Sunday, May 24, 2020

1 sYawAL 1441 hiJRaH


Hari ini ahad bersamaan 24 may 2020

Merupakan hari diharamkan berpuasa bagi seluruh umat Islam. Hari kembali kepada fitrah kehidupan. Hari meraikan kemenangan setelah sebulan mendidik dan menundukkan hawa nafsu. Alhamdulillah Allah masih bagi peluang kepada ku berhari raya dalam menyambung sisa-sisa kehidupan ini.

3 fasa berbeza bagi diriku menyambut aidilfitri setelah bergelar bapa.

Fasa pertama.
Dari awal perkahwinan, sehingga usia anak-anak ku mencecah belasan tahun.
Kami menyambut aidilfitri di kampung isteri ku. Bermula malam tadi, sebaik diumumkan hari ni raya, suara takbir memecah keheningan malam. Menggantikan suara cengkerik yang kebiasaannya menemani sepanjang malam ku dikampung. Suara takbir memuji kebesaran Illahi bersahut-sahutan dari corong pembesar suara masjid dan surau. Dengan penuh semangat tanpa mengenal ngantuk mahupun penat Jemaah masjid dan surau bertakbir sehinggalah selesai menunaikan solat sunat aidilfitri.

Selepas menunaikan solat subuh, ibu mertua ku sibuk menghidangkan juadah raya. Kerana kebiasaanya bagi masyarakat dikampung ini, mereka akan menziarahi kubur sebelum menunaikan solat sunat aidilditri. Memandangkan rumah ibu mertua ku bersebelahan dengan tanah perkuburan, lazimnya selesai menziarahi kubur, mereka akan singgah beraya dirumah ibu mertua ku terlebih dahulu. Secara tak langsung aku akan  menemankan tetamu yang datang itu sambil bersarapan sekali. Maklumlah aidilfitri ini kita disunatkan menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat raya berbanding aidiladha. Pada mula-mula perkahwinan dahulu aku berasa hairan dengan rutin masyarakat dikampung ini. Ye lah, mana pernah berlaku di Johor menziarah rumah orang selepas subuh. Tapi lama kelamaan aku sudah lali dengan budaya ini.

Selesai menunaikan solat sunat aidilfitri yang kebiasaannya diadakan pada jam 9 pagi, aku dan anak-anak terus balik kerumah, mahklumlah kami bukannya kenal sangat penduduk kampung disini. Terasa malu pula hendak singgah beraya dirumah mereka jika tidak ditemani isteri. Sekembalinya kami kerumah, kami akan bermaaf-maafan, bermula dari memohon maaf dari ibu mertua ku, diikuti dengan tuk perempuan isteriku, aku, isteri dan diakhiri oleh anak bungsu lelaki ku.

Selesai bermaafan, kami akan bergegas ke rumah ayah mertua ku, yang terletak di Tg. Pari, kira-kira setengah jam perjalanan. Di rumah ayah mertua, kami tidak begitu lama. Sekadar menghantar sedikit juadah raya sebagai tanda ingatan, menjamah juadah raya yang disediakan dan bersembang ringkas bersama ipar duai ku sahaja. Mereka faham akan keadaan ini, mengapa kami bertandang seketika sahaja di pagi raya.

Selaku anak sulong dan telah bercerai lama dari suaminya, ibu mertua ku kembali tinggal bersama mak dan bapaknya. Maka rumah yang kami tumpangi itu sudah tentulah menjadi kunjungan wajib adik beradik ibu mertuaku. Oleh sebab itu, kami mesti cepat-cepat pulang. Maklumlah kalau ditinggalkan ibu mertua ku bersendirian dengan ibu nya, sudah tentu kelam kabut dibuatnya nanti nak melayan puluhan, malahan ratusan tetamu yang datang tak putus-putus.

Tambahan pula memang dari kecil setelah kedua ibubapa nya bercerai, isteriku kurang rapat dengan ayahnya. Bukan kerana sikap anak derhaka, tapi ayah telah berkahwin lain dan mempunyai anak-anak baru, sedangkan ibunya terus menjanda dan hanya mempunyai satu-satunya anak kesayangan nya iaitu isteriku.

Lagipun selama kami bercuti raya dikampung bukan hanya sekali kami mengunjungi ayah. Memandangkan jarak rumah antara mereka hanyalah setengah jam, kami sering berulang alik meziarahi ayah mertua ku.

Dirumah, telah sibuk dan hiruk pikuk dengan kehadiran adik beradik ibu mertua ku. Sepupu sepapat memenuhi ruang tamu, dapur mahupun di bawah kolong rumah. Kami terpaksalah bertindak sebagai tuan rumah membantu ibu. Membuat air. Menambah mana-mana kueh ataupun lemang yang telah habis. Keadaan sebegitu berlarutan sehingga kemalam hari. Maklumlah adik beradik ibu mertuaku seramai 11 orang, sepupu isteriku melebihi 50 orang, anak saudara… tak terkira banyaknya. Itu belum lagi dicampur dengan adik beradik tuk dan salasilah keturunannya… pendek kata kalau nak buat kenduri tak payah jemput jiran, kumpulkan saudara mara je dah boleh abis seekor lembu.. Penat sepanjang hari tak usah ditanya. Ngantuk sudah semestinya. Namun itulah dikatakan kemeriahan berhari raya.

Menjelang hari raya kedua, barulah giliran kami mengunjung balas pakcik dan makcik. Kebiasaannya ibu tidak turut serta, kerana dia menguruskan tuk yang telah uzur. Niat dihati, mahu je aku angkut kedua-duanya. Tapi tuk seringkali menolak atas faktor keuzurannya. Begitulah sehingga cuti kami berakhir dan pulang ke Johor.

Di Johor, akan bermula satu lagi episod raya. Kebiasannya kami telah ketinggalan konvoi raya adik beradik ku. Namun itu tidak merencatkan kami untuk beraya kerumah mereka mahupun saudara mara. Maklumlah di Johor raya kan sebulan.

Fasa kedua raya.
Setelah 2 tahun permergian ibu mertua. Kami sudah tidak lagi pulang beraya di Kedah, sebaliknya kami akan pulang pada awal ramadhan ataupun sebelum aidiladha nanti. Raya di Johor seakan menjadi perkara yang pelik pula bagiku. .. kenapa pelik…? maklumlah berbelas tahun lamanya aku menyambut aidilfitri diutara. Dikelilingi suasana kampung yang masih dara. Sawah bendang luas terbentang,. Keriuhan sanak saudara yang ramai tak kira… Perkara sebaliknya berlaku di Johor. Selepas menunaikan solat sunat aidilfitri, barulah kami akan bertolak ke rumah ibu. Tidaklah jauh jaraknya hanya sekitar 40 minit perjalanan. Sudah pasti tiada rasa nikmat menempuh satu perjalanan pulang ke kampung. Sepertimana bait-bait lirik lagu balik kampung, dendangan Allahyarham Sudirman. ‘perjalanan jauh. tak kurasa, kerna hatiku melonjak sama’. Sampai dirumah ibu, bukanlah suasana kampung yang menjadi hidangan mata, sebaliknya hanyalah deretan hutan batu taman perumahan. Kami hanya terperap di rumah, menikmati juadah ketupat, lontong, kuah kacang dan kueh raya, sambil menonton tv. Sesekali kakak dan abang ku bersama anak beranak nya datang. Duduk sejam dua. Mereka pun pulang. Seketika nanti adik-adik ku pula datang bersama keluarga mereka, dan pulang juga kerumah masing-masing. Maklum lah mereka sekariah dengan ibuku. berjalan kaki sahaja boleh sampai ke rumah ibu.

Penat atau ngantuk, baik mereka balik kerumah masing-masing bebas tidur membongkang, dari bersempit-sempit dirumah ibu. Aku kebiasaanya akan tidur semalaman dirumah ibu. Sebelum pulang kerumah pada petang hari raya kedua,aku akan singgah kerumah adik-beradik yang berdekatan sambil bermarhaban, itupun kalau cukup korum.

Hari raya ketiga semua telah kembali berkerja. Kunjungan raya hanya berlaku pada sebelah malam ataupun hujung minggu sahaja. Menunggu adik beradik, anak saudara mahupun rakan sekerja.

Fasa ketiga raya.
Tahun ini adalah tahun yang cukup berbeza bagi kami dan keseluruhan rakyat Malaysia. Kerana pandemic covid-19 seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan agar beraya dirumah sahaja. Bukan setakat itu, malah telah hampir 3 bulan lamanya kami berkurung dirumah. Aku sendiri pun tak tahu sampai bila akan berkurung begini.. Keluar hanya membeli barang keperluan makanan, solat fardhu dan tarawikh berjemaah dirumah, tiada solat fardhu jumaat jauh sekali solat sunat aidilfitri.

Penangan covid ini juga telah membuka lembaran baru dalam sejarah hidupku, mengimami solat sunat tarawikh dan aidilfitri dirumah. Tahun hadapan belum tentu peluang seperti ini dapat aku rasai lagi. Selesai solat sunat raya, kami bermaafan sesama kami. Menikmati juadah raya, sambil menonton tv. Tidak perlu bergegas ke rumah ibuku dan tidak perlu menunggu kehadiran tetamu.

Inilah sejarah baru dalam perjalanan hidup ku, dari kecil tidak pernah aku menyambut raya seperti ini, jauh sekali terbayang pada tahun 2020 yang dikatakan serba canggih ini sambutan aidilfitri jadi sebegini.. namun bersyukur kepada yang Maha Esa kerana masih mengurniakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam. Jika diamati perintah berpuasa secara tidak langsung dapat mendidik jiwa insan agar mengenangkan mereka yang dhaif dan kemiskinan, hidup dalam kelaparan. Perintah berkurung PKPB ini pula dapat memberi sedikit gambaran mungkin beginikah saudara-saudara seIslam diseluruh dunia yang tinggal di negara bukan Islam. Dan lebih menyedihkan lagi, mungkinkah inilah perasaan mereka yang hidup disebuah negara yang terlibat dengan kancah peperangan.

Wallahuaklam…



Thursday, May 21, 2020

aNak bULan sYawAL TidAk kELihaTan




semasa berpuasa zaman kanak-kanak, detik 29 ramadhan adalah hari yang penuh dengan keterujaan dan debaran. Kerana lepas berbuka nanti majlis agama Islam akan meneropong anak bulan syawal. Seandainya kelihatan, maka akan diumumkan esok raya. Namun andai sebaliknya, terpaksalah esok berpuasa sehari lagi. Seperti perasaan kanak-kanak yang lain, sudah pastinya aku mengharapkan esok raya. Kerana pada perasaan ku berpuasa pada 30 ramadhan terlalu meletihkan. Seolah-olah masa berlalu begitu lambat, jam didinding kelihatan tidak bergerak seperti kebiasaannya.

Pastinya berbeza pula bagi ibu dan abahku. mereka mesti mengharapkan esok masih 30 ramadhan. Kerana berharap agar ramadhan itu tidak pergi begitu cepat. Lagipun seandainya esok ditakdirkan raya, pastinya malam tersebut akan menjadi kelam kabut, meskipun ketupat telah siap dianyam. Ayam telah dibeli dari pasar, berserta bahan-bahan dan ramuan untuk membuat rendang. Namun segala juadah terpaksa dibereskan pada malam tersebut. zaman dahulu penetapan hari berpuasa dan raya hanya ditentukan melalui kelihatan atau tidaknya anak bulan. tidak seperti zaman sekarang, disamping meneropong anak bulan, kaedah hisab dan rukyah juga dipraktikkan. Maka lebih senang untuk membuat persiapan awal.

Seandainya anak bulan tidak kelihatan. Malam itu kami akan jalani kehidupan seperti malam-malam ramadhan sebelumnya. Menunaikan solat tarawikh di masjid. Ibu akan memasak ketupat dan rendang pada esok hari. Namun andainya malam tersebut diumumkan anak bulan syawal telah kelihatan. Maka akan kelam kabutlah seisi rumah. Adik beradik ku yang perempuan akan sibuk menukarkan langsir. Walaupun bukan langsir baru. Hanya recycle dari tahun lepas, namun ia sudah cukup menambahkan mood raya.

Ibu akan sibuk didapur. Memulakan proses memasak rendang.  Salah seorang kakak ku akan memasak kuah kacang. Aku dan abang-abangku membantu mengupas bahan-bahan masakkan.  Ada pula yang akan memasukkan beras kedalam kelongsong ketupat. Tidak ketinggalan juga ibu akan membuat lepat iaitu sejenis makanan tradisi jawa. Beras pulut dicampurkan kacang soya dan kelapa parut. Selalunya kami akan menjaga api rebusan ketupat dan lepat sehingga ke subuh, maklumlah zaman itu kami hanya merebus ketupat dengan menggunakan kayu api dibelakang rumah. Dengan nyalaan api yang tidak konsisten boleh mamaksa kami menunggu sehingga 4 atau 5 jam lamanya. Namun ia tidak sedikitpun mendatangkan rasa ngantuk kepada kami. Maklumlah keseronokkan menyambut raya esok hari mengatasi keletihan yang datang.

Bagi keturunan bugis seperti ibu, juga mempunyai makanan tradisinya tersendiri. Iaitu burasak. Namun seingat aku tidak pernah sekalipun kami menyambut raya dengan ibu memasak burasak. Kerana kata ibuku burasak lebih sukar proses penyediaannya. Dan ia tidak boleh bertahan lama. Mudah basi berbanding ketupat.

Berbeza pula setelah aku mendirikan rumahtangga. Kelazimannya bagi masyarakat di kedah, mereka membakar lemang ataupun mengukus ketupas daun palas. Kedua-duanya makanan berasaskan beras pulut. Jujur aku katakan, seumur hidup aku tidak pernah menjamah lemang, jauh sekali merasai pengalaman membakarnya. Tapi keadaan sebaliknya berlaku setelah aku menikahi orang utara. 2 budaya yang sangat berbeza. Alhamdulillah inilah keindahan yang Allah ciptakan. Perbezaan budaya membuatkan kita saling mengenali dan berkogsi citarasa kehidupan.

Kebiasaannya ibu mertua ku akan membakar lemang pada 29 ramadhan. Tidak mau melepaskan peluang, aku akan membantu memarut kelapa dan menyalakan api. Manakala proses memasukkan daun pisang muda ke dalam buluh,  kemudian memasukkan beras pulut dan menuangkan santan, aku serah pada yang pakar. Hihi… proses membakar lemang ini lebih rumit dari merebus ketupat. Kerana merebus ketupat aku hanya perlu memastikan api sentiasa menyala dan sesekali memastikan air rebusan tidak kering. Manakala proses membakar lemang pula, perlu memastikan api tidak menyala, hanya bara sahaja yang diperlukan, sambil sesekali menambah pekatan santan ke dalam buluh yang hampir kering. Lemang juga perlu sentiasa dipusing-pusingkan, agar tidak terbakar sebelah, atau lebih teruk lagi, hangus. Sepanjang proses membakar lemang aku sentiasa berpanas dengan bahang bara api.

Pada sebelah petangnya pula, ibu mertuaku akan memasak rendang daging tok. Aku….? Tak usah ditanya.. kebiasaannya dah terlentang dibawah rumah, kepenatan dan kehausan, dehydration 4 atau 5 jam semasa proses membakar lemang… haha… Dan sudah pastinya menu berbuka pada hari tersebut adalah lemang berlaukkan rendang tok. Disebabkan lemang ini dibakar berbanding ketupat yang direbus, ketahanannya lebih lama. Sehinggakan kadang kala ibu sempat membekalkan kami lemang untuk dibawa balik ke Johor pada raya ke 4 atau 5.

Kini, telah hampir 3 tahun aku tidak membakar lemang. Sebaliknya isteriku hanya membuat lemang kukus, apabila menjelang raya. Maklumlah hidup di tengah bandaraya ini, mana aku nak cari buluh lemang, jauh sekali hendak mencari kayu api, dan yang paling mustahil dimana aku nak membakar lemang tu nanti. Duduk di taman perumahan tidak sama seperti hidup dikampung. Namun semangat untuk menyediakan juadah utara tetap ada dalam diri kami. Maklumlah dalam adik beradik hanya aku seorang berkahwin dengan orang luar negeri Johor. Manakala yang lainnya bertemu jodoh dengan sebangsa dan mempunyai budaya yang serupa.

Bila berkumpul di rumah ibu ku pada hari raya nanti, sudah pastinya ketupat dan kuah lodeh menjadi menu utama dari adik beradik ku, meskipun berbagai-bagai variasi dan cara memasaknya, namun masih berasaskan nasi impit dan kuah lemak. Kecuali kami sekeluarga sahaja yang membawa menu berbeza. Iaitu lemang dengan rendang tok atau daging masak hitam.

Sesekali terasa rindu dengan kenangan lalu bersama ibu mertua ku membakar lemang. Maklumlah selama 18 tahun usia perkahwinan kami. 15 tahun, aku menyambut aidilfitri bersamanya. Hanya setelah ketiadaan beliau pada tahun ke 16, barulah kami menyambut aidilfitri di Johor. Mungkin pada fikiran kalian aku bersikap tidak adil, mengutamakan keluarga isteriku. Sebenarnya tidak begitu. Pada tahun kedua usia perkahwinan, kami berhasrat menyambut aidilfitri bersama ibuku di Johor pula, namun niat itu disergah oleh ibuku sendiri. Katanya “sepanjang masa korang hidup di Johor, jengguk mak setiap minggu, takkan raya setahun sekali pun korang tak boleh balik kedah, temankan mak sana. Dah la mak sana takde siapa-siapa. Apa perasaan dia nanti raya sorang-sorang, anak cucu tak balik. Mak kat sini takpe, ramai lagi anak-anak yang lain. Lagipun raya puasa ni cuti kan lama. Balik la sana. Kalau nak beraya dengan mak, nanti-nantilah, raya haji ke…!!” Alhamdullillah, Allah kurniakan aku seorang ibu yang sangat memahami.


Kata-kata ibuku tidak kami praktikkan lagi, kerana ibu mertuaku telah mendahului kami semua kembali kepada Penciptanya. Kini tibalah masa untuk kami menceriakan hati ibu ku pula. Sudah tidak ada lagi kisah bermusafir sehingga berbelas-belas jam. Tidak ada lagi cerita keletihan menghadapi kesesakan lebuhraya. Dan pastinya tidak ada lagi memori baru membakar lemang bertemankan pemandangan sawah bendang.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN dari kami sekeluarga buat saudara mara di kejauhan sana. Semoga Allah menemukan kita lagi pada kesempatan lainnya..

Wednesday, May 20, 2020

dARi jAuH kU pOhON maAF




hari ini rabu, 27 ramadhan bersamaan 20 may 2020. Berjalan seperti biasa, tiada apa-apa yang istimewa. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Pada waktu-waktu sebegini merupakan saat-saat akhir aku berkerja. Kerana malamnya kami akan bermusafir pulang ke kampung isteri. Syawal ini merupakan tahun ke-3 bagi keluarga aku beraya di Johor, bersama ibu dan adik beradik ku.

Tidak seperti dahulunya setiap tahun kami akan menyambut aidilfitri di utara tanah air. Di kampung isteriku Baling, Kedah. Masih bermain difikiran, semua kenangan lalu. Keseronokkan menempuh perjalanan sejauh 700 lebih km yang mengambil masa sehingga 10 jam lamanya malah, seandainya keadaan jalan sesak teruk terkadang boleh mencecah sehingga 15 jam..

Memandangkan aidilfitri cuti sekolah agak lama berbanding aidilahda, jadi kami menggunakan peluang tersebut untuk beraya dikampung. Masih segar dibenak ingatanku, kebiasaannya kami akan bertolak dari rumah pada sebelah malam. Samada selepas menunaikan solat tarawikh mahupun sekitar jam 2 atau 3 pagi. kerana ingin mengelakkan kepanasan pada waktu siang, disamping dapat menyelamatkan puasa anak-anak. Maklumlah mereka masih kecil waktu itu. Pastinya akan berasa letih bermusafir dalam berpuasa.

Menempuh perjalanan yang jauh menggunakan sebuah kereta iswara amatlah memenatkan. Keselesaan sangat alakadar. Anak ku yang sulong dan bungsu akan tidur berpelukkan di kerusi sebelah pemandu. Penyandarnya aku rebahkan supaya mereka dapat berbaring, walaupun kurang selesa. Manakala anak perempuan ku akan baring melintang di kerusi belakangnya, ditemani isteriku di belakang kerusi pemandu. Alhamdulillah…

Jika diberbanding zaman kanak-kanak ku, langsung tak pernah menjamah naik kenderaan sendiri. Kerana bapaku hanyalah memiliki sebuah basikal. Kalau hendak kemana-mana pastinya kami akan menaiki pengangkutan awam. Bas tanpa pendingin udara, ataupun kereta sapu yang disumbat penuh dengan penumpang seperti sardin.

Bila anak-anak semakin membesar. Iswara telah semakin uzur dan tidak sesuai untuk dibawa berjalan jauh. Dengan rezeki yang nyawa-nyawa ikan, aku gagahkan diri membeli sebuah van terpakai. Alhamdulillah perjalanan semakin menjadi lebih selesa. Anak-anak bebas bergolek ke mana saja di bahagian belakang. Tambahan pula van yang aku beli itu dilengkapkan kerusi yang apabila direbahkan bahagian penyandarnya, akan menjadi seperti sebuah katil queen size. Seronoklah mereka duduk, bermain, berguling hinggalah tertidur sesama mereka. Manakala aku ditemani isteri diruangan pemandu. Ini menjadikan perjalanan kurang membosankan kerana ada bidadari menemani disebelah…

Namun jodoh aku tak panjang bersama van tersebut. Sekitar 2 tahun saje. Maklumlah barang terpakai, banyak masalah sehingga menuntut kos penyelenggaraan yang tinggi. Memandangkan ekonomi keluarga makin stabil pada masa itu, kami menukarkan van tersebut dengan exora baru. Alhamdulillah. Keadaan semakin jadi lebih selesa dan bergaya. Meskipun tidak seluas sebuah van. Namun memadai keluasan di bahagian belakang untuk ketiga-tiga anak ku bermain sesama mereka, duduk bersandar ataupun tidur berbaring. Kali ini, kami dapat lebih menikmati dan menghayati keindahan ciptaan tuhan disepanjang perjalanan. Kami tidak lagi terikat bersengkang mata meredah perjalanan waktu malam bagi mengelak panas teriknya sinaran matahari. Tidak perlu lagi mengalami kelenguhan kaki kiri mengimbangi cluth semasa jalan sesak dan terhenti-henti. Dan aku tidak bersendirian lagi memandu sejauh permusafiran itu, sebaliknya isteriku lebih berkeyakinan menjadi pemandu pengganti.

Ketibaan kami di kampung kebiasaannya akan disambut mesra oleh ibu mertuaku. Keseronokkan dan keceriaan terpancar jelas pada wajahnya. Maklumlah berbulan-bulan lamanya terpisah jauh dari anak kesayangan. Inilah ketikanya dapat bertemu dan melepaskan rindu. Anak-anak ku keseronokkan tidak terkata. Bebas bermain di sekeliling rumah, berlari bersama sepupu-sepupu mereka meniti batas bendang, berenang di tali air sambil menangkap anak-anak ikan. Mandi air kolah yang dingin kerana disalirkan dari puncak gunung. Kebebasan yang sangat bermakna, berbanding tinggal di taman perumahan. Penuh dengan hiruk pikuk kenderaan. Karbon monoksida menjadi bauan. Anjing-anjing berkeliaran, yang boleh mengancam keselamatan.

Aku…? Sudah pastinya gembira melihatkan keseronokan mereka.
Penat..? tidak usah ditanya… berbaring seketika di bawah rumah bagi menghilangkan lelah sambil menanti waktu berbuka. bertemankan pemandangan sawah padi luas terbentang, dipagari dengan kehijauan gunung ganang dan belaian angin bendang sepoi-sepoi bahasa, membuatkan aku terlena….

“Abah, oo abah, bangun la, dah masuk asar ni… jom solat.” sayup-sayup terdengar suara anak perempuan ku memanggil… Apabila membuka mata, aku dapati diri aku berada di atas kusyen ruang tamu rumahku….  Rupanya itu semua hanyalah sebuah kenangan yang tak mungkin dapat diulang. Sudah tiada lagi nasihat lembut dari seorang ibu mertua, tak kan terdengar lagi kata-kata berloghat siam patani nya kepada ku yang berketurunan bugis jawa. Tidak akan kelihatan lagi senyuman manis nya tatkala aku tidak memahami bahasa ucapanya… Kerana pada tanggal 18 december 2017 merupakan tarikh perpindahan ibu mertua ku dari dunia ke alam akhirat. Kegagalan semasa melakukan proses pembedahan membuang kanser pada bahagian pehanya.. berehatlah dengan tenang dikau disana wahai ibu. Semoga kasih sayang dan rahmat dari Allah sentiasa dicurahkan keatas roh mu. Masih segar diingatan saat-saat akhir kau tinggal bersama kami. Walaupun tidak begitu lama, namun cukuplah saat-saat berharga itu menjadi penebus kerinduan terhadap anak kesayangan mu. Maafkan aku ibu kerana terpaksa membawa anak mu tinggal berjauhan dari mu. Aku menyedari kerinduan dan kesepian yang kau tanggung selama aku menikahi anak mu, namun sebagai insan kerdil yang hidup serba kekurangan aku tidak mampu membawanya pulang selalu. Maafkan aku ibu…

Sesekali, kerinduan ini merobek hati, namun aku sedar itu semua telah tertulis sejak azali. Pasti dan pasti kami akan menyusulimu suatu masa nanti. Doa dan harapan ku semoga Allah akan menyatukan kita semula di dalam syurga Nya. Amiin ya Robbal alamin… dari kejauhan dan kerinduan ini aku titipkan kiriman Al-Fatehah untuk mu ibu..




Monday, May 11, 2020

bAJu rAyA rUKuNtEtAngGa


tajuk ni takde kena mengena dengan aku pun. Saje aku teringat pada satu watak Ujang dalam kisah bersiri aku budak minang melalui majalah humor Gila-Gila edisi 80’an

bercerita pasal baju raya. Tahun ni anak-anak ku terpaksa membeli baju raya secara online. Maklumlah PKP berkuatkuasa dari bulan rejab sehinggalah kini. Mana ada bazar baju raya mahupun bazar ramadhan. Pasaraya pun hanya membuka seksyen barangan keperluan harian sahaja. Namun Alhamdulillah, masih ada medium lain untuk membelikan baju raya anak-anak. Kebiasaannya baju raya anak-anak, akan kami beli sebelum masuk bulan ramadhan, maklum je lah waktu berpuasa boleh terjelir lidah kalau nak tawaf satu pasar kemboja yang menjual pakaian. Baik di kota tinggi ataupun di sg tiram. Keluasannya menyamai sebuah padang bola.

Teringat aku semasa zaman kanak-kanak Perkataan baju raya memang takde dalam kamus kehidupan kami adik beradik. berbanding dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Di sekolah mereka sibuk bercerita tentang baju raya yang berbagai warna. Ada yang mendapat sepasang seorang, tidak kurang yang mendapat 2 pasang dari ibubapa mereka. Berbagai reaksi dan kemegahan diri masing-masing terserlah ketika menceritakan baju raya mereka. sebaliknya aku hanya mendiamkan diri sambil mendengar dengan tanpa rasa minat perbualan tentang baju raya ini. Kerana aku sedar, aku tidak seperti keluarga mereka yang mempunyai lebihan simpanan kewangan. Bagi kami sekeluarga, seandainya ada makan dan pakaian harian pun sudah bersyukur. Lupakanlah sahaja hasrat mengimpikan sepasang baju raya baru.

Baju raya kami hanya akan mewarisi dari abang kepada adik. Itu pun sekiranya baju itu telah ketat dipakai oleh abangku. Dan baju raya warisan itu hanyalah sehelai baju, tanpa seluar, bukanlah sepasang baju raya… Bagaimana dengan seluar?.. kami hanya memakai seluar panjang harian sahaja. mungkin kalian  membayangkan baju lusuh yang aku pakai, kerana mewarisi dari abang-abangku. Ye memang benar. Namun ia tidaklah terlalu lusuh. Kerana kebiasaannya ibu akan menyimpan semula baju-baju raya tersebut apabila habis musim raya. Ibu akan menyimpan elok-elok didalam ikatan kain, dan diletakkan di dalam kotak kayu yang bertutup rapat. Bagi mengelakkan dari digigit oleh tikus.

Baju-baju raya tadi hanya akan dikeluarkan semula pada hari raya aldiladha nanti ataupun pada aidilfitri tahun berikutnya.  Seandainya tahun berikut itu badan abang aku telah membesar dan tak muat baju tahun lalu, maka ia akan menjadi rezeki aku pula. Tapi bagi aku, baju raya tahun lepas walaupun ketat sedikit ia masih menjadi milik aku juga. Sebab kedua-dua adik aku adalah perempuan. Takkan mereka nak memakai baju raya lelaki…

Seingat aku, pernah sekali aku mendapat baju raya baru berwarna putih.. kenapa putih? Kebetulan baju sekolah agama ku telah terlalu lusuh. Itu pun baju yang aku warisi dari abang-abangku. Maka tahun itu ibuku menjahitkan sepasang baju raya baru berwarna putih, supaya selepas musim raya nanti baju itu boleh aku gunakan untuk ke sekolah agama.

Masa berlalu, musim berubah. Meningkat ke zaman remaja setelah tamat persekolahan, aku telah berkerja. Dan telah mampu membeli baju raya sendiri disamping membelikan baju raya untuk adik-adik. Alhamdulillah, merasa juga bergaya dengan baju raya baru. Bukan sekadar sepasang baju raya, malah kami telah mampu membeli aksesori baju raya termasuk sampin. Pada usia sebeginilah baru aku dapat menikmati beraya dengan baju baru. Malah aku telah mampu memberi duit raya kepada kedua ibubapa ku… Alhamdulillah, syukur di atas setiap kurniaan Mu ya Robb.

Teringat aku pada satu pagi aidilfitri. Selesai dari menunaikan solat hari raya di masjid jamek Ulu Tiram. Aku bergegas pulang untuk memohon maaf dan mengucapkan selamat hari raya kepada kedua ibu dan abah ku. Selesai mohon maaf aku hulurkan sampul duit raya berisi note lima puluh sebanyak 3 keping. Kepada mereka.. selang beberapa ketika, abah ku bertanya kenapa bagi duit raya banyak sangat. Aku menjawab selamba. “man dapat bonus”. Zaman itu, 150 sudah dikiranya banyak, berbanding sebulan aku berkerja berhempas pulas, pendapatan hanyalah 750 ringgit.



Friday, May 8, 2020

raMaDhAn Di HaTi


8 may 2020 bersamaan 15 ramadhan
Hari jumaat ke-3 dalam bulan ramadhan.

Bermakna telah separuh ramadhan ini di lalui
Malam ini bermulanya bacaan surah Al-Qodr di dalam rakaat pertama tarawikh
Malam ini bermulanya bacaan qunut di dalam solat witir.
Ini bermakna hanya tinggal separuh sahaja lagi ramadhan akan menemani kita.

Tanyaku pada diri…
Bagaimana dengan bacaan Al-quran? Sudah khatamkah? Atau sekurang-kurang separuh dari khatam…ataukah masih kekal berabuk Al-quran terletak di atas rak bacaan.

Bagaimana dengan tahajjud? Telah bermula atau telah bersediakah untuk melalui 10 akhir ramadhan nanti? Atau mungkin juga masih lena dibuai mimpi yang sememangnya takkan menjadi nyata?

Bagaimana pula dengan sedekah? Telah susutkah wang dari akaun simpanan nyata yang dipindahkan menjadi saham akhirat? Atau mungkinkah masih berkira-kira dengan wang yang tak seberapa, namun bercita-cita untuk membeli harta seluas dunia..

Tidak perlu aku menjawab semua persoalan ini seperti seorang anak kecik yang terkocoh-kocoh menjawab soalan upsr darjah enam, sebaliknya jawablah semua persoalan ini dengan penuh rasa kehambaan dari seorang insan kepada Pencipta nya.

Pagi ini dikejutkan sahur dengan berita pemergian tuan guru ustaz dato ismail kamus. Innalillahi waillaihirojiun.. pemergiannya pada malam jumaat penuh barakah, di dalam bulan ramadhan yang mulia. Aku membesar dengan ceramah dari tuan guru. Bermula dari zaman tali kaset hinggalah beralih ke CD. Itu pun hanya boleh dibeli di pasar-pasar malam.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mu tuan guru, dan semoga Allah menunaikan janji-janji nikmat di atas segala pengorbanan tuan guru menegakkan syiar Islam diatas muka bumi ini.

Damailah dan berehatlah dengan tenang kau disana. Pasti dan pasti aku akan menyusulimu pada suatu masa yang telah ditetapkan bagi ku nanti.. Al-Fatehah

Dalam keadaan PKPB semalam aku dan adik-beradik ku berbuka puasa di rumah ibu.Sekadar gambar hiasan..





Wednesday, May 6, 2020

dAiRY raMaDhAn kU


6 may 2020 rabu, bersamaan 13 ramadhan 1441H

teringat sewaktu zaman kanak-kanakku. Waktu-waktu sebegini kebiasaannya kakak ku berdua sedang sibuk membuat kueh raya. Pelbagai jenis dan warna-warna kueh raya yang dikirakan moden pada zaman itu. Ada semperit, ada biskut dam, ada biskut kacang, ada tart nenas, biskut nestum dan pelbagai lagi ntah apa nama-namanya.

Tabiat akak aku pula suka memulakan proses membuat kueh raya ini selepas waktu berbuka. Maklumlah pada waktu siang mereka juga sibuk berkerja. Menguli, mengadun, mencetak, akan mereka berdua lakukan bersama. Manakala aku dan kedua abang ku akan menunaikan solat tarawikh dahulu di masjid. Sekembali dari masjid barulah tugasan untuk kami bermula. Kami akan mula membakar biskut-biskut raya tadi didalam oven butterfly. Kadang kala menjelang ke waktu sahur barulah siap kami membakar kesemua biskut-biskut tadi. Penat dan mengantuk memang tidak boleh dinafikan. Kadang kala sampai kami terlelap di tepi oven. Nasib baiklah sessi persekolahan kami pada sebelah petang.

Manakala bagi ibu ku pula, setiap tahun hanya membuat 2 jenis kueh raya tradisional. Iaitu bahulu dan rempeyek. Kebiasaannya rempeyek kacang hijau lah menjadi pilihan ibuku. Ada yang mengatakan rempeyek kacang hijau itu sebagai tumpi… ah.. lantaklah. Bagi aku sama sahaja. Rempeyek ke, tumpi ke, apa yang penting bagi aku semua itu boleh menaikkan mood raya. Sebaik sahaja timbul kisah tentang kueh raya, pastinya hari raya akan menjelma tidak lama lagi.

Maklum lah pada zaman dahulu agak susah untuk menikmati kueh-kueh raya bukan pada musimnya. Tidak seperti zaman sekarang, di pasaraya sentiasa ada menjual kueh-kueh mahupun biskut raya.. Begitu juga lagu-lagu raya hanya boleh didengari pada minggu-minggu akhir ramadhan, tidak seperti zaman sekarang, setiap masa boleh mendengar lagu raya dari youtube. Tapi awas jangan bukak volume terlalu kuat. Takut-takut nanti jiran sebelah tuduh kita buang tabiat pulak….

Rutin ibuku pula, kebiasaannya dia akan membakar bahulu pada hari cuti sekolah hujung minggu. Waktu begini bolehlah kami membantu ibu untuk membakar bahulu. Cerita pasal bahulu adalah cerita yang boleh menimbulkan berbagai perasaan. Seronok sebab, pastinya hari raya akan menjelma tidak lama lagi. Penat, sebab kami adik beradik ditugaskan memukul telur dan gula bermula dari pagi sehinggalah selesai. Kadangkala boleh mencecah sehingga waktu isya’. Memang tak pergi tarawikh la gamaknya. Mana tak nya, sekali membuat bahulu, ibuku akan mengadun sehingga 30 bijik telur. Yang boleh menghasilkan sehingga 2 tin biskut yang besar. Manakala pembakarnya pula hanyalah 1 adunan tembaga. Ada bentuk ayam, ikan mas, kerang dan berbagai lagi.

Apa boleh buat, hanya itulah satu-satunya kemampuan abah ku membeli adunan tembaga pembakar bahulu. Kebiasaanya ibu akan membakar bahulu di dapur kayu luar rumah. Begitu juga dengan rempeyek. Ibu akan menggoreng rempeyek pada hujung minggu terakhir ramadhan. Alasan nya supaya rempeyek tadi tidak cepat lemau. Namun kerja-kerja menggoreng rempeyek tidaklah seteruk memukul telur bergilir-gilir dari pagi sampai ke malam.

Rempeyek hanya memerlukan adunan cair tepung bersama bahan-bahan adunannya di dalam tin besar. Apabila mula hendak menggoreng ibu akan pindah sedikit ke dalam besen dan dicampurkan dengan kacang hijau yang telah direndam semalamam. Lalu dicurahkan dengan senduk di bibir minyak panas. Seringkali juga aku akan mengambilalih tugasan ibu untuk menggoreng rempeyek. Alah bias tegal biasa. Maklumlah aku dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Membuat kerja-kerja dapur itu sudah biasa bagi kami. Malah bukan setakat kerja-kerja dapur sahaja. Pada usia ku seawal 10 tahun aku telah membantu abah membina rumah yang kami diami itu. Tidak ketinggalan dengan kedua-dua abang ku juga.

Kini, semua itu telah menjadi sebuah kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin dapat diulang. Ibu ku semakin lemah dan tidak berdaya, meniti sisa-sisa usia tuanya. Abah telah lama pergi menghadap Pencipta nya. Adik beradik ku pastinya sedang sibuk melayan kerenah anak-anak dalam usaha membesarkan mereka. Dan sudah pastinya kami sedang melalui apa yang dilalui oleh ibu dan abah suatu masa dahulu. Meskipun kehidupan kami pada masa dahulu hanyalah mencukupi sekadar yang perlu, namun itu adalah jauh lebih baik berbanding mereka-mereka yang serba kedaiffan. Sesungguhnya kehidupan aku dulu telah menjadikan aku insan yang tahu menghargai setiap hikmat yang dikurniakan.

timbul persoalan dibenak ku… adakah anak-anakku menikmati setiap kesusahan dan kekurangan dalam menjalani kehidupan ini sebagai kemanisan. Atau mungkinkah mereka menganggap setiap kekurangan adalah kepahitan yang memeritkan.. wAllahuaklam




Tuesday, May 5, 2020

aKU sEoRAnG bLogGeR


kebelakangan ini aku sering mengadap laptop usang yang telah berusia lebih sedekad. Dengan tak ada update terbaru baik dari segi software mahupun hardware. Maklumlah PKP, kerja tak boleh, bersiar-siar, jauh sekali. Apa lg yang mampu aku lakukan selain dari menghiasi serba ala kadar blogspot pengembara di bumi gersang ini.

Anak-anak, sibuk dengan gadget masing-masing. Rutin dan kelaziman biasa bagi anak-anak zaman sekarang. Kurang gemar membaca buku, menulis mahupun menonton berita tv untuk mendapatkan info-info terkini baik di dalam, mahupun di luar negara. Apa yang mereka buru, hanyalah upload-upload terbaru dari intagram, berita-berita terkini dari facebook, atau mungkin juga isu-isu viral dari youtube. Sungguh berbeza dengan zaman kecil dan remaja ku.

Salah ke?.. tak salah pun. itu adalah salah satu tanda kemajuan sebuah negara dan kecanggihan teknologi terkini. Namun ia menjadi kesalahan apabila setiap berita yang diterima, terus disebarkan, tanpa mengkaji terlebih dahulu akan kesahihannya. Dan boleh menjadi kelalaian sekiranya memandang handphone lebih lama dari memegang dan membaca Al-quran..

Sedang jari jemari aku ligat manari di atas keyboard laptop, anak aku yang bungsu bertanya. “Kenapa abah tulis blog? Kenapa abah tak jadi vlogger di youtube je? Kan senang, bt video je. Tak payah susah-susah menaip, abah boleh buat video pasal hobi abah dengan motor ke, pastu edit sikit, dah boleh upload. Senang, tak payah penat-penat orang nak baca. Jadi youtuber pun boleh dapat duit…” aku termenung sejenak sambil menatap dinding kosong, sepertimana kosong nya idea dalam otak aku untuk menjawab soalannya.. tanpa mengharapkan jawapan anak aku berlalu, baring di kusyen, menyambung semula menatap handphone nya…

Sebenarnya bukan aku tak berminat menjadi vlogger. Beberapa tahun lepas aku pernah menyuarakan hasrat kepada seorang rakan yang agak mahir dalam bidang IT. Tapi jawapan mengecewakan yang aku terima darinya. “kalau ko nak jd vlogger ko kena upgrade laptop ko ni man, setakat laptop zaman tok kadok ni, bukan kata ko nk edit, silap-silap, masa ko transfer video dari camera ke laptop je dia dah hang. Ko kena lah guna PC yang up to date sikit. Kalau ko nak buat video, ko nak rakam dengan apa? Dh ada action camera? Tak pun ada handphone yang canggih-canggih sikit ke untuk rakam video?” ini lah ayat yang menjadi faktor aku melupakan niat untuk bervlogger. Bukannya aku tak mampu untuk memilikki semua peralatan itu. Namun aku rasa duit ribuan ringgit itu lebih baik aku gunakan untuk menguruskan perbelanjaan rumahtangga dan keperluan pelajaran anak-anak.

Kalau diikutkan hati memang aku mencemburui vlogger-vlogger di dalam youtube seperti kupi kupi go, dd chronicle, abang koroy, armi motovlog, rider helmet pink, missmoto, zuki dan pak duan, faizalrozi vlog, film independent Malaysia dan ramai lagi. Yang mana aku sendiri menjadi subscriber mereka. Tapi bila memikirkan poket aku yang selalu berkerincing dengan wang syiling sahaja, baik aku kuburkan sahajalah niat nak menjadi seperti mereka. Biarlah aku kekal sebagai seorang blogger yang dikenali sebagai Jeman. Dengan sekadar coretan biasa.



Monday, May 4, 2020

tAkdiR dAN wAkTu


hari ni isnin, 4 hb may 2020 bersamaan 11 ramadhan 1441H

Fasa ke 4 Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat.

Alhamdulillah, sejak 2 3 hari kebelakangan ini kes positif covid-19 telah mula menampakkan penurunan. Cluster yang aktif sekarang ni nampaknya adalah dari cluster pelancong. Berbanding permulaan covid-19 dulu kebanyakkan dari cluster Jemaah tabligh yang berhimpun di masjid seri petaling Selangor.


Hari ini merupakan bermulanya PKPB perintah kawalan pergerakkan bersyarat. Ini bermakna industry-industri telah boleh kembali beroperasi, kedai makan telah boleh menyambung perniagaan, 1 kereta boleh dinaikki oleh 4 orang dalam satu-satu masa. Namun semua kelonggaran tersebut disertakan syarat-syaratnya tersendiri.

Alhadulillah, satu peningkatan positif terhadap kehidupan seharian dan pertumbuhan yang agak baik bagi ekonomi Negara. Sebagai insan kerdil aku berdoa dan mengharapkan mudah-mudahan Allah bersihkan virus covid-19 dari bumi Malaysia ini. Semoga pesakit-pesakit yang positif, akan segera disembuhkan. Dan manusia dapat menjalankan tugasan seharian seperti sediakala. Semoga dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan ini tidak menjadi punca berulangnya serangan virus ini untuk kali kedua. Amiinn ya Robb.

Sejak bermula PKP pada 12 mac 2020, sehingga ke hari ini lebih kurang telah hampir 2 bulan masa berlalu. Dan PKP ini seakan-akan telah menghentikan perjalanan waktu...


Friday, May 1, 2020

sEpoHOn kAYu dAuNnYa riMBun


hari ini jumaat. 8 ramadhan 1441H bersamaan 1 may 2020.

Hari pertama dalam bulan May
Hari ke 8 umat Islam di Malaysia berpuasa.
Jumaat ke 2 dalam bulan ramadhan
Tinggal lagi 22 hari sebelum ramadhan ini pergi dan digantikan pula dengan kehadiran syawal.

hampir 4 dekad yang lalu, pada waktu sebegini kebiasaannya kedai stationary mahupun kedai-kedai menjual surat khabar telah mula menjual pelbagai jenis kad raya

kad raya?
Ye, kad raya..
Mungkin anak-anak zaman sekarang akan mengajukan soalan ini, seandainya dikatakan kepada mereka tentang kad raya. Berbeza dengan anak-anak seusiaku pada masa dulu. Kad raya ini telah sinonim dengan kehadiran bulan ramadhan. Ada pelbagai karektor dan variasi. Ada yang khas ditujukan kepada ibu bapa, guru-guru, sahabat handai, tidak kurang juga yang khas ditujukan kepada pasangan. Ada yang sehelai, ada juga yang berlipat dua. Terdapat pelbagai saiz dan harga, sehinggalah ada yang mempunyai muzik apabila dibuka.

Sebagai seorang yang masih bergelar kanak-kanak pada masa itu, sudah semestinya kad raya pilihan aku adalah yang tidak dikhususkan kepada sesiapa. Tidak kepada ibu bapa, guru, atau sebagainya. Sebaliknya aku lebih suka memilih kad raya yang memaparkan lukisan-lukisan pemandangan, suasana kampung, bunga-bungaan mahupun gambar haiwan. Sudah semestinya kad raya ini akan aku tujukan kepada rakan-rakan. Baik rakan di sekolah ataupun rakan yang telah berpindah.

Bagi penerima kad raya ini, semestinya mereka akan mengirimkan semula kad raya kepada ku sebagai tanda balasan. Sehinggakan terdapat 1 pantun yang memang sinonim dengan kad raya ini..

Pecah kaca, pecah gelas,
Sudah baca, harap balas,

Haha, itulah diantara pantun yang sering ditulis kan bersama kiriman kad raya. Pada penghujungnya semua kad raya yang aku terima, akan dikumpulkan bersama-sama kad raya yang diterima oleh bapa dan adik beradik ku. Menjelang sehari dua sebelum berakhirnya ramadhan, kami akan mencari pokok renek yang tumbuh meliar di seketar rumah untuk dijadikan sebatang pokok kad raya. Pokok yang kami pilih biasanya berketinggian sekitar 4 kaki, lalu dibersihkan dan dibuang daun-daunnya. Dan kami akan tanamkan di dalam pasu. Seandainya tiada pasu yang kosong kami akan gunakan apa-apa sahaja tin yang bersaiz besar. Masukkan tanah, lalu, tanamkan pokok yang telah kami bersihkan tadi.

Kad raya, akan kami ikat dengan benang, lalu digantungkan di dahan-dahan dan di ranting-ranting pokok tersebut. Semakin banyak kad raya yang kami terima, semakin penuhlah ruangan pokok tersebut. Dan ini akan menjadikan pokok kad raya tersebut akan lebih kelihatan menarik dan subur. Dari jumlah penerimaan kad raya itu kebiasaannya, menjadi tolok ukuran seberapa ramai rakan-rakan yang masih mengingati kita. Dan seperti kebiasaannya, aku adalah yang paling sedikit menerima kad raya berbanding abang dan kakak ku. Maklumlah aku bukannya mempunyai banyak duit untuk membeli kad raya. Kalau ada pun hanyalah duit belanja sekolah, yang aku korbankan untuk membeli kad raya. Semakin banyak kita menghantar kepada rakan-rakan, maka semakin banyaklah juga balasan yang akan kita perolehi.

Bagi mencantikkan lagi pokok kad raya, kebiasaanya kami akan bungkuskan tin atau pasu dengan kertas nipis berwarna warni. Kertas yang kebiasaannya dijadikan sebagai bunga manggar. Seandainya masih ada lebihan kertas bunga manggar, kami akan lilitkan pada bahagian batang dan dahan-dahan pokok kad raya, dan mengguntingkannya halus-halus untuk ditaburkan di pangkal pokok kad raya, bagi menutupi tanah yang menjadi paksi pokok tersebut.

Setelah selesai semua kerja-kerja. Pokok kad raya tersebut akan diletakkan satu sudut ruang tamu untuk dijadikan sebagai hiasan.

Kini, zaman dan teknologi semakin maju dan canggih. Kad raya tradisional telah digantikan dengan ucapan raya digital. Kebiasaannya sehari sebelum berakhir ramadhan barulah ucapan raya digital akan dikirimkan. Hanya beberapa detik ucapan raya digital telah sampai kepada penerimanya melalui medium whattsap, wechat, michat, instagram dan sebagainya. Berbanding dengan kad raya yang dipos memerlukan masa yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya.

Biar apapun bentuk kad raya mahupun ucapan raya digital, apa yang penting adalah bagaimana cara mana kita menghargai erti sebuah pershabatan. Dan lebih lagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Wallahuaklam


gambar yang aku ambil dari 'uncle google', amat mustahil lah untuk aku merakamkan gambar pokok kad raya buatan kami sendiri, kerana zaman tu masih belum ada kamera digital dan jauh sekali memori kad.