6
may 2020 rabu, bersamaan 13 ramadhan 1441H
teringat
sewaktu zaman kanak-kanakku. Waktu-waktu sebegini kebiasaannya kakak ku berdua
sedang sibuk membuat kueh raya. Pelbagai jenis dan warna-warna kueh raya yang dikirakan
moden pada zaman itu. Ada semperit, ada biskut dam, ada biskut kacang, ada tart
nenas, biskut nestum dan pelbagai lagi ntah apa nama-namanya.
Tabiat
akak aku pula suka memulakan proses membuat kueh raya ini selepas waktu berbuka.
Maklumlah pada waktu siang mereka juga sibuk berkerja. Menguli, mengadun,
mencetak, akan mereka berdua lakukan bersama. Manakala aku dan kedua abang ku
akan menunaikan solat tarawikh dahulu di masjid. Sekembali dari masjid barulah
tugasan untuk kami bermula. Kami akan mula membakar biskut-biskut raya tadi
didalam oven butterfly. Kadang kala menjelang ke waktu sahur barulah siap kami
membakar kesemua biskut-biskut tadi. Penat dan mengantuk memang tidak boleh
dinafikan. Kadang kala sampai kami terlelap di tepi oven. Nasib baiklah sessi
persekolahan kami pada sebelah petang.
Manakala
bagi ibu ku pula, setiap tahun hanya membuat 2 jenis kueh raya tradisional.
Iaitu bahulu dan rempeyek. Kebiasaannya rempeyek kacang hijau lah menjadi
pilihan ibuku. Ada yang mengatakan rempeyek kacang hijau itu sebagai tumpi…
ah.. lantaklah. Bagi aku sama sahaja. Rempeyek ke, tumpi ke, apa yang penting
bagi aku semua itu boleh menaikkan mood raya. Sebaik sahaja timbul kisah
tentang kueh raya, pastinya hari raya akan menjelma tidak lama lagi.
Maklum
lah pada zaman dahulu agak susah untuk menikmati kueh-kueh raya bukan pada
musimnya. Tidak seperti zaman sekarang, di pasaraya sentiasa ada menjual
kueh-kueh mahupun biskut raya. . Begitu
juga lagu-lagu raya hanya boleh didengari pada minggu-minggu akhir ramadhan,
tidak seperti zaman sekarang, setiap masa boleh mendengar lagu raya dari youtube. Tapi awas jangan bukak volume terlalu
kuat. Takut-takut nanti jiran sebelah tuduh kita buang tabiat pulak….
Rutin
ibuku pula, kebiasaannya dia akan membakar bahulu pada hari cuti sekolah hujung
minggu. Waktu begini bolehlah kami membantu ibu untuk membakar bahulu. Cerita
pasal bahulu adalah cerita yang boleh menimbulkan berbagai perasaan. Seronok
sebab, pastinya hari raya akan menjelma tidak lama lagi. Penat, sebab kami adik
beradik ditugaskan memukul telur dan gula bermula dari pagi sehinggalah
selesai. Kadangkala boleh mencecah sehingga waktu isya’. Memang tak pergi
tarawikh la gamaknya. Mana tak nya, sekali membuat bahulu, ibuku akan mengadun
sehingga 30 bijik telur. Yang boleh menghasilkan sehingga 2 tin biskut yang
besar. Manakala pembakarnya pula hanyalah 1 adunan tembaga. Ada bentuk ayam,
ikan mas, kerang dan berbagai lagi.
Apa
boleh buat, hanya itulah satu-satunya kemampuan abah ku membeli adunan tembaga
pembakar bahulu. Kebiasaanya ibu akan membakar bahulu di dapur kayu luar rumah.
Begitu juga dengan rempeyek. Ibu akan menggoreng rempeyek pada hujung minggu
terakhir ramadhan. Alasan nya supaya rempeyek tadi tidak cepat lemau. Namun
kerja-kerja menggoreng rempeyek tidaklah seteruk memukul telur bergilir-gilir
dari pagi sampai ke malam.
Rempeyek
hanya memerlukan adunan cair tepung bersama bahan-bahan adunannya di dalam tin
besar. Apabila mula hendak menggoreng ibu akan pindah sedikit ke dalam besen
dan dicampurkan dengan kacang hijau yang telah direndam semalamam. Lalu dicurahkan
dengan senduk di bibir minyak panas. Seringkali juga aku akan mengambilalih
tugasan ibu untuk menggoreng rempeyek. Alah bias tegal biasa. Maklumlah aku
dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Membuat
kerja-kerja dapur itu sudah biasa bagi kami. Malah bukan setakat kerja-kerja
dapur sahaja. Pada usia ku seawal 10 tahun aku telah membantu abah membina
rumah yang kami diami itu. Tidak ketinggalan dengan kedua-dua abang ku juga.
Kini,
semua itu telah menjadi sebuah kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin dapat
diulang. Ibu ku semakin lemah dan tidak berdaya, meniti sisa-sisa usia tuanya.
Abah telah lama pergi menghadap Pencipta nya. Adik beradik ku pastinya sedang
sibuk melayan kerenah anak-anak dalam usaha membesarkan mereka. Dan sudah
pastinya kami sedang melalui apa yang dilalui oleh ibu dan abah suatu masa
dahulu. Meskipun kehidupan kami pada masa dahulu hanyalah mencukupi sekadar yang perlu, namun itu adalah jauh lebih baik
berbanding mereka-mereka yang serba kedaiffan. Sesungguhnya kehidupan aku dulu
telah menjadikan aku insan yang tahu menghargai setiap hikmat yang dikurniakan.
timbul
persoalan dibenak ku… adakah anak-anakku menikmati setiap kesusahan dan kekurangan dalam menjalani kehidupan ini sebagai kemanisan. Atau mungkinkah mereka
menganggap setiap kekurangan adalah kepahitan yang memeritkan.. wAllahuaklam
No comments:
Post a Comment