hari ini rabu, 27 ramadhan bersamaan 20 may 2020. Berjalan seperti biasa, tiada apa-apa yang istimewa. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Pada waktu-waktu sebegini merupakan saat-saat akhir aku berkerja. Kerana malamnya kami akan bermusafir pulang ke kampung isteri. Syawal ini merupakan tahun ke-3 bagi keluarga aku beraya di Johor, bersama ibu dan adik beradik ku.
Tidak
seperti dahulunya setiap tahun kami akan menyambut aidilfitri di utara tanah
air. Di kampung isteriku Baling, Kedah. Masih bermain difikiran, semua kenangan
lalu. Keseronokkan menempuh perjalanan sejauh 700 lebih km yang mengambil masa
sehingga 10 jam lamanya malah, seandainya keadaan jalan sesak teruk terkadang boleh
mencecah sehingga 15 jam..
Memandangkan
aidilfitri cuti sekolah agak lama berbanding aidilahda, jadi kami menggunakan
peluang tersebut untuk beraya dikampung. Masih segar dibenak ingatanku,
kebiasaannya kami akan bertolak dari rumah pada sebelah malam. Samada selepas
menunaikan solat tarawikh mahupun sekitar jam 2 atau 3 pagi. kerana ingin
mengelakkan kepanasan pada waktu siang, disamping dapat menyelamatkan puasa
anak-anak. Maklumlah mereka masih kecil waktu itu. Pastinya akan berasa letih
bermusafir dalam berpuasa.
Menempuh
perjalanan yang jauh menggunakan sebuah kereta iswara amatlah memenatkan.
Keselesaan sangat alakadar. Anak ku yang sulong dan bungsu akan tidur
berpelukkan di kerusi sebelah pemandu. Penyandarnya aku rebahkan supaya mereka
dapat berbaring, walaupun kurang selesa. Manakala anak perempuan ku akan baring
melintang di kerusi belakangnya, ditemani isteriku di belakang kerusi pemandu.
Alhamdulillah…
Jika
diberbanding zaman kanak-kanak ku, langsung tak pernah menjamah naik kenderaan
sendiri. Kerana bapaku hanyalah memiliki sebuah basikal. Kalau hendak
kemana-mana pastinya kami akan menaiki pengangkutan awam. Bas tanpa pendingin
udara, ataupun kereta sapu yang disumbat penuh dengan penumpang seperti sardin.
Bila
anak-anak semakin membesar. Iswara telah semakin uzur dan tidak sesuai untuk
dibawa berjalan jauh. Dengan rezeki yang nyawa-nyawa ikan, aku gagahkan diri
membeli sebuah van terpakai. Alhamdulillah perjalanan semakin menjadi lebih
selesa. Anak-anak bebas bergolek ke mana saja di bahagian belakang. Tambahan
pula van yang aku beli itu dilengkapkan kerusi yang apabila direbahkan bahagian
penyandarnya, akan menjadi seperti sebuah katil queen size. Seronoklah mereka
duduk, bermain, berguling hinggalah tertidur sesama mereka. Manakala aku
ditemani isteri diruangan pemandu. Ini menjadikan perjalanan kurang membosankan
kerana ada bidadari menemani disebelah…
Namun
jodoh aku tak panjang bersama van tersebut. Sekitar 2 tahun saje. Maklumlah
barang terpakai, banyak masalah sehingga menuntut kos penyelenggaraan yang
tinggi. Memandangkan ekonomi keluarga makin stabil pada masa itu, kami
menukarkan van tersebut dengan exora baru. Alhamdulillah. Keadaan semakin jadi
lebih selesa dan bergaya. Meskipun tidak seluas sebuah van. Namun memadai
keluasan di bahagian belakang untuk ketiga-tiga anak ku bermain sesama mereka,
duduk bersandar ataupun tidur berbaring. Kali ini, kami dapat lebih menikmati
dan menghayati keindahan ciptaan tuhan disepanjang perjalanan. Kami tidak lagi
terikat bersengkang mata meredah perjalanan waktu malam bagi mengelak panas
teriknya sinaran matahari. Tidak perlu lagi mengalami kelenguhan kaki kiri
mengimbangi cluth semasa jalan sesak
dan terhenti-henti. Dan aku tidak bersendirian lagi memandu sejauh permusafiran
itu, sebaliknya isteriku lebih berkeyakinan menjadi pemandu pengganti.
Ketibaan
kami di kampung kebiasaannya akan disambut mesra oleh ibu mertuaku.
Keseronokkan dan keceriaan terpancar jelas pada wajahnya. Maklumlah
berbulan-bulan lamanya terpisah jauh dari anak kesayangan. Inilah ketikanya
dapat bertemu dan melepaskan rindu. Anak-anak ku keseronokkan tidak terkata.
Bebas bermain di sekeliling rumah, berlari bersama sepupu-sepupu mereka meniti
batas bendang, berenang di tali air sambil menangkap anak-anak ikan. Mandi air
kolah yang dingin kerana disalirkan dari puncak gunung. Kebebasan yang sangat
bermakna, berbanding tinggal di taman perumahan. Penuh dengan hiruk pikuk
kenderaan. Karbon monoksida menjadi
bauan. Anjing-anjing berkeliaran, yang boleh mengancam keselamatan.
Aku…?
Sudah pastinya gembira melihatkan keseronokan mereka.
Penat..?
tidak usah ditanya… berbaring seketika di bawah rumah bagi menghilangkan lelah
sambil menanti waktu berbuka. bertemankan pemandangan sawah padi luas
terbentang, dipagari dengan kehijauan gunung ganang dan belaian angin bendang
sepoi-sepoi bahasa, membuatkan aku terlena….
“Abah, oo abah, bangun la, dah masuk
asar ni… jom solat.”
sayup-sayup terdengar suara anak perempuan ku memanggil… Apabila membuka mata,
aku dapati diri aku berada di atas kusyen ruang tamu rumahku…. Rupanya itu semua hanyalah sebuah kenangan
yang tak mungkin dapat diulang. Sudah tiada lagi nasihat lembut dari seorang
ibu mertua, tak kan terdengar lagi kata-kata berloghat siam patani nya kepada ku
yang berketurunan bugis jawa. Tidak akan kelihatan lagi senyuman manis nya
tatkala aku tidak memahami bahasa ucapanya… Kerana pada tanggal 18 december
2017 merupakan tarikh perpindahan ibu mertua ku dari dunia ke alam akhirat.
Kegagalan semasa melakukan proses pembedahan membuang kanser pada bahagian
pehanya.. berehatlah dengan tenang dikau disana wahai ibu. Semoga kasih sayang
dan rahmat dari Allah sentiasa dicurahkan keatas roh mu. Masih segar diingatan
saat-saat akhir kau tinggal bersama kami. Walaupun tidak begitu lama, namun
cukuplah saat-saat berharga itu menjadi penebus kerinduan terhadap anak
kesayangan mu. Maafkan aku ibu kerana terpaksa membawa anak mu tinggal berjauhan
dari mu. Aku menyedari kerinduan dan kesepian yang kau tanggung selama aku menikahi
anak mu, namun sebagai insan kerdil yang hidup serba kekurangan aku tidak mampu
membawanya pulang selalu. Maafkan aku ibu…
Sesekali,
kerinduan ini merobek hati, namun aku sedar itu semua telah tertulis sejak
azali. Pasti dan pasti kami akan menyusulimu suatu masa nanti. Doa dan harapan
ku semoga Allah akan menyatukan kita semula di dalam syurga Nya. Amiin ya
Robbal alamin… dari kejauhan dan kerinduan ini aku titipkan kiriman Al-Fatehah
untuk mu ibu..
No comments:
Post a Comment