tajuk
ni takde kena mengena dengan aku pun. Saje aku teringat pada satu watak Ujang dalam kisah bersiri aku budak minang melalui majalah humor Gila-Gila edisi 80’an
bercerita
pasal baju raya. Tahun ni anak-anak ku terpaksa membeli baju raya secara
online. Maklumlah PKP berkuatkuasa dari bulan rejab sehinggalah kini. Mana ada
bazar baju raya mahupun bazar ramadhan. Pasaraya pun hanya membuka seksyen
barangan keperluan harian sahaja. Namun Alhamdulillah, masih ada medium lain
untuk membelikan baju raya anak-anak. Kebiasaannya baju raya anak-anak, akan
kami beli sebelum masuk bulan ramadhan, maklum je lah waktu berpuasa boleh
terjelir lidah kalau nak tawaf satu pasar
kemboja yang menjual pakaian. Baik di kota tinggi ataupun di sg tiram.
Keluasannya menyamai sebuah padang bola.
Teringat
aku semasa zaman kanak-kanak Perkataan baju raya memang takde dalam kamus kehidupan
kami adik beradik. berbanding dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Di sekolah
mereka sibuk bercerita tentang baju raya yang berbagai warna. Ada yang mendapat
sepasang seorang, tidak kurang yang mendapat 2 pasang dari ibubapa mereka.
Berbagai reaksi dan kemegahan diri masing-masing terserlah ketika menceritakan
baju raya mereka. sebaliknya aku hanya mendiamkan diri sambil mendengar dengan
tanpa rasa minat perbualan tentang baju raya ini. Kerana aku sedar, aku tidak
seperti keluarga mereka yang mempunyai lebihan simpanan kewangan. Bagi kami
sekeluarga, seandainya ada makan dan pakaian harian pun sudah bersyukur. Lupakanlah
sahaja hasrat mengimpikan sepasang baju raya baru.
Baju
raya kami hanya akan mewarisi dari abang kepada adik. Itu pun sekiranya baju
itu telah ketat dipakai oleh abangku. Dan baju
raya warisan itu hanyalah sehelai baju, tanpa seluar, bukanlah sepasang
baju raya… Bagaimana dengan seluar?.. kami hanya memakai seluar panjang harian
sahaja. mungkin kalian membayangkan baju
lusuh yang aku pakai, kerana mewarisi dari abang-abangku. Ye memang benar.
Namun ia tidaklah terlalu lusuh. Kerana kebiasaannya ibu akan menyimpan semula
baju-baju raya tersebut apabila habis musim raya. Ibu akan menyimpan elok-elok
didalam ikatan kain, dan diletakkan di dalam kotak kayu yang bertutup rapat.
Bagi mengelakkan dari digigit oleh tikus.
Baju-baju
raya tadi hanya akan dikeluarkan semula pada hari raya aldiladha nanti ataupun
pada aidilfitri tahun berikutnya.
Seandainya tahun berikut itu badan abang aku telah membesar dan tak muat
baju tahun lalu, maka ia akan menjadi rezeki aku pula. Tapi bagi aku, baju raya
tahun lepas walaupun ketat sedikit ia masih menjadi milik aku juga. Sebab
kedua-dua adik aku adalah perempuan. Takkan mereka nak memakai baju raya
lelaki…
Seingat
aku, pernah sekali aku mendapat baju raya baru berwarna putih.. kenapa putih?
Kebetulan baju sekolah agama ku telah terlalu lusuh. Itu pun baju yang aku
warisi dari abang-abangku. Maka tahun itu ibuku menjahitkan sepasang baju raya
baru berwarna putih, supaya selepas musim raya nanti baju itu boleh aku gunakan
untuk ke sekolah agama.
Masa
berlalu, musim berubah. Meningkat ke zaman remaja setelah tamat persekolahan,
aku telah berkerja. Dan telah mampu membeli baju raya sendiri disamping
membelikan baju raya untuk adik-adik. Alhamdulillah, merasa juga bergaya dengan
baju raya baru. Bukan sekadar sepasang baju raya, malah kami telah mampu
membeli aksesori baju raya termasuk sampin. Pada usia sebeginilah baru aku
dapat menikmati beraya dengan baju baru. Malah aku telah mampu memberi duit
raya kepada kedua ibubapa ku… Alhamdulillah, syukur di atas setiap kurniaan Mu
ya Robb.
Teringat
aku pada satu pagi aidilfitri. Selesai dari menunaikan solat hari raya di
masjid jamek Ulu Tiram. Aku bergegas pulang untuk memohon maaf dan mengucapkan
selamat hari raya kepada kedua ibu dan abah ku. Selesai mohon maaf aku hulurkan
sampul duit raya berisi note lima puluh sebanyak 3 keping. Kepada mereka..
selang beberapa ketika, abah ku bertanya kenapa bagi duit raya banyak sangat. Aku
menjawab selamba. “man dapat bonus”. Zaman
itu, 150 sudah dikiranya banyak, berbanding sebulan aku berkerja berhempas
pulas, pendapatan hanyalah 750 ringgit.
No comments:
Post a Comment