Tuesday, June 30, 2020

joM maSAk kAmBiAnG sTEw



Hari ini hari selasa terakhir dalam bulan Jun. 30 haribulan bersamaan 9 zulkaedah 1441 hijrah. Bermakna telah lebih seminggu syawal meninggalkan kita. Tidak seperti lazimnya setiap tahun apabila telah masuk kebulan zulkaedah, maka umat islam akan sibuk dengan cerita tentang ibadah haji pula. Namun tahun ini, kerajaan Malaysia membatalkan hasrat untuk menghantar Jemaah haji. Kerana mengambil berat tentang masalah yang belum habis melanda dunia, iaitu virus covid-19.

Diantara 2 orang Jemaah bakal haji yang terkandas pada tahun ini adalah kakak ku aishah dan suaminya pakya… herrmm bersabarlah ye, kita merancang Allah jua merancang, dan perancangan Allah itu adalah yang terbaik.

Masih menjalani hidup PKPP sehingga 31 ogos nanti. Semoga Allah segera menghapuskan virus ini dari bumi Malaysia. Mudah-mudahan kita dapat menjalani kehidupan seperti sediakala… Amiin..  bagi menghilangkan kebosanan aku saje penuhi hari dengan aktiviti bersama anak-anak. Hari ni aku ajak anak lelakiku ke dapur memasak. Mudah-mudahan bila dewasa nanti dia ada sedikit asas membuat kerja didapur. Hihi.

Kambing masak stew merah.
Simpan sini buat rujukan akan datang.

Bahan utama.
Sekilo daging kambing dan 8 ketul gearbox kambing. kalau taknak campur gearbox pun boleh. letak je daging semuanya, tapi xde thrill la. kata orang kalau makan daging kambing, seronok bahagian yang ada tulang-tulang sikit. tidak kesemuanya daging, seperti makan daging lembu atau kerbau.

Basuh menggunakan air dicampur tepung bagi membuang hanyir nya. Kalau ikan nak mengelakkan bau hanyir kita akan lumurkan dengan kunyitkan…?
Bilas hingga bersih. Kemudian rebuskan bersama 2 batang serai diketuk, 2 inci halia dan 5 ulas bawang putih (campak dengan kulitnya sekali, gaya ala-ala chef gitu).
Setelah daging kambing agak lembut. Matikan api dan buangkan lemak-lemak yang timbul. Ingat, daging jangan terlalu lembut, kerana ini bukan untuk memasak sup, bagi ada pejal-pejal sikit. Buangkan lemak yang berlebihan utk kesihatan… hihi

Bahan tumis

Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar. 2 ulas bawang besar, 4 ulas bawang merah kecil. 6 ulas bawang putih. 1 inci halia, 1 sudu kecil ketumbar dan 1 sudu kecil jintan manis. Kalau malas nak cari bawang merah kecil, gunakan 3 ulas bawang besar pun boleh je.. Memasak ni bukan ada SOP ketat macam nak menangani covid-19 tu.. semuanya bergantung pada bahan asas dan keselesaan kita. Yang penting masa masak tu jangan suka nak menyanyi atau membebel perkara yang tak berfaedah, lebih baik semasa memasak tu, ikhlaskan hati nak cari pahala bagi orang makan, sambil-sambil tu berselawat la, tak pun berzikir ke.. cheewah, berceramah plak aku.. nak masak ke nak ceramah ni?. Chef ke ustaz? onXon?… haha

Ok sambung, Tumis sehingga naik baunya dalam periuk berasingan dengan minyak kira-kira setengah cawan. Masukkan 3 kuntum lawang, sepotong kayu manis dan 10 biji buah pelaga. kemudian masukkan tomato puri 2 atau 3 senduk. Sos tomato dan kicap manis 2 sudu besar, Kacau lagi sehingga naik bau harumnya, masukkan 2 helai daun limau purut.

Setelah mendidih, pindahkan gearbox dan daging kambing tadi kedalam periuk menumis sedikit demi sedikit. Gaul rata, kemudian, masukkan air rebusan daging tadi sedikit demi sedikit sehingga berapa bayak kadar yang diinginkan.. seeloknya kuah masakan ni hanyalah setengah ataupun tiga per empat dari keseluruhan daging dan gearbox. Jangan sampai tenggelam semua daging dan gearbox sepertimana memasak sup.

Kalau nak pekatkan kuah, boleh la campurkan 2 sudu tepung jagung dilarutkan dalam setengah cawan air rebusan tadi . bila telah mendidih, ataupun telah mendapat kepekatan kuah yang diinginkan. Masukkan 1 sudu lada hitam yang telah ditumbuk. Kalau nak lebih pedas boleh letakkan lada hitam lebih lagi. Matikan api. Masukkan garam 2 sudu kecil atau secukup rasa, gula 2 sudu besar atau boleh juga digantikan dengan gula Melaka. Supaya rasa stew kita nanti tidak sekadar manis tapi manis berlemak… Ok dah siap..



Baki air rebusan tadi jangan la di buang, boleh la nanti gunakan semasa masak sayur, membazirkan amalan syaitoon.. atleast dapat la makan sayur rasa air rebusan daging.

 Untuk pengetahuan korang masakan stew ni, dia rasa masam-masam manis, tapi tidaklah terlalu masam. sebab selain dari bahan utamanya daging dan gearbox, tomato puri adalah bahan kedua terpenting.

#Boleh dimakan bersama nasi atau juga cicah dengan roti putih gardenia (haha promote terus produk islam). gardenia kena byr aku royalty ni…

#Aku telah membiasakan diri, dengan mematikan api terlebih dahulu sebelum memasukkan garam. Kerana aku pernah terbaca satu fakta, garam yang dimasak pada suhu yang tinggi boleh berubah sifat menjadi toksid.

# aku juga tidak memasak menggunakan bahan perasa, pak aji takde moto ke, atau ayam yang telah dipetakkan, sebaliknya hanya menggunakan sedikit gula sebagai mengimbangi rasa.

#resipi ni aku pelajari dari seorang makcik sama-sama umrah dengan ku, cik pah namanya. Tq ea cik pah sebab baik hati berkongsi resepi dengan saya… saya budak baru belajar. Tapi makan tak payah diajar… haha..

Monday, June 22, 2020

kEnANgaN zAmaN kANaK-kanAk ku



aTOk vS jEmAn

sepanjang tempoh PKP yang lalu aku banyak menghabiskan masa di depan laptop usangku. Menaip dan meluahkan perasaan melalui sebuah penulisan. sedang aku memerah otak menyusun bait-bait perkataan. Tiba-tiba anak perempuan ku bertanya, “abah, kenapa abah tulis nama abah jeman?” lama aku merenung mukanya dalam mod loading, lalu aku sekadar tersenyum kerana soalannya telah mengingatkan aku pada seseorang kawan ketika zaman kanak-kanak dulu. Ye, seorang kawan, sebaya dengan ku, sekelas dengan ku semasa di sekolah kebangsaan ulu tiram dulu, malah duduk bersebelah dengan ku. Mohd Nizam bin Shamat namanya. Orangnya kurus tinggi. Tinggal di sg tiram. Hobinya adalah melukis. Setiap kali cikgu tidak masuk kelas mengajar atau pada masa-masa terluang dia akan melukis. Baik lukisan kartun mahupun lukisan pemandangan.

Disebabkan aku duduk bersebelahan dengannya, aku selalu menjadi penonton setia setiap kali dia meluahkan hasil nukilannya. Tak cukup di atas kertas lukisan, abis buku-buku sekolah dilukis. Begitu seninya jiwa anak muda ini. Seandainya disalurkan kearah yang betul mungkin suatu masa nanti beliau boleh menjadi seorang artis yang berjaya. Pernah juga beberapa keping lukisannya diberikan kepadaku. Setiap kali selesai melukis dia akan menandatangani lukisan tersebut dengan nama pena nizam arjuna.

Tapi ini kisah tentang kawan aku, nizam arjuna. Mana jawapan dari soalan anak ke2 ku tadi..? sebenarnya dialah yang suka memangil namaku jeman, atau kadang kala ditambahnya menjadi jeman poklat. Aku sendiri tak tau apa makna poklat tu. Jeman itu memang sudah biasa bagi ku, kerana dikampung ibu ku, aku dipanggil jeman oleh mak long ku.. mak long ?.. teringat pula aku pada maklong yang kami panggil namanya wak.

Pernah sekali semasa zaman remaja, aku sampai ke kampung lewat malam. Kerana perlu manghabiskan kerja syif petang. Selepas aku meletakkan kereta disuatu sudut halaman rumah, bersebelahan pokok kelapa, aku berjalan terhendap-hendap dalam kegelapan malam menuju ke pintu dapur untuk memberi salam, sebab bilik sepupuku bersebelahan dapur, jadi senanglah dia hendak mendengar salam ku. Maklumlah dah pukul 2 pagi. Pasti semua sedang lena diulit intan...


Dalam kegelapan malam itu aku berjalan teraba-raba dan memastikan langkah supaya tidak tersepak tunggul kayu. semasa melintasi bilik wak, aku semakin berhati-hati menyusun langkah kerana, tidak mahu mengganggu wak yang sedang tidur pada sangkaan ku, secara tiba-tiba…. kriekk tingkap kayu bilik wak terbuka luas dan terpacul sekujur tubuh benar-benar berada bersebelahan kepala ku..

kuss semangat!! terperanjat aku, dah la suasana kampung gelap gelita hanya disirami samar-samar cahaya bulan. Boleh tiba-tiba wak membuka tingkap, sambil tangannya kiri dan kanan terkangkang memegang daun tingkap, dengan rambutnya yang telah putih dan mengerbang. Sekali pandang tak ubah seperti nenek hantu yang sedang terbang. Tambahan pula bilik wak ditingkat atas rumah, manakala aku pula sedang berjalan dibawah. Bila mendongak keatas, kelihatan seperti dia sedang terbang…. Nasib baik tak gugur jantung aku. Dalam pada aku sedang kalut menyusun kembali degupan jantung yang telah naik mendadak,  selamba wak menyapa “jeman rupanya, wak ingatkan hantu”.. perrgh, boleh dia sangkakan aku hantu, padahal aku yang separuh mati keras, darah dah turun kekaki, terperanjat melihat dia yang macam hantu.. kini wak dah tiada lagi. dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun kedua aku mendirikan rumahtangga.

Berbalik pada kisah zaman sekolah, teringat pula pada kawan-kawanku. Dimanakah mereka semua sekarang berada. Apa yang sedang mereka lakukan. Seorang sahabat baik ku bernama Zulkibri bin Mohd Asli. Kami terpisah selepas tamat darjah 6, kerana beliau meneruskan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja, mungkinkah dia telah menjadi pegawai kanan tentera dikala ini.. Salimin bin Kasiran dan abang nya Malek. Dua beradik yang membesar hanya bersama seorang ayah, mereka tinggal berhampiran PULADA ketika itu… Kemana pula perginya Husairi, dari Kebun Baru estet ulu tiram. kami terpisah semasa tingkatan 4, aku berpindah ke vokasaional kota tinggi, manakala Husairi masuk ke vokasional Batu Pahat. kemana pula Abdul Razak bin Maniso, Aris bin Kassim dan ramai lagi. Doa dan harapan ku, walau dimanapun kalian berada, semoga sentiasa sukses menjalani alam dewasa bersama keluarga masing-masing. Al-Fatehah ku kirimkan kepada seorang sahabat baik ku semasa bersekolah rendah, Norizan bin Abu Bakar dari sg tiram. Semoga kau tenang disana bersama rahmat dan kasih sayang dari Allah. Berita kematiannya hanya aku terima selepas beberapa tahun pemergiannya. Kemalangan semasa menunggang motorsikal.

Atok?
Aku mendapat gelaran atok pula semasa aku berkerja kilang. Ada seorang rakan bernama Imran, tinggal bersama neneknya di felda ulu tebrau. tapi kami memanggil nya Toim. Aku sendiri tak tau dari mana dia dapat idea memanggil aku dengan gelaran atok. Yang pasti nama tu masih lekat sampai sekarang.. walaupun Toim telah berhijrah ke kuala berang, Terengganu mengikut isterinya. Kami masih berhubung melalui wasap grup ex-rakan sekerja. Sehingga kini mereka masih memanggil aku dengan gelaran atok dan aku selesa dengan nama itu.

Sebenarnya banyak lagi gelaran aku yang diberikan oleh kawan-kawan. Salah satunya kawan-kawan abang ku Syah, memanggil aku engge, ringkasan dari perkataan kerengge. Kenapa kerengga? Mungkin jawapannya ada pada mereka. Tapi nama ni tak terlalu lekat denganku, kerana jarang sekali, aku berjumpa dengan rakan-rakan abangku melainkan semasa berkonvoi motosikal, sewaktu remaja dahulu.

Biar apa pun gelaran dan panggilan orang terhadapku, namun itu semua hanyalah istilah dari sebuah memori sehingga terciptanya gelaran tersebut. Dan aku berbangga dengan setiap gelaran yang diberikan, kerana bagi ku gelaran itulah yang membuatkan mereka mudah mengingatiku...

harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Dan pastinya nama yang ditinggalkan itu tidak kekal malah akan pudar lalu hilang ditelan masa…

Aku yang bergelar
SAWF YAMUT
bakal jenazah.

Friday, June 19, 2020

Di siNi kEmBaLi bERmULa


Jumaat minggu pertama menjalani PKPP. Alhamdulillah aku sekeluarga serta ibu dan abangku shah ke tanah kebun di simpang renggam. Setelah hampir 3 bulan aku tidak mengunjungi tanah ini.

Rumput dah mula tumbuh diatas tanah yang kering. Ini menandakan asid dan alkali dalam tanah telah mula menghilang. Agaknya la. Aku bukan mahir dalam bidang berkebun ni. Cuma pernah terbaca dari uncle google.. katanya “kalau rumput telah mula tumbuh di atas tanah yang telah ditolak atau ditambak, itu menandakan asid dalam tanah telah hilang.. maka inilah masa yang sesuai memulakan usaha tanaman”.

Sejauhmana kesahihannya aku sendiri pun tak pasti, namun apa yang pasti aku perlu membeli mesin rumput untuk mentrim semua rumput-rumput tu. haha... Kenapa aku memilih untuk memotong rumput berbanding meracun sahaja? sekali lagi... aku pernah bersembang dengan seorang pengusaha dusun buah-buahan, abang Rashid. Dia membersihkan dusun nya seluas 3 ekar dengan hanya memotong rumput, kerana katanya “meracun akan merosakkan tanah dalam jangkamasa yang panjang..”

Sekali lagi aku tak pasti sejauhmana kesahihannya, tapi berpandukan pengalaman mereka, apa salahnya kalau aku mengambil positif dari pandangan tersebut. Bukankah orang bijak pandai pernah berkata, pengalaman adalah guru yang paling berharga.


Hasil dari pokok durian asal, yang tak ditebang. Boleh la, buat bau-bau durian. Nak makan sedap, takde la..



Alhamdulillah pokok bunga kantan made in kg Bandar baling kedah dah naik. Pakaian tu langsung tak melambangkan orang berkebun. Haha. Newbie la katakan.. xpe, lepas ni kita lengkapkan
 segala persenjataan dan aksesori yang patut.



Tanam 6 pokok serai, Alhamdulillah hidup 4 rumpun. Juga made in Baling



Pokok durian belanda, Nampak macam nak naik, tapi kurang sihat. Mungkin kekurangan kasih sayang kot. Hihi. insyaAllah berikan perhatian dan belaian lebih cikit, boleh hidup ni..



kalau pokok durian made in Tg Pari baling ni berbuah esok, ia boleh menjadi killer produk aku nanti.
 ”cepatlah membesar, simanja ku sayang, minum lah susu cap….” Hihi 
( xboleh abis kan liriknya, sbb xde royalty..iklan susu tahun 90’an)



Persiapan menjalankan misi ke-2
Senjata pemusnah terbaru. OGAWA 430. Mudah-mudahan berkat dan bermanfaat. Harga pasaran RM480. Promosi RM375 siap free gift. (simpan sini buat rujukan masa depan) 



big boss memerhatikan je anak buah buat keje. Haha.. mudah-mudahan Allah memberi aku peluang berkhidmat dan menunaikan hajat nya nak tinggal di kawasan kampung.. Amiinn..


Thursday, June 11, 2020

pErTaPaAN sELaMa TigA bULaN


hari ini 10 jun 2020, bersamaan 18 syawal 1441H

hari ini bersambung lagi perintah kawalan pergerakkan. Cuma bezanya mulai hari ini PKPB telah bertukar menjadi PKPP (pemulihan). Berkuatkuasa dari hari ini sehingga 31 ogos 2020 nanti.  

Alhamdulillah, satu petanda positif virus ini dapat dibendung. Dengan pengistiharan PKPP ini, kerajaan telah membenarkan merentasi daerah dan juga negeri. Banyak sektor perniagaan dan perkilangan boleh beroperasi seperti sediakala. Hanya perlu mamatuhi SOP yang telah ditetapkan. Masjid dan surau juga telah dibuka kepada 40 jemaah sahaja. Tidak lama lagi insyaAllah sekolah-sekolah akan dibuka semula. Dapatlah anak-anakku meneruskan hafazan mereka di madrasah.

Mudah mudahan aku pun dapat menyambung semula aktiviti mengusahakan tanah kebun di simpang renggam. 3 bulan tidak kesana dan hanya bertapa dirumah menjadikan urat-urat seakan kejang dan minda seolah-olah terpenjara. Bagaimana dengan tanaman-tanaman? Sedikit hari lagi kita pergi bersama-sama untuk melihat apakah hasilnya…

Hari ini juga kereta waja aku telah siap menjalani pembedahan. Beberapa hari sebelum PKP fasa 1, aku kemalangan di KM33.6 lebuhraya PLUS. 2 bulan tersadai dirumah kerana semua perniagaan dibekukan. Menjelang fasa PKPB, waja ku masuk ke operation theatre. Setelah 2 minggu, sebaik bertukar dari fasa PKPB ke PKPP dia pun siap. Alhamdulillah. Macam tau-tau je aku dah gian nak ke simpang renggam. Hihi… Perancangan Allah adalah yang terbaik. Mungkin Allah nak mengelakkan aku dari menyeludup ke simpang renggam sepanjang tempoh PKP yang lalu. Dengan ketiadaan kenderaan pastinya terbantutlah niat aku untuk menyeludup kesana.. haha




Tuesday, June 9, 2020

seDEkaT pErjALaNan mErEnTaSi wAkTU (part 2)


Mengislah diri setelah 1 dekad perjalanan merentasi waktu. Apa yang aku perolehi?... dah kaya kah aku?... dah bukak syarikat design plan ke aku?... dah menimbun kah harta aku?... dah banyak akaun bank kah aku?... dah menggunung kah harta aku?...

Semua soalan itu aku boleh jawab dengan hanya 1 jawapan… iaitu “belum, dan aku tidak perlukan semua itu”

Setiap insan yang bernyawa pastinya mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang berbeza-beza. Ada yang ingin menjadi kaya, ada yang ingin membina empayar, ada yang ingin menaikki tahta dan ada yang sekadar menginginkan bahagia. Ye, bahagialah yang aku cari. Terdapat berbagai definisi tentang bahagia. Ada yang mengatakan bahagia bila memperolehi banyak harta. Ada yang mengatakan bahagia apabila memperoleh wang berjuta. Ada pula yang berasa bahagia apabila bebas membuat apa sahaja.

Alhamdulillah aku tidak meletakkan matlamat hidup ku terlalu tinggi. Agar aku mudah melatih jiwa mensyukuri semua nikmat yang diberi dan merasa bahagia.

Setelah menamatkan kerja dari syarikat kontraktor. Aku lebih menumpukan perhatian kepada freelance draughtsman. Sama seperti seorang peniaga, ada kala banyak job, kadang kala sekadar yang perlu sahaja. begitu juga dengan pendapatan ku, sesekali melebihi keperluan, kadang kala mendapat sekadar yang perlu saje. Alhamdulillah, Allah tidak pernah melupakan aku dalam mengagihkan harta kekayaan dan rahmat Nya.. Namun dari sudut masa, aku lebih mempunyai masa yang berkualiti bersama keluarga. Anak-anak tidak lagi aku hantar ke taska, sebaliknya aku menguruskan sendiri keperluan mereka. Menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari.

Setelah mereka semua ke sekolah barulah aku mulakan kerja. Sebelum mereka pulang, aku menyiapkan makan tengahari dan menyediakan baju untuk mereka ke sekolah agama. Seandainya ada jiran yang tidak mengenali ku, pasti mereka akan menyangkakan akulah suri rumah manakala isteriku keluar berkerja. Biarlah apa mereka kata, asalkan aku bahagia.

Menyedari pendapatan freelance yang tidak menentu, aku perlu lebih tegas dalam menguruskan hal kewangan. Seandainya pendapatanku melebihi keperluan, aku akan menabung, apabila bila datang musim kemarau, aku akan mengorek tabung sekadar yang perlu… haha..

Bagi memenuhi masa yang kadang kala banyak terluang, aku menyertai Sukarelawan Pertahanan Awam. Boleh la memanfaatkan masa yang berlebihan dan menjadi sumber pendapatan kedua bagi ku. Maklumlah hidup di bandaraya. Aku memperolehi pendapatan extra sekitar seribu lebih sebulan. Lagipun penugasan di Pertahanan Awam tidak mengikat aku dengan masa. Bila aku berkelapangan, semua pelan telah disiapkan, barulah aku ke Pertahanan Awam. Hampir  setahun aku bersama Pertahanan Awam, aku telah ditawarkan untuk Menjadi Sukaralawan Simpanan Polis (SPJPAM).

Ahamdulillah, ini memudahkan lagi pengurusan masa bagiku, kerana semasa bersama Pertahanan Awam aku perlu berulang alik sejauh 25km, manakala bersama SP pula aku hanya perlu ke balai polis berdekatan saje. Dan balai pilihan bagi ku adalah balai polis Ulu Tiram. Hanya 7 minit perjalanan dan ia terletak diluar kawasan perumahan ku. Secara tidak langsung ini dapat mengelakkan aku dari menjadi seorang yang double standart. Maklumlah bila menjalankan amanah ditempat sendiri, pastinya aku akan bertemu dengan rakan-rakan mahupun orang-orang yang aku kenali. Seandainya mereka melakukan kesalahan pastinya aku kan serba salah untuk mengambil tindakan. Pada fikiranku ini akan melatih aku menjadi orang yang mengambil ringan kepada amanah yang dipertanggungjawabkan.

3 perkara yang aku lakukan berbeza dalam 1 masa. Melukis pelan. Menjadi paramedic di Pertahanan Awam dan menjaga ketenterawan bersama Polis. Mungkin sukar untuk kalian membayangkan bagaimana aku membahagikan masa… senang je sebenarnya. Aku akan mengutamakan keperluan mengikut keselesaan dan kelapangan masa ku. Walaupun terpaksa berkerja tidak menentu masa, namun, Alhamdulillah, aku rasa bahagia.

Hampir 4 tahun aku bergelar manusia bionik 3 dalam 1, haha.. akhirnya aku mendaftarkan sebuah syarikat pembuatan perabot… Dari mana datangnya idea menubuhkan Zaman senireka perabot ni?... Mana datang pengetahuan dalam bidang pembuatan ni?... Dan aku korek modal memulakan perniagaan ni?... akan aku ceritakan dalam entry yang lain… insyaAllah..

Kini setelah sedekat aku merentasi waktu, aku tidaklah menjadi kaya raya seperti yang mereka sangka, aku bukanlah jutawan yang mengumpul kekayaan, malah, aku bukan hartawan yang mempunyai asset berkoyan-koyan. Aku masih kekal sebagai insan biasa. Perlu berkerja untuk menyara keluarga, perlu menabung untuk hari tua.

Namun, bahagia yang aku cari itu telah lama aku nikmati. Aku tidak perlu memikikan bil kad kredit panjang berjela, tidak perlu keluar masuk bank menjelaskan hutang rumah mahupun hutang kereta. jauh sekali melarikan diri dari hutang ceti.. Alhamdulillah. syukur ke hadrat Illahi kerana tidak pernah melupakan aku dalam mengagihkan harta kekayaan dan rahmat Nya.

Mungkin ada yang mengimpikan sebuah Ferrari sebagai identity diri. Mungkin ada yang mengangankan sebuah banglo di tepi pantai. Mungkin juga ada yang mendigamkan sebuah rumah agam seluas taj mahal. Malah ramai juga yang sedang membina empayar untuk diwariskan kepada keluarga.

Biarkan lah mereka terus berusaha dan memburu impian mereka. Kerana bagiku memadailah sekadar apa yang aku perlu sahaja. Kerana aku yakin Allah tidak pernah melupakan aku dalam mengagihkan harta kekayaan dan rahmat Nya. Kerana ukuran bahagia bagi ku adalah bebas menjalani kehidupan tanpa bebanan hutang dan mempunyai masa secukupnya untuk mengumpul bekalan kesana…

Untuk anak-anak bagaimana?... aku menyakini kata-kata bahawa setiap insan yang lahir di dunia ini Allah telah menuliskan rezeki, jodoh malahan ajal bagi mereka. Bukan kah telah banyak pengajaran yang kita dengar, seringkali harta yang ditinggalkan bukanlah menjadi pembela kepada simati sebaliknya hanya menjadi perebutan dan perkelahian anak-anak…

Teringat aku pada pesan tuan guru dato hj ismail bin kamus, “kita hidup ni kena banyak beramal, kena cari masa, jangan asyik sibuk dengan urusan dunia. Esok kita mati baru terpikir nak beramal. Dah terlambat. Anak-anak sibuk buatkan tahlil mengharapkan mak bapak dia masuk syurga. Aik..! kita sendiri masa hidup tak nak beramal untuk masuk syurga. Bila dah mati sibuk pulak mengharapkan anak-anak kirim pahala untuk masuk syurga… itu kalau anak-anak ingat pada kita. Kalau anak-anak sibuk berebutkan harta?… abis laa.. ini saya nak pesankan selagi hidup kita beramal untuk diri kita. Ada duit lebih, sedekahkan, wakafkan untuk diri sendiri dan ibubapa kita. Semoga pahalanya berterusan bila kita dah mati esok… jangan terlalu berharap kepada anak-anak. Alhamdulillah kalau mereka ingat kirimkan pahala pada kita. kalau mereka sibuk..? haa jadi masa kita hidup ni beramallah untuk diri kita”

diantara ceramah dari Allahyarham tuan guru
berkaitan dengan persiapan menghadapi mati


Tuesday, June 2, 2020

seDEkaT pErjALaNan mErEnTaSi wAkTU


Hari ini isnin 2 jun 2020 bersamaan 10 syawal 1441H

Entry kali ni aku nak bercerita tentang 10 tahun genab aku berhenti kerja dari sebuah syarikat kontraktor.

Pada 12-12-95 adalah merupakan hari pertama aku menjalankan tugas sebagai seorang pelukis pelan. Berberkalkan sedikit pengetahuan dalam bidang lukisan kejuruteraan aku telah membuat u-turn sebanyak 180 darjah. Kerana sebaik tamat dari zaman persekolahan aku lebih berminat berkerja kilang. Kerja yang mengeluarkan banyak tenaga dan kurang memerah otak. Bila sebut kilang, pastinya ramai kawan-kawan. Tapi bermula dari detik tersebut aku telah mengubah haluan kerjaya, cara berpakaian mahupun pergaulan.

Bermula dengan hanya melukis sesebuah projek di atas drawing table seluas AO saiz. Terbongkok-bongkok diatasnya sampai sakit pinggang aku seharian begitu. untuk menyiapkan lukisan sesebuah bangunan aku mengambil masa lebih dari seminggu. Maklumlah aku seorang je yang menjawat sebagai draughtsman di situ. Sebelum kemasukkan aku disitu, semua kerja melukis dilakukan oleh seorang Engineer bernama sahari, dan projek tidak lah begitu banyak. Sebulan hanya 1 atau 2 projek sahaja katanya.

Hari berlalu bulan berganti, bos aku dah semakin mengambil banyak job, biasalah tu strategi bisness, makin bertambah pekerja mestilah makin bertambah projeknya. Kalau tak, mana nak cari kos bayar gaji perkerja. Dengan hanya aku seorang dah tak boleh mengejar masa menyiapkan semua projek. Mujurlah masa tu penggunaan autocad dah makin meluas. Kerja-kerja melukis akan jadi mudah dan lebih pantas dengan menggunakannya. Tapi ia tidaklah semudah menggunakan calculator. Perlu ada basic dalam mekanikal drawing dan perlu mengikuti Kursus mengendalikannya. Seingat aku pada masa tu kursus mempelajari autocad selama 2 bulan, kos nya boleh mencecah sehingga 3 ribu ringgit… manalah aku mampu. Gaji sebulan pun baru RM750 je. Harapkan company hantar aku kursus, haram, mati hidup semula sepuluh kali pun, belum tentu. Padahalkan itu merupakan satu aset bagi syarikat seandainya aku boleh menguasai autocad. Dah tentu boleh mempercepatkan proses mendesign, melukis dan boleh mengambil lebih banyak projek baru. Dah la tambah pelukis pelan baru pun tak mau, hantar aku mengikuti kursus lagi la, kelaut…Tapi biasalah tu, orang dah kaya ni kebiasaannya nak lagi kaya. 5 sen dah macam 5 ribu ringgit kedekutnya.

Dengan inisiatif lain, engineer aku belikan sebuah buku panduan penggunaan autocad. Amek kau, buku setebal 3” dalam bahasa english, mau 18 tahun baru khatam. Basic yang sama dengan lukisan kejuruteraan manual, Cuma kaedah saja yang berbeza. Merangkak-rangkak, sikit demi sedikit, try and error. Akhirnya Berjaya juga aku menggunakan autocad. Semuanya aku study dan praktikkan bersendirian selepas waktu pejabat. Maklumlah waktu kerja, aku ditimbuni oleh drawing-drawing yang dah semakin melambak. Maka terpaksalah korbankan waktu sendiri utk mempelajari autocad ini. aku akan terperap dalam bilik pejabat sehingga  jam 9 atau 10 malam, seringkali juga sehingga mencecah jam 12 malam baru aku pulang kerumah. Maklumlah, masa itu aku masih bujang, balik lambat pun takde siapa yang cari. Dari aku melepak tak tentu hala, baik aku majukan diri sendiri.

Sambil aku mempraktikkan autocad pada waktu itu, aku mula melukis projek-projek yang bertimbun atas meja aku. Kira serampang dua mata la. Dengan cara ni aku lebih cepat mempelajari dan menguasai autocad. Pelan dah semakin cepat aku siapkan. Tidak ada lagi yang melepasi due date. Namun sedihnya aku tidak dibayar satu sen pun elaun kerja lebih masa. Padahal kan aku sedang mempelajari sesuatu untuk kebaikkan masa depan pihak syarikat.. xpelah ikhlaskan sahaja sebab aku menyedari aku berkerja dengan orang yang tamakkan harta dunia. Malah bangsa ni kalau boleh, dia nak jadikan seluruh dunia ni milik dia, bangsa aku hanya layak diperhambakan sahaja.


Bulan berubah, tahun berganti, aku semakin dihujani dengan projek-projek baru yang tak berkesudahan. Berbanding pada permulaan aku melangkahkan kaki menyertai syarikat ini, sebulan hanya 2 atau tiga projek sahaja, tapi sekarang telah jauh berbeza, dalam seminggu aku perlu menyiapkan 3 atau 4 projek. Aku pernah menyuarakan untuk mengambil pembantu, tapi alasan yang aku terima, “kerja tak banyak maa.” Bila aku tunjuk, atas meja aku tu ada melambak lagi pelan yang belum design dan dilukis. Mereka menjawab “aiya itu bukan selalu maa..” disebabkan aku ni jenis malas nak bertekak, sekali lagi aku berkata dalam hati “ala ikhlaskan ajelah”

Gaji aku pula hanya akan naik selepas 2 atau 3 tahun sekali, itu pun jauh lebih murah berbanding mereka yang sebangsa dengan boss, tak hairan lah jika aku nyatakan bermula dengan gaji RM750 selepas 15 tahun gaji aku hanyalah RM1,850 sahaja. Bayangkan pada usia 36 tahun, mempunyai seorang isteri dan 3 orang anak, bolehkah aku menampung keperluan mereka….?

Pun begitu bebanan kerja sentiasa meningkat. Sudah menjadi perkara biasa andainya aku bawa balik pelan, design dan melukis dirumah. Malah pernah beberapa kali aku bercuti, tapi membawa bersama plan untuk disiapkan dikampung. Bukan isteriku tidak pernah membebel.tapi sekali lagi lintasan dalam hati aku berkata “ala takpelah, ikhlaskan saje.”

Aku bukan tak nak berenti dan mencari syarikat lain yang boleh memberikan aku ganjaran yang lebih baik, tapi aku khuatiri ditempat lain mungkin keadaannya sama saje, atau mungkin lebih parah lagi andainya aku tidak diterima berkerja dimana-mana. Apa akan jadi dengan keluarga aku, sedangkan anak-anak dalam proses pembesaran. Mereka memerlukan kos yang banyak, susu, lampin, yuran sekolah, upah pengasuh dan berbagai lagi. Bila mengenangkan semua permasalah itulah yang membantutkan niat aku untuk bertukar kerja.

Menyedari syarikat ini tidak membela nasib ku sekeluarga, aku mula berusaha mengambil job freelance. Alhamdulillah kadangkala sebulan pendapatan freelance ku mencecah 2k, lebih mahal dari gaji berkerja tetap. Cuma masalah yang timbul aku kesuntukkan masa, ye lah, waktu siang telah diabiskan dengan berkerja di pejabat. Balik dari kerja, baru bermula design dan melukis job sendiri. Sedangkan job freelance perlu cepat disiapkan. Kalau lambat-lambat nanti, consultant kurang berminat dengan perkhidmatan kita dan beralih kepada freelancer lain. Kadang kala aku mengadap laptop dirumah sehingga ke jam 2 atau 3 pagi bagi memastikan drawing dapat disiapkan ontime. Ngantuk, penat sudah semestinya. Tapi aku lebih berpuashati, kerana setiap keringat ku yang mengalir memberikan hasil yang berbaloi… Berhenti dari makan gaji !!.. aku masih tak berani, kerana kerja freelance ni tidak menjamin job sentiasa ada.. andainya tetiba job takde. Apa aku nak sara keluarga ku makan. Tapi takkan aku mahu berterusan begitu, tak dapat rehat dan tidur secukupnya.

Setelah hampir setahun berlalu aku memberanikan diri menyuarakan hasrat untuk membuat kerja dari rumah. Aku juga menawarkan kepada syarikat beberapa keistimewaan, iaitu mereka boleh membayar gaji aku separuh dari biasa. Mereka tak perlu membayar kos elektrik mahupun maintenance laptop ku. Malah aku menguatkan hujah dengan menjelaskan “selama berkerja disini pun I selalu siapkan kerja dari rumah, sebab kalau ikutkan masa berkerja, dengan takde pembantu, mustahil semua kerja boleh siap.” Tapi cadanganku ditolak mentah-mentah, malah ditambah dengan kata-kata yang cukup memeritkan telinga. “U mau kerja u datang office, kalau tak mau, u boleh pegi..” “ok fine” jawab ku dalam hati ala-ala mat saleh gitu. Sebenarnya itu je la bahasa english yang aku tau sebut… haha..

Disebabkan tiada titik pertemuan yang baik, malah cabaran yang diberikan akhirnya, dengan sokongan kuat dari isteriku dan selepas melakukan solat istikharah , aku akhiri perjalanan selama 15 tahun dengan meletakkan surat berhenti kerja. Sekali lagi keperitan dan pangabdian aku selama 15 tahun ditampar hebat. Bila mana surat perletakkan jawatanku dicampak oleh orang yang bergelar bos, setelah dia menandatangani menerima surat perletakkan jawatan ku. “Tq bos..” itu saje ayat yang terkeluar dari mulut ku. Sambil mengambil pendua surat tersebut, agar tiada dakwa-dakwi dikemudian hari.

Ketidak puasan hati ku terhadap seorang bergelar bos kerana sikapnya yang tidak pernah menghargai aku, aku luahkan kepada beberapa orang teman sekerja. Tapi sedihnya mereka menyalahkan aku, malah ada yang dengan sinis mengatakan aku adalah orang yang tidak mengnang jasa. “Dulu kau datang sini dengan tak tau buat kerja. Kat sinilah kau belajar guna autocad. Tapi bila kau dah pandai, ko tinggalkan syarikat macam tu je..” bukan simpati yang aku dapat. Aku menjadi semakin hairan. Betul ke aku tinggalkan syarikat begitu aje, bukan aku dah memberi cadangan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak ke?. Salah ke kalau aku ingin mencari rezeki yang tau menilai setiap titik peluh ku. Berbanding syarikat ni.  Salah ke kalau aku cuba meningkatkan pendapatan keluarga ku. Atau mungkin kah aku perlu menjadi hamba sampai mati sebagai mengenang jasa syarikat yang telah menerima aku berkerja dahulu ?.. untuk terakhir kalinya aku berkata lagi dalam hati. “Ala lupakanlah…”

Pada petang jumaat tanggal 21 may 2010 merupakan hari terakhir aku melangkahkan kaki keluar dari pejabat tersebut dengan seribu satu kenangan, pahit, manis, suka, duka. Aku sempat membuat satu entry pada blog ini sebagai kenangan berjudul “berakhirnya sebuah mahakarya kerja”..

Hampir setahun aku tidak mendengar khabar tentang syarikat mahupun rakan-rakan yang aku tinggalkan. Ye lah, buat apa aku nak ambil tahu tentang mereka, bukan ke rata-rata mereka menghukum aku sebagai orang tak tau mengenang jasa… Tiba-tiba pada suatu pagi, handphone ku berdering. “Siapa call ni?” Tak ada dalam contact list, tapi nombor ni macam familier. Bila aku jawab, terdengar suara yang sangat aku cam. “Woi man ea?.”. ye aku cam sangat suara ni, sebab berbelas tahun lamanya setiap hari aku mendengar suara ni.. suara bekas kerani aku.. “ye ana, apa cite. Lama tak dengar suara ko, tetiba pagi-pagi buta dah call aku”. “Sorry la bukan aku tak ingat ko, tapi nak call ko pun bukan ada topic.” “ abis tu pagi ni ko call, ada topic la?” Tanya aku selamba.. dia menjawab “ada la, sbb tu aku call ko. Mr ooi offer ko masuk semula kerja, dia kata, dia boleh bagi gaji ikut gaji lama ko, tak payah ikut gaji ko masuk dulu.” Mendengarkan tawaran tu, aku seakan nak ketawa.

Ana ni merupakan seorang kerani yang boleh dikirakan baik dengan aku, masa aku berenti dulu pun dia la sorang yang mengucapkan “good luck jeman”, pada aku. Dah terlanjur dia call, aku pun Tanya la apa kisah setelah aku berhenti, siapa yang menggantikan tempatku? Panjang lebar ana bercerita. “Ramai yang menggantikan tempat ko. Tapi semuanya tak boleh bertahan lama. Semua nya mengeluh, kerja banyak, takde assinstance, gaji ciput. Paling lama pun bertahan hanya 3 bulan malah ada seminggu je dah lari.” Kerja makin melambak, tension, itu nak cepat, ini nak cepat. Bukan setakat tu, malah bos pernah masukkan menantunya lepasan university luar negara, tapi lagi teruk, tak boleh buat kerja, bila ditanya pasal pelan, dia menengking semula, “ingat wa robot ka, semua kerja wa kena kasi sattle. Angkat orang tolong la..” Aku hanya tersenyum mendengarkan cerita dari ana. Hampir setengah jam kami bersembang akhirnya ana bertanya “Camne ko setuju ke?” Dengan ringkas aku menjawab “suruh ooi sendiri call aku.” Ana menamatkan perbualan kami dengan perkataan “ok lah.”

Keesokkannya aku aku terima panggilan dari adik bos, steven. Suaranya mesra menyapaku “hi aman, how are u.” biasalah tu, orang berhajat, pastinya akan melantunkan suara yang lunak dan merdu bagi menambat hati simangsa. Diringkas kan cerita samalah apa yang telah ana sampaikan pada aku semalam. Dengan nada perlahan dan tidak mahu membanggakan diri aku menjawab. “Sorry la steven, I pun busy, dulu I dah offer pada ooi but he reject my suggestion.”  Steven menjawab, “aiya itu ooi manyak bodo lah, dia mana tau pasal kerja, dia tau kira wang saja. Sekarang u tak da, semua orang tak boleh kasi sattle plan. Manyak job sudah lepas woo, sudah manyak lugi lo. Itu pasal la ooi panggil u masuk semula, u ok ka?” sekali lagi aku menolak lembut tawaran steven “I’m so sorry, steven. What for i do have to rush back there every morning, when I'm comfortable with my job .. free to start working hours, and free go to everywhere, without having to apply leave and deduct my income.”.. sorry la steven, bukan I tak suka u, tapi I really frust dengan ooi. U see, fifteen years I sattle my job, I tak de pun mintak OT claim. Not enough office hour, i bring back that things sattle at my home, But when i give him suggestion, he reject me and cakap he don’t want to know itu semua.”.. “aiya aman u jangan simpan hati la, I told u already what, itu ooi manyak bodo dia tau kira wang saja, ini orang kerja dia tak mau tau punya..” bagi memujuk hati steven agar dia tidak kecewa dengan keputusan ku, aku cakap “ok la steven, give me time to think about it..” suara steven kembali ceria, sambil dia berkata “u jangan fikel lama-lama aman, plan sudah manyak woo. Tak da olang mau lukis.”

Aku cerita apa yang berlaku kepada isteriku, dengan senyuman sinis isteriku berkata, “dah susah baru nak cari semula. Dulu 15 tahun abg kerja kat sana kenapa tak de yang nampak macamana abang buat kerja. Tiap-tiap tahun bonus diorang mencecah belasan ribu, kononnya ada komisyen job. Tiap tiap tahun gaji diorang naik. abang, 2 3 tahun sekali baru naik, itu pun bukan standing kenaikkan gaji diorang. Sudahlah zai dah muak dengar cerita FNP ni. Suruh la steven bayar gaji yang dia offer pada abang tu pada orang yang dulu cakap abang ni tak kenang jasa. Suruh orang tu pulak tunjukkan jasa”..

tersentap aku dengan kata-kata isteriku, memang betullah tu. Selama kerja disitu, bonus tahunan mereka mencecah belasan ribu. Malah seorang kerani lepasan SPM gred 3 sebangsa dengan mereka, mendapat bonus sehingga sepuluh ribu,ditambah lagi dengan kanaikkan gaji tahunan. Malah pergi dan balik kerja disediakan kereta. Alasan untuk menjaga keselamatannya. Tak cukup dengan itu, dibekalkan handphone dengan bil nya ditanggung oleh syarikat. Sedangkan aku yang dah berkerja lebih lama. Sesekali perlu keluar melawat tapak binaan, hanya menggunakan kereta dan handphone sendiri.

Sekali lagi. Ah lupakan lah semua itu. Kan semua nya sudah berlalu. Beberapa hari kemudian steven menelefon aku semula, bertanyakan keputusan ku. Kali ini aku tak perlu berdalih lagi. Aku perlu berterus terang menegaskan pendirian ku. Dengan nada kecewa dan penuh harapan dia cuba memujuk ku menggunakan cara berbeza mengatakan “ooi accept ur punya offer, dia kata u boleh buat plan dari rumah, everymonth dia kan bayar u one thousand. And kita tak perlu ambik job manyak-manyak, just follow u, kalau u ada free, u kata boleh lukis, baru kita amek job, than kalau u busy, tak pa loo, tak payah amek itu job.” Kali ni aku terpaksa bertegas, supaya steven tahu berapa pendapatan aku sebulan, berbanding tawaran dari abangnya yang disangkakan sudah cukup besar itu. “Again i mintak sorry dari u steven. i tak boleh buat FNP punya job. Bcos i dah cukup sebulan 2 atau 3 job. Every job consultant pay me 3 thousand. more than enough for me. What for i nak peningkan kepala dengan ooi punya job. Seminggu dua minggu i sattle my job, the rest i boleh relax maa, i bukan mau kaya, pakai mers S class like ooi, i bukan mau duduk rumah banglo 8 bilik punya. i pun bukan mau every month on vacation in oversea maa... apa i dapat, i belanja sikit, balance i saving sudah cukup la. Kita bukan mau kaya sampai sakit kepala. i just want my really life. Ada masa kerja, ada time for my family.” Dengan nada hampa steven menamatkan perbualan. “Ok la aman, if u change ur mind, just give me a call.”

sehingga ke hari ini aku tidak pernah return call kepada steven. Hanya beberapa bulan dari tawaran itu, ana ada menelefon aku, saje bersembang kosong dan mungkin mengingati aku sebagai kawan lama. Cerita dari ana. Orang yang dulu menuduh aku tidak mengenang jasa juga telah berhenti, aku malas nak ceritakan disini kenapa dia berhenti. Cuma aku bersangka baik, mungkin dia telah selesai mengenang jasa bos nya kot. Haha... Malah kerani yang baik dengan orang yang pandai mengenag jasa juga turut berhenti. Sekali lagi aku tak nak ceritakan disini kenapa dia berhenti. Memadailah aku beri satu soalan, “Dimanakah sikap kesetiaan dan pandai mengenang jasa kalian, bukankah bertahun-tahun lamanya kalian diberikan berbagai keistimewaan, sudah lupakah kalian dengan kesenangan yang telah bos kalian berikan. Janganlah kerana ketamakkan, kalian sanggup membiarkan bos kalian terkontang kanting membuat kerja sendirian. Bukankah bos itu telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyara keluarga kalian?…” Sungguh, kalian bukan sekadar MENGENANG jasa, malah kalian sangat pandai MEMBALAS jasa…

#bersambungpart2