Wednesday, August 19, 2020

kiSAH sERam : aDik pErEMpuAn aKu meMakAi kaSuT aNAk paTuNG


Hari ni rabu. hari terakhir dalam tahun 1441 hijrah

tarikh 19 ogos 2020 bersamaan 30 zulhijjah 1441 hijrah. esok khamis bersamaan 1 muharam 1441H. jadi petang ni kita sama-sama bacakan do'a akhir dan awal tahun.

 

beberapa hari kebelakangan ni aku dilanda kebosanan tahap gaban. Jadi bagi mengurangkan kadar kebosanan yang telah mencapai tahap AMARAN tu, aku pun sesaje la merayau-rayau di alam maya. Sudah pastinya youtube lah menjadi pilihan untuk aku merayau. Yelah kalau nak merayau di mall dah semestinya memerlukan modal. Kalau tak shoping sekali pun, minyak kereta mesti nak kena isi, ye tak?

 

Tapi walaupun merayau-rayau di youtube tidak memerlukan modal, kita masih memerlukan genre apa yang kita nak lawati. Kalau tak nanti bukannya kebosanan yang dapat dikurangkan, malah ke’strees’an pulak datang melanda. (hahaha, bukan sama ke bosan dengan strees tu)

 

Macam biasa aku melayan vlog-vlog berkaitan permotoran, sebab itu memang minat aku. Beralih ke vlog pengembaraan, itu juga adalah hobi aku. Bertukar pulak ke vlog fakta dan isu semasa.. Tetiba aku terlayan pulak 1 vlog genre seram.. layan je la, sebab nak hilangkan kebosanan kan. lagipun vlog tu menceritakan kisah dari kejadian sebenar. Ok jugak, sebab pada aku kalau kisah-kisah seram ni macam susah nak dibuktikan kesahihannya oleh ‘si pencerita’. So oleh kerana susah nak dibuktikan, maka melambaklah cerita-cerita seram yang kebanyakkannya direka oleh ‘si pencerita’ mahupun ‘si pembawa cerita’..

 

Pada penghujung video, pemilik vlog offer sesapa yang ada pengalaman seram boleh ‘share’kan di ruang komen. Pada mulanya terlintas juga difikiran aku nak kongsikan beberapa pengalaman seram aku. Tapi bila aku fikirkan semula, baik aku kongsikan kisah-kisah aku di blog aku sendiri. Dah tentu aku sendiri yang mengalami, aku sendiri yang merasakan dan aku sendiri yang meluahkan. Barulah original. Betul tak?.. berbanding dengan aku kongsikan dengan vlogger tersebut, dan dia ceritakan semula melalui vlog nye (itu pun kalau cerita aku terpilih la). Mungkin feeling dia dah berbeza. Lagipun, secara tak langsung aku dah ada content baru dalam blog aku ni.

 

Ye la bukannya senang nak hasilkan sesuatu entry dengan hanya menaip, segala luahan perasaan dan emosi perlu disampaikan hanya melalui penulisan… berbanding dengan vlogger di youtube. Mereka lebih mudah menceritakan sesuatu entry dengan hanya berkata-kata malah boleh dibantu dengan nada penyampaian. Bagi menggambarkan emosi jalan cerita tersebut.

 

So jangan buang masa… jom kita bermula…

 

Masa umur aku sekitar dari 2 tahun hingga 8 tahun, keluarga aku tinggal di sebuah perkampungan melayu. Atau lebih dikenali sebagai kampung oren, ulu tiram di dalam daerah johor bahru. Ini adalah sebuah perkampungan lama yang diteroka oleh penduduk tempatan sekitar pertengahan tahun 70’an. Kehidupan kami disana tiada kemudahan asas seperti elektrik dan air. Kebiasaannya penduduk disana hanya menerangi rumah mereka pada waktu malam dengan menggunakan lampu pam atau lampu pelita minyak tanah. Bagi yang berkemampuan pula, mereka akan menggunakan bateri kenderaan terpakai yang dicaj kuasanya dari kedai-kedai sekitar pekan ulu tiram. Pada waktu itu banyak kedai-kedai menawarkan perkhidmatan mengecaj bateri. Ye lah itu saje sumber kuasa elektrik yang boleh didapati pada zaman tersebut. Selain dari digunakan untuk menyalakan mentol lampu, bateri itu juga digunakan untuk menghidupkan tv… bercerita tentang tv, pada zaman itu kebanyakkan rumah penduduk tidak mempunyai tv. Seingat aku hanya seorang jiran  aku, bernama pak Salleh yang mempunyai tv. Itu pun tv hitam putih yang besar dan tebalnya menyerupai sebuah almari. Haha.. selalu juga aku dan adik beradik aku akan menumpang menonton tv di rumah pak salleh. Terutamanya pada hujung minggu kalau ada cerita best.

 


Mandi dan membasuh pula kami akan pergi ke sungai. Kebetulan sungai tersebut terletak bersebelahan dengan rumah pak salleh. Jarak rumah aku dengan sungai tersebut kira-kira 200 meter. Setiap kali hendak mandi kami akan ke sungai beramai-ramai. Masing-masing akan membawa baldi yang dikitar semula dari tin biskut, tin cat atau sebagainya. Masa pulang kami akan membawa air untuk dikumpulkan ke dalm tong drum di tepi rumah. Tujuannya, air inilah yang akan kami gunakan untuk mengambil wudhuk, kegunaan di tandas, dan sebagainya.

 

Pada cuti sekolah hujung minggu kebiasaannya abang-abang aku akan berkubang beramai-ramai dengan kawan-kawan nya di sungai tersebut. Tapi jarang sekali la aku dapat join, sebab masa tu aku masih kecik lagi. Mereka akan berkubang, bermandi dan bermain dalam tempoh yang panjang, kadang kala sampai ke tengahari.

 

Nak dijadikan cerita, pada satu pagi jumaat, lepas sarapan, aku terlelap di ruang tamu rumah bertemankan abang dan abah ku... setelah beberapa jam tertidur, aku tersedar sebab terasa panas dan berpeluh. maklumlah rumah kampung berdindingkan papan dan beratap zink, tidak bersiling. Korang pun boleh bayangkan macamana garingnya rasa bila waktu panas terik… bila celik je mata aku dapati rumah aku sunyi sepi. Pada fikiran ku mesti abah ku dah ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Tapi yang menjadi pertanyaan kepala otak aku yang tak berapa nak hempok pada masa tu. Abang aku ikut sekali ke masjid atau mereka sedang bermain dengan kawan-kawanya di sungai?.... naluri aku berkata, mungkin mereka di sungai. Kerana pada masa tu mereka pun jarang-jarang mengikut abah ke masjid.

 

Dalam keadaan separuh sedar itu aku berjalan kaki menuju ke sungai sambil memimpin basikal roda tiga yang abah belikan. Jarang sekali aku mengayuh basikal ni di luar rumah. Kerana keadaan jalan tanah merah yang tak rata dan berbukit, hanya memenatkan badan saje kalau aku ingin berkayuh.

 



Untuk ke sungai, perlu melalui kawasan kebun ubi sejauh berpuluh meter tanaman mak aku. Kemudian aku akan memasuki sempadan kebun milik cik bani, yang dikelilingi pokok buah-buahan, dan sedikit belukar, kerana sudah lama ditinggalkan, sebelum melintasi rumahnya yang terbiar usang, kemudian aku perlu mendaki sedikit bukit memasuki kebun Nyaie, disebelah kanan nya ada sebuah rumah kampung berkembar, rumah wak kasmuri dan sebelahnya rumah cik dollah. Kemudian aku perlu merestasi jalan semak beberapa meter, lalu aku akan melintasi rumah wak jenal. Dan beberapa meter kemudian barulah aku akan sampai ke sungai.

 

Berjalan sambil memimpin basikal dibawah terik matahari pukul satu, pada waktu itu bukan lah sesuatu yang memenatkan, kerana aku dikelilingi kehijauan pokok dan sedikit semak samun. setelah berpuluh meter melepasi kebun ubi mak, kini aku memasuki kebun cik bani. Pada fikiran aku hanya tiga suku perjalanan saje lagi aku akan sampai ke sungai. Dah alang-alang sampai kesungai nanti, tambahan pulak mak aku tak tahu, boleh lah aku join berkubang, mandi dan bermain dengan abang-abang aku. Kalau mak atau abah tau, mesti diorang tak benarkan. Maklumlah pada masa tu umur aku baru 5 tahun. Jarang sekali mak dan abah benarkan aku bermain dengan kawan-kawan abang. Apa yang boleh bagi aku pada tu hanyalah bermain anak patung bersama adik perempuan aku.

 


Anak patung ini adalah anak patung ‘budak perempuan’. Mamakai baju gaun berskirt pendek di atas paras lutut. Dan memakai kasut berwarna putih. Baju dan kasutnya boleh ditanggalkan. tangan dan kakinya boleh digerak atau dibengkokkan. Manakala rambutnya adalah binaan plastik sepertimana bahagian badan yang lain. Apa yang istimewa tentang anak patung ini ialah, apabila dia berdiri atau didudukkan matanya akan terbuka, sambil bibirnya tersenyum. Namun apabila ia dibaringkan matanya akan tertutup, seolah-olah ia sedang tidur.

 

Sedang aku berjalan dan berangan-angan membayangkan keseronokkan dapat bermain dengan abang-abangku dan kawan-kawannya di sungai nanti. Tiba-tiba langkah ku terkunci. Dengan jelas aku terlihat di satu sudut rumah usang peninggalan cik bani, adik perempuan aku, ita sedang berdiri dan memerhatikan aku dengan senyuman yang menakutkan. Aku jadi buntu, timbul persoalan, “kenapa ita berdiri disitu seorang diri?” sambil memakai baju melayu aku berwarna biru kain sekolah menengah dan memakai kasut anak patung budak perempuan mainan kami…

 

Jarak antara ‘Ita’ denganku hanyalah sekitar 20 meter sahaja. aku semakin kelu terpaku, nak bertanya kenapa dia berada di situ, tapi mulut ku seakan terkunci. Kaki ku seakan-akan tertanam didalam tanah, berat untuk diangkat. Mataku pula seolah-olah tidak mampu untuk dialihkan memandang ke tempat lain. Seluruh anggota badan semakin menjadi lemah tak berdaya kerana semakin lama, senyuman ‘ita’ semakin menyeramkan malah mengerikan… aku terpaku membeku… beberapa ketika kemudian dengan pantas ‘ita’ berlari menghampiriku lalu melintas didepanku. Sambil berlari itu matanya merenung tepat kearah ku sambil mulutnya senyum mengerikan. Sedangkan mataku pula seolah dipukau agar sentiasa melihat ke wajahnya. Beberapa langkah setelah ‘ita’melepasi ku, kepala nya berpusing kearah belakang badannya  tetap memerhatikan dan menghadiahkan senyuman yang mengerikan kepada ku.. sepertimana kalian bayangkan jarum kompas yang sentiasa menghala kearah utara, meskipun dialihkan pada kedudukan yang berbeza.

 

Setelah beberapa meter lintasannya menjauhi ku, aku dapati badan ‘ita’ hilang sedikit demi sedikit. Bermula dari bahagian rambutnya, dahi, matanya, turun kebawah lagi. Hilang sedikit demi sedikit hinggalah akhirnya hanya tinggal sepasang kaki yang berlari tanpa anggota badan yang lain. Larian kaki ‘ita’ terus memanjat batang pokok jambu air dengan hanya memijak batang pokok tersebut seolah-olah bumi ini tiada gravity yang membolehkan ia jatuh ke bumi. Dan hinggalah keakhirnya sepasang kasut anak patung itu menghilang di tengah-tengah batang tunjang pokok tersebut.

 

Setelah jelmaan ‘ita’ menghilang barulah aku terlepas dari satu kuasa pukau. Barulah kerongkong ku dapat mengeluarkan suara jeritan..”Maakkkk !!”.. barulah badanku yang tadinya membeku terasa ringan, dan barulah kaki ku terlepas dari kunci lalu mampu berlari pulang meninggalkan basikal ku. Aku berlari sekuat hati sambil mulut aku tak henti-henti bertiak memangil mak ku…

 

Meskipun pada perasaan aku telah berlari sekuat hati tanpa perlu memimpin basikal, namun aku rasa jarak untuk sampai kerumah teramatlah jauh. Dan seolah-olah larian itu tidak membawa aku kemana-mana…

 

Alhamdulillah, setelah berlari merentasi kebun ubi berpuluh meter, akhirnya aku sampai ke perkarangan rumah. Tanpa berlengah aku terus melompat anak tangga batu di depan pintu rumah, memasukki ruang tamu, dan terus mencari mak. Aku tidak mencari mak di dalam bilik, kerana aku tau pada waktu siang begini mak dan adik beradik ku tidak akan berehat di dalam bilik. Maklumlah bagi mengelakkan kepanasan atap zink tidak bersiling, sebaliknya pasti mereka akan berehat ataupun tidur di ruangan dapur makan. Kerana lantai simen dan atap yang tinggi dapat mengurangkan kepanasan dari teriknya matahari.

 

beberapa langkah sebelum menuruni tangga kayu ke dapur. Aku dapati anak patung mainan ku sedang terduduk di atas almari hiasan sambil matanya terbeliak memerhatikan ku dan mulutnya seakan-akan tersenyum menyindir kepada ku akan perkara menakutkan yang baru saje aku lalui tadi…

 

Aku gagahkan kaki melangkah dengan laju melintasi anak patung itu sambil tidak mahu menoleh kearahnya dan menuruni tangga ke dapur. benar sangkaan ku, sedang aku melangkah menuruni anak tangga aku dapati kak ngah, kak uda dan ita adikku sedang tidur di atas lantai simen dalam pelukkan mak ku. Aku semakin melajukan langkah kearah mak, lalu berbaring di belakangnya. Sambil memeluknya dalam keadaan ketakutan. Dapat peluk mak aku dari belakang pun jadilah. Untuk aku mengumpul semula kekuatan dalam diri yang telah hilang beberapa detik yang lalu.

 

Tak berani aku baring bersebelahan ita adik ku, meskupin itulah situasi terbaik boleh berada dalam dakapan mak ku. Kerana aku masih terbayang-bayang ngerinya senyuman ‘ita’ yang aku temui tadi. Sambil memejamkan mata aku tidak berani menoleh kearah almari hiasan di tepi tangga kerana kasut yang ‘ita’ pakai tadi adalah kasut anak patung itu.

 

Beberapa ketika kemudian mak aku terjaga dan membangunkan semua kakak ku untuk menunaikan solat zohor. Aku yang masih trauma, sentiasa mengikuti kemana saje langkah mak ku. Selesai menunaikan solat zohor aku ceritakan apa yang dah berlaku tadi kepada mak dan kakak ku. Sedangkan ita adik ku masih lena dalam tidurnya. Dengan selamba mak aku cakap “mungkin anak bunian nak ajak kau bermain. Ye la kau xde kawan nak main. Adik kau masih nyenyak tidur tu.” Sambil dimuncungkan mulut nya menghala kearah adik ku. Dalam hati aku berkata, “takpelah, aku lebih rela takde kawan bermain, dari aku bermain dengan ‘ita’ yang bukan adik aku”. Senyumannya saje boleh membuatkan aku mengigau, malah tolehan kepalanya yang boleh berpusing 180 darjah kebelakang dah boleh buat aku sawan. Mak aku sambung membebel lagi, “tu la, lain kali tengah-tengahari jangan berani-berani merayap sorang-sorang, tidur sini dengan mak. Nasib baik tak diculik bunian. Kalau tak,… tak tau lah kat mana dah disorokkan agaknya”…

 

Sedang aku mendengar bebelan mak aku, walaupun tak berapa ikhlas nak dengar sebenarnya. Aku terdengar suara abang aku shah dan lan diluar rumah baru balik dari sungai. Aku segera berlari kedepan rumah. Niat dihati nak tanya diorang ada nampak tak basikal yang aku tingglkan depan rumah cik bani… rupanya diorang dah tolong bawakkan balik, sambil abangku lan bertanya, “kenapa basikal ko ada kat depan rumah cik bani?”

 

Aku dah tak daya nak jawab, sebaliknya  mak aku yang ceritakan apa yang dah berlaku sambil memberi hadiah bebelan kepada kedua-dua abang aku, sebab main sampai tengahari, “abah nak ajak g masjid pun korang tak balik-balik lagi…”

 

Setelah abah balik dari solat jumaat mak ceritakan apa yang berlaku. Kesudahannya abah tak benarkan kami bermain dengan anak patung budak perempuan tu lagi. abah simpan dalam tong kayu tepi dapur. untuk pengetahuan korang, zaman dulu, orang yang pernah merantau jauh naik kapal laut, akan ada tong kayu di rumah mereka. Tong kayu ni kiranya macam beg la. Sebab zaman tu susah nak cari beg kembara. So bila depa merantau. Segala khazanah depa akan dimasukkan dalam tong kayu tu. dan dimasukkan dalam ruangan kargo kapal laut. Setelah abis merantau, tong kayu itu akan di jadikan seolah-olah stor ataupun almari. Segala khazanah yang jarang-jarang digunakan akan disimpan didalamnya, seperti Periuk, belanga, langsir yang setahun sekali baru dikeluarkan dan berbagai khazanah lagilah… 


#kotak kayu abah aku berukuran 5’x 3’x 2 setengah kaki tinggi. Ada 3 kotak kesemuanya.

#kotak kayu tu kami panggil ‘glodog’, aku tak tau dari mana asal panggilan tu dan apa maksudnya.

 

#perkampungan kami telah dimajukan pada akhir tahun 80’an menjadi taman perumahan, dan kini semuanya hanya tinggal kenangan.

 

#masa aku menaip entry ni beberapa kali bulu tengkuk aku meremang.

 


No comments:

Post a Comment