbelas tahun lamanya aku menyambut aidilfitri diutara. Dikelilingi suasana
kampung yang masih dara. Sawah bendang luas terbentang,. Keriuhan sanak saudara
yang ramai tak kira… Perkara sebaliknya berlaku di Johor. Selepas menunaikan
solat sunat aidilfitri, barulah kami akan bertolak ke rumah ibu. Tidaklah jauh
jaraknya hanya sekitar 40 minit perjalanan. Sudah pasti tiada rasa nikmat
menempuh satu perjalanan pulang ke kampung. Sepertimana bait-bait lirik lagu balik kampung, dendangan Allahyarham
Sudirman. ‘perjalanan jauh. tak kurasa,
kerna hatiku melonjak sama’. Sampai dirumah ibu, bukanlah suasana kampung
yang menjadi hidangan mata, sebaliknya hanyalah deretan hutan batu taman perumahan. Kami hanya terperap di rumah, menikmati
juadah ketupat, lontong, kuah kacang dan kueh raya, sambil menonton tv.
Sesekali kakak dan abang ku bersama anak beranak nya datang. Duduk sejam dua.
Mereka pun pulang. Seketika nanti adik-adik ku pula datang bersama keluarga
mereka, dan pulang juga kerumah masing-masing. Maklum lah mereka sekariah
dengan ibuku. berjalan kaki sahaja boleh sampai ke rumah ibu.
Penat
atau ngantuk, baik mereka balik kerumah masing-masing bebas tidur membongkang,
dari bersempit-sempit dirumah ibu. Aku kebiasaanya akan tidur semalaman dirumah
ibu. Sebelum pulang kerumah pada petang hari raya kedua,aku akan singgah
kerumah adik-beradik yang berdekatan sambil bermarhaban, itupun kalau cukup korum.
Hari
raya ketiga semua telah kembali berkerja. Kunjungan raya hanya berlaku pada
sebelah malam ataupun hujung minggu sahaja. Menunggu adik beradik, anak saudara
mahupun rakan sekerja.
Fasa ketiga raya.
Tahun
ini adalah tahun yang cukup berbeza bagi kami dan keseluruhan rakyat Malaysia.
Kerana pandemic covid-19 seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan agar beraya
dirumah sahaja. Bukan setakat itu, malah telah hampir 3 bulan lamanya kami
berkurung dirumah. Aku sendiri pun tak tahu sampai bila akan berkurung begini..
Keluar hanya membeli barang keperluan makanan, solat fardhu dan tarawikh berjemaah
dirumah, tiada solat fardhu jumaat jauh sekali solat sunat aidilfitri.
Penangan
covid ini juga telah membuka lembaran baru dalam sejarah hidupku, mengimami
solat sunat tarawikh dan aidilfitri dirumah. Tahun hadapan belum tentu peluang
seperti ini dapat aku rasai lagi. Selesai solat sunat raya, kami bermaafan
sesama kami. Menikmati juadah raya, sambil menonton tv. Tidak perlu bergegas ke
rumah ibuku dan tidak perlu menunggu kehadiran tetamu.
Inilah
sejarah baru dalam perjalanan hidup ku, dari kecil tidak pernah aku menyambut raya
seperti ini, jauh sekali terbayang pada tahun 2020 yang dikatakan serba canggih
ini sambutan aidilfitri jadi sebegini.. namun bersyukur kepada yang Maha Esa
kerana masih mengurniakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam. Jika
diamati perintah berpuasa secara tidak langsung dapat mendidik jiwa insan agar
mengenangkan mereka yang dhaif dan kemiskinan, hidup dalam kelaparan. Perintah
berkurung PKPB ini pula dapat memberi sedikit gambaran mungkin beginikah
saudara-saudara seIslam diseluruh dunia yang tinggal di negara bukan Islam. Dan
lebih menyedihkan lagi, mungkinkah inilah perasaan mereka yang hidup disebuah
negara yang terlibat dengan kancah peperangan.
Wallahuaklam…
No comments:
Post a Comment