semasa berpuasa zaman kanak-kanak, detik 29 ramadhan adalah hari yang penuh dengan keterujaan dan debaran. Kerana lepas berbuka nanti majlis agama Islam akan meneropong anak bulan syawal. Seandainya kelihatan, maka akan diumumkan esok raya. Namun andai sebaliknya, terpaksalah esok berpuasa sehari lagi. Seperti perasaan kanak-kanak yang lain, sudah pastinya aku mengharapkan esok raya. Kerana pada perasaan ku berpuasa pada 30 ramadhan terlalu meletihkan. Seolah-olah masa berlalu begitu lambat, jam didinding kelihatan tidak bergerak seperti kebiasaannya.
Pastinya
berbeza pula bagi ibu dan abahku. mereka mesti mengharapkan esok masih 30
ramadhan. Kerana berharap agar ramadhan itu
tidak pergi begitu cepat. Lagipun seandainya esok ditakdirkan raya, pastinya malam tersebut akan
menjadi kelam kabut, meskipun ketupat telah siap dianyam. Ayam telah dibeli
dari pasar, berserta bahan-bahan dan ramuan untuk membuat rendang. Namun segala
juadah terpaksa dibereskan pada malam tersebut. zaman dahulu penetapan hari
berpuasa dan raya hanya ditentukan melalui kelihatan atau tidaknya anak bulan.
tidak seperti zaman sekarang, disamping meneropong anak bulan, kaedah hisab dan
rukyah juga dipraktikkan. Maka lebih senang untuk membuat persiapan awal.
Seandainya
anak bulan tidak kelihatan. Malam itu kami akan jalani kehidupan seperti
malam-malam ramadhan sebelumnya. Menunaikan solat tarawikh di masjid. Ibu akan
memasak ketupat dan rendang pada esok hari. Namun andainya malam tersebut
diumumkan anak bulan syawal telah kelihatan. Maka akan kelam kabutlah seisi
rumah. Adik beradik ku yang perempuan akan sibuk menukarkan langsir. Walaupun bukan
langsir baru. Hanya recycle dari
tahun lepas, namun ia sudah cukup menambahkan mood raya.
Ibu
akan sibuk didapur. Memulakan proses memasak rendang. Salah seorang kakak ku akan memasak kuah
kacang. Aku dan abang-abangku membantu mengupas bahan-bahan masakkan. Ada pula yang akan memasukkan beras kedalam
kelongsong ketupat. Tidak ketinggalan juga ibu akan membuat lepat iaitu sejenis
makanan tradisi jawa. Beras pulut dicampurkan kacang soya dan kelapa parut. Selalunya
kami akan menjaga api rebusan ketupat dan lepat sehingga ke subuh, maklumlah
zaman itu kami hanya merebus ketupat dengan menggunakan kayu api dibelakang
rumah. Dengan nyalaan api yang tidak konsisten boleh mamaksa kami menunggu
sehingga 4 atau 5 jam lamanya. Namun ia tidak sedikitpun mendatangkan rasa
ngantuk kepada kami. Maklumlah keseronokkan menyambut raya esok hari mengatasi
keletihan yang datang.
Bagi
keturunan bugis seperti ibu, juga mempunyai makanan tradisinya tersendiri.
Iaitu burasak. Namun seingat aku tidak pernah sekalipun kami menyambut raya
dengan ibu memasak burasak. Kerana kata ibuku burasak lebih sukar proses
penyediaannya. Dan ia tidak boleh bertahan lama. Mudah basi berbanding ketupat.
Berbeza
pula setelah aku mendirikan rumahtangga. Kelazimannya bagi masyarakat di kedah,
mereka membakar lemang ataupun mengukus ketupas daun palas. Kedua-duanya
makanan berasaskan beras pulut. Jujur aku katakan, seumur hidup aku tidak
pernah menjamah lemang, jauh sekali merasai pengalaman membakarnya. Tapi
keadaan sebaliknya berlaku setelah aku menikahi orang utara. 2 budaya yang
sangat berbeza. Alhamdulillah inilah keindahan yang Allah ciptakan. Perbezaan
budaya membuatkan kita saling mengenali dan berkogsi citarasa kehidupan.
Kebiasaannya
ibu mertua ku akan membakar lemang pada 29 ramadhan. Tidak mau melepaskan
peluang, aku akan membantu memarut kelapa dan menyalakan api. Manakala proses
memasukkan daun pisang muda ke dalam buluh,
kemudian memasukkan beras pulut dan menuangkan santan, aku serah pada yang
pakar. Hihi… proses membakar lemang ini lebih rumit dari merebus ketupat. Kerana
merebus ketupat aku hanya perlu memastikan api sentiasa menyala dan sesekali memastikan air rebusan tidak kering.
Manakala proses membakar lemang pula, perlu memastikan api tidak menyala, hanya bara sahaja yang diperlukan, sambil sesekali
menambah pekatan santan ke dalam buluh yang hampir kering. Lemang juga perlu
sentiasa dipusing-pusingkan, agar tidak terbakar sebelah, atau lebih teruk
lagi, hangus. Sepanjang proses membakar lemang aku sentiasa berpanas dengan
bahang bara api.
Pada
sebelah petangnya pula, ibu mertuaku akan memasak rendang daging tok. Aku….?
Tak usah ditanya.. kebiasaannya dah terlentang dibawah rumah, kepenatan dan
kehausan, dehydration 4 atau 5 jam semasa
proses membakar lemang… haha… Dan sudah pastinya menu berbuka pada hari
tersebut adalah lemang berlaukkan rendang tok. Disebabkan lemang ini dibakar
berbanding ketupat yang direbus, ketahanannya lebih lama. Sehinggakan kadang
kala ibu sempat membekalkan kami lemang untuk dibawa balik ke Johor pada raya
ke 4 atau 5.
Kini,
telah hampir 3 tahun aku tidak membakar lemang. Sebaliknya isteriku hanya
membuat lemang kukus, apabila menjelang raya. Maklumlah hidup di tengah
bandaraya ini, mana aku nak cari buluh lemang, jauh sekali hendak mencari kayu
api, dan yang paling mustahil dimana aku nak membakar lemang tu nanti. Duduk di
taman perumahan tidak sama seperti hidup dikampung. Namun semangat untuk
menyediakan juadah utara tetap ada dalam diri kami. Maklumlah dalam adik
beradik hanya aku seorang berkahwin dengan orang luar negeri Johor. Manakala
yang lainnya bertemu jodoh dengan sebangsa dan mempunyai budaya yang serupa.
Bila
berkumpul di rumah ibu ku pada hari raya nanti, sudah pastinya ketupat dan kuah
lodeh menjadi menu utama dari adik beradik ku, meskipun berbagai-bagai variasi
dan cara memasaknya, namun masih berasaskan nasi impit dan kuah lemak. Kecuali kami
sekeluarga sahaja yang membawa menu berbeza. Iaitu lemang dengan rendang tok
atau daging masak hitam.
Sesekali
terasa rindu dengan kenangan lalu bersama ibu mertua ku membakar lemang.
Maklumlah selama 18 tahun usia perkahwinan kami. 15 tahun, aku menyambut
aidilfitri bersamanya. Hanya setelah ketiadaan beliau pada tahun ke 16, barulah
kami menyambut aidilfitri di Johor. Mungkin pada fikiran kalian aku bersikap
tidak adil, mengutamakan keluarga isteriku. Sebenarnya tidak begitu. Pada tahun
kedua usia perkahwinan, kami berhasrat menyambut aidilfitri bersama
ibuku di Johor pula, namun niat itu disergah
oleh ibuku sendiri. Katanya “sepanjang
masa korang hidup di Johor, jengguk mak setiap minggu, takkan raya setahun
sekali pun korang tak boleh balik kedah, temankan mak sana. Dah la mak sana
takde siapa-siapa. Apa perasaan dia nanti raya sorang-sorang, anak cucu tak balik. Mak kat sini takpe, ramai lagi
anak-anak yang lain. Lagipun raya puasa ni cuti kan lama. Balik la sana. Kalau
nak beraya dengan mak, nanti-nantilah, raya haji ke…!!” Alhamdullillah,
Allah kurniakan aku seorang ibu yang sangat memahami.
Kata-kata
ibuku tidak kami praktikkan lagi, kerana ibu mertuaku telah mendahului kami
semua kembali kepada Penciptanya. Kini tibalah masa untuk kami menceriakan hati
ibu ku pula. Sudah tidak ada lagi kisah bermusafir sehingga berbelas-belas jam.
Tidak ada lagi cerita keletihan menghadapi kesesakan lebuhraya. Dan pastinya
tidak ada lagi memori baru membakar lemang bertemankan pemandangan sawah
bendang.
SELAMAT
HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN dari kami sekeluarga buat saudara mara di
kejauhan sana. Semoga Allah menemukan kita lagi pada kesempatan lainnya..
No comments:
Post a Comment