Thursday, March 26, 2020

teRkEnANg semAsA dULu (taKDir daN wAkTu)


simpan sini buat kenangan diri sendiri dan tatapan anak cucu, kerana Majalah RODA-RODA yang aku simpan telah melebihi 2 dekad ini semakin mereput dan rapuh di mamah masa.

 Majalah : RODA-RODA
Bil : 125
Keluaran : Mac 1997
Segmen : Ragam Anak Muda
Tajuk : SECEBIS KENANGAN BUAT TEMAN


Sebelum ini aku pernah luahkan rasa tak puas hati aku pada kalian bila mana aku tertipu dalam usaha memiliki sebuah motor RXZ terpakai. Melalui ruangan Ragam Anak Muda (RXZ Ohh RXZ,RR Jul 94). Kemudian aku telah pun Berjaya memiliki sebuah RXZ baru.


Pada 10 Ogos tahun lalu seperti hari-hari lain sebelumnya, aku pulang agak lewat dari tempat kerja. Walaupun waktu sebenar aku bertugas adalah dari pukul 8:30 pagi hingga 5:00 petang, pada hari-hari biasa dan separuh hari pada hari Sabtu. Tetapi memandangkan terlalu banyak tugasan yang terpaksa aku siapkan , nak tak nak kenalah pulang lewat. Kebiasaan aku akan pulang ke rumah sebaik saja waktu Maghrib. Begitulah rutin aku pada hari yang sama.


Sedang asyik mata dan jariku tertumpu pada ‘monitor’ computer, tanpa aku sedari jam telah menunjukkan pukul 7:20 malam. Sebagai seorang hambaNya aku juga tak mahu tergolong di dalam golongan orang-orang yang akan menerima azab yang amat dahsyat itu. Kewajipan mesti didahulukan. Alhamdulillah. Setelah menunaikan solat Maghrib, baru aku teringat aku ada temu janji dengan seorang sahabat aku pada pukul 8:00 malam. Apalagi macam lipas kudung aku bersiap untuk pulang ke rumah. Dalam keadaan tergesa-gesa aku sempat lengkapakan diriku dengan serba sedikit ciri-ciri keselamatan.

Sebaik sahaja aku keluar dari Taman Johor Jaya (tempat aku bertugas) aku melalui lebuhraya JB-Kota Tinggi,untuk ke destinasiku. Keadaan jalan raya pada masa itu agak lengang,jadi aku memecut dalam purata 140-150km/j. Aku hanya tinggal beberapa kilometer sahaja untuk sampai ke Bandar Ulu Tiram. Tiba tiba…….. sebuah motor EX 5 dari arah bertentangan membuat U turn dan memintas dihadapanku. (Sepatutnya dia masih berada di lorong kanan dan setelah aku melepasinya barulah dia bertukar ke lorong kiri). Dalam keadaan selaju ini, apa agaknya yang terlintas di kepala kalian yang patut aku lakukan. Maklumlah roda dua, mengelak jatuh,kalau tak elak…….dah tak de apa yang mampu aku lakukan selain dari sebat terus.

Dalam masa aku terlambung hanya kalimah YA  ALLAH yang mampu keluar dari mulutku….. bila sedar semula aku dapati badanku telah terlentang di atas rumput sambil dikelilingi oleh ramai pengguna jalan raya pada masa itu. Ramainya bagai semuat megerumuni sebiji gula-gula. Aku kuatkan semangat untuk bangun tetapi tidak berdaya. Bertambah lemah lagi semangatku bila aku dapati RXZ ku terbujur kaku tak bernyawa di dalam longkang sedalam satu meter dengan kedudukan arah bertentangan dari arah destinasiku. Hancur lebur semangat aku pada masa itu sebagaimana hancurnya motorku. Namun, aku tetap mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi, kerana masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan ini. Alhamdulillah dengan dilindungi topi keledar penuh muka dan jaket kulit yang telah aku miliki lebih kurang dua tahun yang lalu, aku Cuma mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki.
Bersama-sama kesempatan ini aku nak nasihatkan pada rakan-rakan sekalian. Jangan terlalu banyak berfikir semasa berada diatas jalan raya sehingga boleh menganggu pengendalian. Kalau ada rezeki lebih belilah kelengkapan menunggang. Biar harganya agak mahal sedikit tapi prestasinya memuaskan.

Akhir sekali aku ucapkan terima kasih pada Man dan Mimi, Gamma JEA 8165 kerana telah bersusah payah menguruskan motor ku pada hari kejadian. Tak lupa juga ucapan Selamat Pengatin Baru untuk kalian berdua. Semoga jodoh kalian berpanjangan hingga ke akhir hayat. Serta setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd Hizam, kerana telah menguruskan aku dari terlentang di atas jalan raya hinggalah aku diterlentangkan di hospital. Budi dan jasa baik kalian hanya Allah swt sahaja yang mampu membalasnya……

Untuk teman-teman semua aku minta maaf kerana tak dapat sertai XPDC yang kita dah rancangkan dahulu. Cuma satu nasihat aku. Berhati-hati di jalan raya. Kita ini umpama mentimun dengan durian. Dilanggar jatuh, melanggar pun jatuh. JJSS. Jangan Jadi Seperti Saya!

Kini JDL 3944 telah hilang serinya dan sedang terkulai layu untuk menanti hari pembedahan. Begitu juga aku terpaksa menerima akibat buruk dari kecuaian orang lain dan sedang menanti untuk pulih seperti sediakala. Yang aku sendiri pun tak tahu…. Entahkan bila….?

MAN. J327 Dato’ Bentara Village, Johor


Di sebalik tabir : 15 fakta, bukan auta.

1. karangan ini adalah hasil nukilan aku sendiri, tiada editor tak bertauliah yang dilantik.. hihi. Sebab waktu tu aku dah bertukar kerja dari seorang juruteknik industry kepada Pelukis Pelan di Jalan Bakawali 36, Tmn Johor Jaya.. sepanjang masa kerja aku menghadap computer. Jadi aku boleh karang cerita, dan edit sendiri mana-mana ayat yang kurang sesuai.

2. selama bertugas disana aku sering stayback seorang diri di pejabat, terkadang hingga ke jam 10 malam, namun tidak pernah aku dibayar upah kerja lebih masa. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku menjadi seikhlas itu, Cuma apa yang aku tahu pelan terlalu banyak, sedangkan hanya aku seorang yang melukis. Permintaan untuk mengambil lagi pembantu sering aku luahkan, tapi boss aku memang jenis kedekut.

3. pada hari kejadian tu, sebenarnya aku ada janjitemu dengan Ali dan seorang rakannya barunya. kami bercadang hendak ke Kg Makan Kota Tinggi untuk bertemu seorang guru silat, Imam Hj. Abd Razak. Sekarang dah arwah.

4. Watak Mimi dalam perenggan ke-8 adalah kakak kepada Ali dan Man adalah tunang nya pada masa itu. Kebetulan mereka berdua melalui jalan yang sama tempat aku kemalangan. Beberapa bulan kemudian mereka berdua telah diijabkabulkan. Dan aku sendiri mengiringkan mereka ke kampong halaman Man di Terengganu.

5. manakala watak mohd hizam pula aku pun tak kenal. Yang pasti dia juga adalah seorang penunggang motosikal yang sedang menuju ke Kota Tinggi katanya. Dan ikhlas membantu aku atas dasar sesame Islam.

6. Lokasi kemalangan aku adalah betul-betul di U turn jambatan timbang JPJ arah ke Ulu Tiram, berhampiran susur masuk lebuhraya E22, Senai-Desaru. Tol Ulu Tiram. Tapi masa itu lebuhraya E22 masih belum wujud lagi.

7. EX5 yang membuat pusingan U itu ditunggang oleh seorang uncle dan aunty berbagsa cina, beliau mengakui terjadinya kemalangan itu adalah atas kesalahannya. Beliau telah membayar RM300 sebagai duit perubatan. Selebihnya aku claim insuran motor untuk membaikpulih Rxz ku, manakala kos perubatan, aku claim personal insuran yang aku langgani.

8. Selang beberapa hari semasa proses membuat tuntutan insuran motor aku ke kedai motor di pekan Ulu Tiram. Selesai menandatangani borang tuntutan. Aku duduk berehat dulu di depan kedai motor tersebut. Lalu datang dua orang pelanggan, pakcik dan makcik. Sedang pakcik tu berurusan dengan tokey kedai, makcik tu sempat membelek-belek Rxz aku yang tersadai di depan kedai dgn bertanah-tanah dan rumput kering yang masih melekat pada Rxz aku. Sambil mengucap “Astagfirullah-hal-azim.. macamana la agaknya orang yang bawak motor ni, mati agaknya”… aku hanya tersenyum sambil berkata, “Alhamdulillah, masih hidup orang nya makcik”..

9. keadaan aku tidaklah seteruk yang di ceritakan, itu hanya sebagai ‘bahan perasa’ aje untuk memberi kesedaran kepada pembaca. Alhamdulillah helmet fullface dan jaket kulit dapat memberi perlindungan terbaik kepadaku dengan izin Allah jua.

10. kecederaan aku hanya luka melecet pada bahagian kaki dan sedikit terkehel. Sebab masa kemalangan tu aku berguling kira-kira sejauh 10M. mungkin berguling tu dapat mengurangkan kadar kecederaan teruk. Tapi terdapat kesan calar yang agak dalam pada fullface dan jaket kulit aku, Alhamdulillah Allah masih melindungi aku dari kecederaan yang lebih teruk.

11. kesan dari kemalangan itu syarikat ku telah meminjamkan sebuah kereta untuk kegunaan aku pergi dan balik kerja, juga untuk kegunaan aku melawat tapak binaan.

12. hampir sebulan Rxz aku tersadai di kedai untuk proses tuntutan insuran. Oleh kerana masa yang diambil terlalu lama, telah menyebabkan banyak bahagian yang dah berkarat. lalu aku menambah sedikit bayaran untuk menukar dari warna asal, merah kepada warna hijau petronas.


13.disebabkan aku telah disediakan kereta oleh pihak syarikat. Aktiviti menunggang motorsikalku semakin berkurangan, tambahan pula hubungan aku dengan Ali dah semakin renggang, di sebabkan Ali seolah-olah telah bertukar minat dari bidang permotoran kepada ‘kebatinan’ bersama kawan barunya. Namun atas minat yang mendalam pada motor, sesekali aku masih ada membuat xpdc-xpdc santai bersama abangku ke sekitar tempat-tempat peranginan dan bersejarah sekitar Johor, Melaka, N9 dan Pahang.

14. Akhirnya aku terpaksa akur bahawa tiada lagi kawan yang mempunyai minat mendalam terhadap xpdc bermotor, kerana abangku Hazla telah berumahtangga. Aku pula terpaksa menerima lamaran seorang kenalan terhadap Rxz ku. Kebetulan pada waktu itu aku memerlukan sedikit wang untuk bantu membayar tanah orang tuaku.

15. Dan fakta yang betul-betul bukan auta, pada usia 46 tahun ini minat aku berputik semula pada jentera 2 roda. Tapi mungkin lebih menjurus kepada ala-ala sportbike (bukan superbike) spt ninja SE 250, z250, R25, dan mungkin juga Modenas Ninja yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Tambahan pula abangku Hazla telah setahun memiliki Blade naked 250. Mungkinkah kami boleh ber’xpdc’ lg.. ???


teRkEnANg semAsA dULu (kiSAH xPDc)


simpan sini buat kenangan diri sendiri dan tatapan anak cucu, kerana Majalah RODA-RODA yang aku simpan telah melebihi 2 dekad ini semakin mereput dan rapuh dimamah masa.

Majalah : RODA-RODA
Bil : 107
Keluaran : September 1995
Segmen : Ragam Anak Muda
Tajuk : EKSPEDISI KEPUTUSAN NEKAD


 Pada mulanya kami lima orang merancangkan XPDC ini. Disebabkan beberapa masalah, tiga diantara mereka menarik diri. Tinggalah kami berdua. Aku, Man Rxz JDL3944 dan Ali SS110 JDD5350. Untuk pengetahuan pembaca kami adalah dari Kelab Motor Budak Nakal yang berpusat di Pasir Gudang. Sebenarnya tujuan kami meneruskan XPDC ini, adalah untuk mencari pengalaman long distance dan yang lebih penting adalah untuk menyahut cabaran teman-teman sekerja yang menyatakan “motor berCC rendah mustahil dapat manamatkan perjalanan ini dengan sempurna”.


12 May : kami memulakan perjalanan dari Jb pada pukul 5 petang. Sampai di Mersing pukul 7 malam. Terima kasih kepada keluarga atok Ali kerana telah menumpangkan kami bermalam di rumah beliau.

13 May : 6.10 pagi memulakan perjalanan dan melepasi sempadan Johor/Pahang. Kami tiba di Kuantan pada pukul 11 pagi setelah mengunjungi pakcik Ali di Beserah. Kami meneruskan perjalanan ke negeri penyu bertelur. Kami menumpang bermalam di masjid Rantau Abang. Sempat juga berkenalan dengan pakcik Mat, beliau menawarkan agar kami menyimpan motor di rumahnya. Terima kasih pakcik Mat.

Hari ketiga. Kami cuba mencari Batu Lagenda Ibu Penyu, tapi malangnya kami yang ‘kena lagenda’. Kepada teman-teman yang berhajat seperti kami, lupakanlah. Kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu Kelantan. Terima kasih kepada kakitangan stesen Petronas Haimi, Pengkalan Chepa kerana telah menunjukkan jalan ke Rantau panjang dan serba sedikit laluan di Kota Bharu.

Setibanya kami di Rantau Panjang, alangkah terkejutnya kami apabila kami diburu oleh beberapa orang pemandu pelancong haram untuk membawa kami ke Thailand. Oleh kerana tidak mahu terus diburu, kami meneruskan perjlanan ke Machang. Memandangkan hari beransur malam kami berhenti di surau Kg Berangan KM 13 Jalan Kuala Krai. Terima kasih kepada Penghulu dan penduduk kampung tersebut kerana telah membenarkan kami tumpang bermalam. Budi baik kalian hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.

15 May : Kami meninggalkan surau Kg Berangan padapukul 6.30 pagi menuju ke Jeli dan melintasi Lebuhraya Timur Barat, terus ke Grik, Pengkalan Hulu dan Baling. Kami sampai di Sg. Petani pada pukul 3.15 petang dan tumpang bermalam di rumah sewa Kak Ju, terima kasih kak Ju atas jasa baikmu.


16 May : Selepas menunaikan solat subuh kami terus ke Bukit Kayu hitam, dan menyambung perjalanan ke Padang Besar Perlis. Setelah berhenti seketika untuk menghilangkan penat, kami meneruskan perjalanan ke Alor Star dan menuju ke Butterworth. Kami sampai di Bukit Mertajam pada pukul 8.20 malam. C’fu (sahabat lama Ali) telah lama menunggu. Sepertimana yang telah dirancangkan, kami bermalam di rumah C’fu.

17 May : Pagi ini C’fu membawa kami meronda-ronda ke beberapa tempat menarik di negeri Pulau Mutiara. Kami sempat melawat Batu Feringgi, Bukit Bendera, Empangan Air Hitam dan beberapa lagi tempat manarik. Terima kasih C’fu. Oleh kerana kesuntukkan cuti, kami membuat keputusan untuk pulang ke selatan pada hari yang sama. Walaupun telah dihalang oleh C’fu dan keluarga beliau. Kami meninggalkan Bukit Mertajam pada pukul 7 malam melalui Lebuhraya PLUS. Oleh kerana badan terlalu letih berjalan jauh, kami berhenti untuk bermalam di perhentian Tapah, Perak.

18 May : Kami meneruskan perjalanan ke selatan, melepasi sempadan Perak/Selangor dan memasuki Seremban pada pukul 1 tengahari. Kami singgah di rumah saudaraku untuk menyampaikan barang pesanan yang dikirimkan, juga tumpang bermalam di sana.

19 May : kami meninggalkan Seremban pada jam 9 pagi melalui Lebuhraya PLUS dan keluar melalui plaza tol Ayer Keroh Melaka. Selepas melawati beberapa pusat pelancongan dan tempat bersejarah di Melaka, kami meneruskan perjalanan pulang ke Johor Bahru. Ahlahdulillah, meskipun telah melalui berbagai rintangan namun XPDC ini dapat berjalan dengan lancer. Kami menamatkan perjalanan sejauh 2754km ini pada pukul 6.45 pm dengan membawa pulang seribu satu kenangan.

Syabas kepada JDL dan JDD kerana kalian tidak pernah merungut letih. Kepada C’fu “bila hang  nak mai Johoq”. Untuk Ali dan teman-teman semua, amacam XPDC LIMA ’95 bulan December nanti, boleh follow lagi ke?

Man, J327, Dato’ Bentara Village Johor

Di sebalik tabir : 15 fakta, bukan auta.

1. karangan ini adalah berdasarkan catatan aku sepanjang perjalanan, dan di editor kan secara tak bertauliah dari segi susunan ayat oleh abang aku. Hazla. Dan saat itu aku telah menjadi ahli kelab RODA-RODA. J327 adalah nombor keahlianku.

2. Ekspedisi Keputusan Nekad itu bukan lah tajuk asal kisah ni, asalnya adalah XPDC round Malaysia. Namun beberapa kejadian yang memaksa aku membuat keputusan nekad, maka Ekspedisi keputusan nekad itu menjadi tajuk bagi aku, tapi mungkin tidak bagi Ali. Watak mengatakan 5 orang merancang xpdc ni hanyalah ‘bahan perasa’ untuk di sesuaikan dengan tajuk.

3. Ali adalah salah seorang rakan abangku Hazla. Dia mula rapat denganku setelah aku memiliki Rxz JDL (yang kubeli tunai pada harga Rm5750, baru) pada awal tahun 1995. Bagi menggantikan Rxz JCK (Rxz oh Rxz).

4. Kelab Motor Budak Nakal yang berpusat di Pasir Gudang juga adalah ‘bahan perasa’ sahaja. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.. hihi

5. perancang utama xpdc ini adalah abangku Hazla, walaupun dia tidak menyertainya. Kerana dia telah beberapa kali membuat xpdc round Malaysia bersama rakan2 nya yang lain, kecuali Ali.

6. setiap perjalanan dan laluan yang dirancang hanyalah melalui peta dan berdasarkan pengalaman perjalanan abangku Hazla. Kerana zaman tu masih belum ada waze, google map, jauh sekali handphone.

7. semasa di Kota Bharu 2 perkara yang amat mengerikan berlaku. (pertama). Aku ingin mengeluarkan wang gaji dari BSN tapi malangnya gajiku belum masuk dan hanya ada baki RM12 dalam akaun. aku menghubungi pihak syarikat. Namun kerani menjawab terdapat masalah pada pengiraan gaji aku sehingga pihak syarikat meminta aku hadir ke pejabat untuk menyelesaikan masalah tersebut.. oh..amat mustahil sbb aku kini berada di Kelantan,  setelah berbincang, Ali menegaskan dia akan meneruskan xpdc ini, walaupun aku berniat untuk berpatah balik.. ohh, lagilah amat mustahil  untuk aku berpatah balik hanya dengan berbekalkan wang tunai tak sampai RM20.. nekad, aku meneruskan xpdc ini bersama Ali, dan Ali berjanji akan mengisi minyak dan keperluan perjalanan ku, seandainya aku meneruskan xpdc ini.. peristiwa menyeramkan (kedua) yang berlaku.. sebaik sahaja aku bersetuju dengan tawaran itu, aku dan Ali terpisah di tengah-tengah Bandar Kota Bharu setelah Ali menerima cabaran sekumpulan remaja tempatan yang mengacah kami untuk berlumba.. Ali mengejar sekumpulan remaja tersebut, manakala aku mengejar Ali dari belakang, tapi malangnya kami terpisah kerana kesesakan Bandar Kota Bharu dan beberapa simpang di kiri dan kanan… akhirnya aku membuat keputusan meneruskan perjalanan bersendirian menghala ke Rantau Panjang dan menunggu Ali di bahu jalan, kerana dalam fikiran ku, destinasi kami seterusnya adalah ke Rantau Panjang, pastinya Ali akan melalui jalan ini sekiranya dia berada di belakang ku, seandainya dia berada di depan ku pastinya dia akan berpatah balik melalui jalan ini juga… Alhamdulillah akhirnya Ali muncul di belakang ku, katanya dia sempat merempit dengan remaja-remaja tempatan mengelilingi kawasan Bandar Kota Bharu.. dari kejadian ini, aku nekad meminjam tunai dari Ali RM150.. kerana bahaya bagiku sekiranya kejadian terpisah ini terjadi lagi..

8. 17 May. Kerana kepenatan, kami bukan bermalam d RNR Tapah, sebaliknya kami terlelap utk beberapa jam di RNR Sg Perak Arah selatan. Sungguh tak selesa kerana hanya berbaring di bawah pondok wakaf, dengan diserang nyamuk dan gangguan bunyi kenderaan yang datang singgah dan pergi.

9. walaupun pada awalnya semangatku begitu berkobar-kobar, namun jujur aku katakan xpdc ini bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bagi aku, kerana beberapa sebab yang terjadi sepanjang perjalanan tersebut. Selain dari masalah kewangan yang merencatkan semangatku, benarlah sabda Nabi Muhamad SAW “jika kamu ingin mengenali seseorang rakan, pergilah bermusafir bersamanya”. Jelas dan nyata, sudah terang lagi bersuluh, namun biarlah aku simpan semua kenangan bersama seorang rakan itu dari membuka aibnya.. semoga Allah menutup aib aku juga.

10. sepanjang xpdc aku hanya sarapan pagi alakadar sebagai mengalas perut, dan hanya makan pada waktu malam sekali sahaja bagi menjimatkan duit yang aku pinjam dari Ali sebanyak RM150. (hutang itu telah aku jelaskan beberapa hari setelah aku kembali menyambung kerja, siap ada xtra caj lagi.. ??.. xpe korang tak payah tau)

11. Kelajuan perjalanan kami hanyalah sekitar 90km/j – 120km/j. dan beberapa kali sebenarnya motor SS Ali hilang kuasa, mungkin kerana enjin terlalu panas, mamaksa kelajuan yang boleh dicapai hanyalah sekitar 60km/j – 70km/j sahaja.

12. sepanjang perjalanan aku solat seperti biasa, kerana pada waktu itu aku masih tak paham berkenaan solat jamak.

13. 18 May aku singgah bermalam di rumah saudaraku di Seremban.. saudara dalam kisah ini adalah, kakakku, dia tinggal di Taman Sikamat. Selain dari xpdc ini aku selalu membuat xpdc santai ke rumah nya.

14. 6 gulung filem x 36 keping gambar kami rakamkan dalam xpdc ini.. almaklumlah zaman tu masih belum ada kamera digital dan jauh sekali action camera untuk aku mengabadikan segala seksa dan duka aku… setelah menamatkan xpdc tersebut, aku tak bertemu dengan Ali sehinggalah 2 minggu lamanya setelah gambar siap dicuci.. kenapa? Biar aku sendiri yang memendamnya..

15. dan fakta yang paling tak boleh nak auta, semasa melalui jalan Pengkalan Hulu ke pekan Baling, walaupun dalam keadaan perut sentiasa lapar dan dahaga, tapi aku terasa sangat nyaman kerana jalanraya nya masih dipagari dengan hutan tebal banjaran titiwangsa.. dan aku sendiri tidak menduka bahawa suatu hari nanti jodohku adalah dengan orang Baling.. subhanAllah, Alhamdulillah..


teRkEnANg semAsA dULu (kiSah Rxz oh Rxz)

simpan sini buat kenangan diri sendiri dan tatapan anak cucu, kerana Majalah RODA-RODA yang aku simpan telah melebihi 2 dekad ini semakin mereput dan rapuh di mamah masa.


Majalah : RODA-RODA
Bil : 93
Keluaran : Julai 1994
Segmen : Ragam Anak Muda
Tajuk : RXZ OH RXZ


Memang sejak dari bangku sekolah lagi aku telah meminati jentera beroda dua ini. Semakin hari minat ku semakin mendalam, tapi apakan daya pada masa itu aku masih di bangku sekolah, terpaksalah diperam je dulu minat ku ini. Masuk bulan November maka tamatlah alam persekolahan ku. Sementara menunggu keputusan SPM(V), aku bekerja sambilan di daerah ku.


Bulan Mac 1992, dengan keputusan yang aku perolehi, melayakkan ku menjadi seorang pekerja di Johor Bahru. Pada masa itu aku telah minat pada Yamaha RXZ. Tambahan pula RXZ sedang popular dikalangan remaja sepertiku. Tapi cublah teman-teman bayangkan, motor yang sebegitu mahal bukanlah boleh dimiliki dalam masa satu atau dua hari. Lain lah kalau nak beli sekilo gula… ini beribu-ribu punya harga woo!.. dah lah gaji aku tak sebesar mana. Hai… gatal kepala otak aku bila memikirkan motor idamanku ini.


Dalam pada aku sedang menghadapi dilemma RXZ, abangku telah bertukar kerja. Lebih jauh sikit dari tempat tinggalku. Dia telah meminjamkan Y100 sports nya kepadaku. Katanya telah disediakan transport ke tempat kerja. Meskipun Y100 bukanlah RXZ yang ku idamkan, namun aku tetap bersyukur kerana telah dapat memiliki sebuah motor, sempatlah jugak bergaya.

Bedebak-bedebuk dah setahun lebih Y100 berada dibawah jagaanku. Dah banyak ia berubah. Dalam tempoh masa yang lama itu, aku dan Y100 itu telah menjadi seperti belangkas. Kemana-mana sentiasa bersama. Tu yang member-member sangkakan Y100 adalah kepunyaanku sendiri. Nak katakan ‘Ya”… dah la motor pinjam, nak mengaku perkara sebenar, “alahai… tak rugged la”. Akhirnya aku hanya tersengeh macam kerang busuk bila mereka bertanya tentang Y100 pinjam itu. Namun begitu minatku pada RXZ tak pernah pudar sama sekali, meskipun keluar model-model terbaru seperti TXR, KRR, NSR, KRZ dan ntah apalagi lah. Bagiku RXZ tetap RXZ, sedikit sebanyak aku telah mendalami pengetahuanku terhadap RXZ.

Suatu hari tanpa di duga, abang kepada seorang rakanku telah menawarkan untuk menjual RXZ nya. Dengan alas an hendak menceburkan diri ke arena jentera beroda empat pula. Lagipun beliau telah berumahtangga, kata orang tak real lah kalau hanya dengan motor kesana sini. “Hah… apalagi, inilah masanya”. Setelah proses belek membelek dengan pengalaman menjahanamkan motor selama setahun. Akhirnya aku setuju untuk menjadi tuan kepada RXZ tersebut. Cuma aku perlu modify sikit agar ia kelihatan lebih remaja.

Pada tanggal 15 May 1994 merupakan detik paling bersejarah dalam hidupku. Mana taknya, apa yang diidam-idamkan selama ini akhirnya menjadi kenyataan. Cuma dalam masa dua hari je RXZ dibawah jagaanku, ia telah banyak bertukar rupa dari bentuk asalnya.sempatlah juga aku meronda di tempatku bersamanya. Di dalam minggu yang sama juga, aidiladha hamper menjelang tiba. Apalagi inilah masanya untuk eksyen pada orang kampung.

Pada 20 May, aku dan RXZ tersebut membuat long distance buat kali pertama dalam hidupku. Meskipun hanya dari Johor Bahru Ke Batu pahat. (ala.. baru 160km je). Aku cukup puas hati dan bergaya (pada pandangan mata aku la). Mana tak bergaya, siap dengan fullface dan jaket. Itu belum kira dengan ‘hand glove kodong’. “Real… real, wa cakap lu”

Kat kampung puas aku terima berbagai pujian dari saudara mara dan sahabat handai. Dalam pada itu ada juga yang cemburu dengan penampilanku yang tak disangka-sangka. Puas aku merayap satu kampung. ‘bakar membakar’ dah tak kira kat mana pun. Maklumlah orang tengah kemaruk. Sampai kat kawasan perkuburan pun aku ‘bakar’. Nasib baik tak kena hambat dek hantu raya. Alhamdulillah.

Setelah Aidiladha berakhir, tiba masanya untuk aku menyambung tugas di Johor Bahru. Tapi malangnya kepulanganku dari kampung bukanlah membibitkan berita gembira. Malah lebih buruk dari fikiranku dan mungkin juga fikiran kalian semua… “ha, cuba teka… apa yang berlaku agaknya?”

Memang kata orang, ada hujung, ada pangkal dan setiap yang bermula akan berakhir. Begitu juga jodoh aku dengan RXZ tersebut. Pada 22 may, genablah seminggu aku memiliknya. Tanpa diduga tuan pertama telah dating bertemu denganku untuk mengambil kembali RXZ tersebut. Katanya ada beberapa sebab tertentu yang menyebabkan urusan tukar hakmilik gagal dilakukan.

Cubalah kalian fikirkan, apa yang tak boleh dilakukan dalam dunia ini?... sehingga menunggang tanpa lesen pun boleh, jikalau tidak kena saman. Aku percaya itu semua hanya alasan semata-mata. Mungkin member ‘kamcing’ pada tuan motor pertama sanggup menawarkan harga yang lebih tinggi dari harga yang telah aku rundingkan dulu. Rupanya dalam pada aku menyanyanginya, ada insan lain yang lebih mengharapkan untuk menjadi tuan kepada RXZ tersebut. Tak pe lah. Motor itu banyak kecacatan termasuk pick up dah takde. Itu belum cerita lagi pasal body yang sudah lari…

Fikir punya fikir, akhirnya aku sanggup berpisah dengan RXZ tersebut. Tapi dia mesti memulangkan kembali wang yang telah aku jelaskan dulu dan membayar gantirugi kos pengubahsuaian ke atas motor tersebut… oleh kerana dia setuju dengan syarat itu akhirnya, satu kata putus tercapai. Sedih… sedih. Cubalah kalian bayangkan sekian lama aku mengidam tapi hanya seminggu je aku dapat bersamanya. Alamak umpama mimpi dalam mimpilah, tapi itu kata kumpulan Damasutra. Bagi aku tidak kesal. Sempatlah juga aku bergambar dengan RXZ tesebut. Kira ada buktilah. Dan sekarang tinggallah fullface yang sedia menanti untuk betugas, juga jaket dan ‘hand glove kodong’ yang tergantung dalam almari sebagai kenangan.

Ok lah, buat geng-geng dan pembaca RR semua berhati-hatilah sekiranya ingin memiliki sebuah kenderaan dari orang pereorangan. Agar tidak tertipu seperti aku, dan kalau boleh cubalah buat surat perjanjian agar tak dipermainkan oleh orang yang bersikap Yahudi, Israel, serb, dan ntah apa-apa lagilah. Tapi tak pe, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam pada itu aku tetap berazam untuk memiliki sebuah RXZ yang lebih baik dari motor tersebut. Moga-moga jodohku ditemukan.

Kiriman : Man. Dato’ Bentara Village, Johor.


inilah sebenarnya editor tak bertauliahku, abangku Hazla, pic dalam majalah tu abangku Hamsyah.

Di sebalik tabir : 10 fakta bukan auta.


1. karangan ini adalah nukilan aku dan di editor kan secara tak bertauliah oleh abang aku. Hazla

2. RXZ tersebut adalah milik abang kepada seorang rakan Hazla, dengan gelaran tompel yang menetap di Bandar Tenggara kulai, Johor.

3. harga untuk dijual adalah RM3,200 manakala harga yang kami setujui RM3000. yang aku jelas secara tunai.(2 tahun aku menabung) Info dari tompel sendiri bahawa abang nya sangat berkira.

4. semasa dalam perjalanan balik membawa RXZ tersebut kami di basahi hujan dari felda bukit besar hingga ke rumahku di Ulu Tiram.

5. pada 18 May aku dah terima berita dari tompel, bahawa abang nya ingin mengambil kembali RXZ tersebut, sebab kawan dia sendiri menawarkan harga lebih tinggi.. RM3500.

6. 20 may aku pulang ke Batu pahat, parit kalong, senggarang, bukanlah semata-mata bagi menyambut Aidiladha. Sebaliknya pada 19 may keluarga ku telah di kejutkan dengan kematian nenek sebelah ibuku yang ku panggil Nyaie.

7. kawasan perkuburan yang aku ‘bakar’ adalah tanah perkuburan Parit Hailam. Dimana tempat Nyaie ku disemadikan. ( ‘bakar’ membawa maksud memerah throttle).

8. sebenarnya aku tak ‘membakar’ pun, sebaliknya 3 hari di kampung itu kami saudara mara sering berulang alik dari Parit Kalong ke tanah perkuburan tersebut untuk membacakan Yasin untuk Allahyarhamah Nyaie ku.

9. helmet fullface jenama SGV, design Michele Doohan, jaket kulit jenama Bell dan glove half finger telah aku beli dari awal lagi. Semasa aku masih meminjam Y100 abangku, Hazla.

10. kecacatan RXZ tersebut aku sadari semasa dalam perjalanan pulang ke kampung melalui Parit Botak. Jalan nya agak beralun dan sedikit selekoh.. semasa memecut dalam kelajuan 90km/j aku rasakan RXZ membuai terlalu kuat, apabila melayan selekoh pula, ekor RXZ akan bergelek kuat seperti seorang penyanyi dangdut.. itulah maksud ada hikmah disebaliknya melalui kisah RXZ OH RXZ…

Tuesday, March 24, 2020

aKu, KaMu dAN mErEKa


Belajarlah merendah diri
Sehingga tiada sesiapa yang mampu merendahkan mu
Belajarlah mengalah
Sehingga tiada seorang pun yang mampu mengalahkanmu




yAnG kAn teRJaDi tETaP tErJAdi


beberapa hari yang lalu 15hb mac 2020
sekembalinya aku dari bukit keremoiyang, simpang renggam, menghantar barangan dan mesin-mesin pembuatan perabot ku…

dalam keadaan penat, letih dan mengantuk…

penat otak ku, kerana asyik dikejar oleh pelbagai persoalan, memikirkan keadaan bangsal ku yang masih belum disiapkan sepenuhnya, memikirkan pembeli tanah yang sentiasa membanyangiku untuk membawa masuk barangannya..

letih badan ku, kerana telah seminggu aku dan abang ku bertungkus lumus membuka bumbung dan besi kerangka atap..

mengantuk kerana siang aku dibebani kerja-kerja yang lasak di dalam cuaca yang ekstrim panas, manakala malamnya fikiran ku dibebani pelbagai persoalan yang tidak menampakkan sinar cahaya nya..

lokasi : lebuhraya PLUS arah selatan. KM33.6
simpan sini buat kenangan


sETiaP yAnG bErLakU pAsTi aDa HiKmAh diSeBaLiknYa

hari ni 24 mac 2020 bersamaan 28 Rejab 1441H

telah seminggu rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakkan..
berbagai persepsi dan berbagai keluhan lahir dalam diri masing-masing. Bagaimana nantinya selepas tarikh 31 mac? Adakah Malaysia akan kembali aman dari serangan virus ini, adakah nanti anak-anak akan selamat untuk kembali ke madrasah, adakah nanti ketua keluarga dapat meneruskan kembali rutin harian, mencari secebis rezeki utk santapan keluarga?... semua persoalan ini memenuhi benak fikiran ku, dan munggin juga kamu…

namun sebagai hamba yang merdeka ini, bersyukurlah kita ke hadrat Illahi, kerana pasti ada hikmah nya di atas segala ketentuan ini… dengan kejadian yang tidak disenangi ini,  tanpa kita sadari, ibu bapa dan anak-anak dapat berkumpul bersama di rumah. Menontot tv bersama, solat berjemaah setiap waktu, tadarus alquran bersama. Malah, dikesempatan akhir-akhir rejab ini dapatlah juga melakukan puasa sunat besama-sama…. Alhamdulillah.. terima kasih ku ucapkan kepada Mu Ya Robb atas nikmat yang Kau berikan ini…


Saturday, March 21, 2020

aNDai dApaT kU UnduRkAn mAsa (terkuburnya sebuah cita-cita)


mengimbau kembali kenangan lalu.
Untuk apa…?
Untuk dijadikan hamparan dan panduan didalam sebuah perjalanan yang dinamakan kehidupan.

Sedari kecil minat dan cita-cita ku lebih cenderung kearah memberi khidmat kepada masyarakat.. namun kini setelah dewasa.. akihir nya aku menyedari malah terpaksa akur dan meredhai segala ketentuan dari Illahi..

Apa yang aku pelajari kini adalah, tidak semua yang kita inginkan di atas muka bumi yang fana ini boleh menjadi kenyataan… berusaha dan berjuanglah untuk memiliki apa yang kau cari. Namun ketentuan dan kurniaan itu adalah milik muklak oleh pencipta ku.. pun begitu, aku amat bersyukur di atas segala Kurniaan dari Illahi…

Simpan disini buat kenangan…


Wednesday, March 18, 2020

sEmUA yANg BeRLaku aDaLaH dEnGaN iZin ALLAH jua

Hari ini 18 Mac 2020 bersamaan 24 Rejab 1441H

hari ini merupakan hari pertama perintah kerajaan agar rakyat malaysia mengurangkan pergerakkan.. sehinggaa 31 Mac 2020 nanti.. ini adalah langkah bijak kerajaan bagi membendung kes covid-19 yang sedang berleluasa menyerang dunia.. tidak terkecuali jua Tanah air ku.. Malaysia..

sebagai manusia yang beriman kita patut menerima dan mengakui, malah mengimani rukun iman yang ke-6. percaya pada qadho dan qadar.. meskipun permasalah ini adalah berpunca dari sebuah negara luar, namun pasti dan pasti apa yang berlaku itu adalah dengan keizinan dari Allah SWT jua....

sebagai hamba kita hanya mampu berusaha untuk mencegahnya dengan disertakan doa dan pengharapan agar segala permasalahan ini akan berakhir.. dan bertawakkal lah hanya kepada Allah, Maha pencipta.. Hasbunallah wanikmal wakil, Nikmal maula wanik mannasir

Tuesday, March 3, 2020

aNDai dApaT kU UnduRkAn mAsa (kerjaya)


perjalanan hidup ini begitu pantas meninggalkan kita. Suka duka hilai tawa air mata semuanya menjadi teman sepanjang perjalanan ini… hari berganti hari, tarikh berganti tarikh, bulan berganti bulan… minggu hadapan akan datang semula hari yang sama pada sebutannya, namun hari yang datang itu bukanlah hari yang sama dengan hari ini…



begitu jua perjalanan hidup ku. Suatu masa dahulu, aku adalah seorang juruteknik di sektor industri, kemudian bertukar menjadi seorang pelukis pelan di bidang pembinaan. Kemudian bertukar pula menjadi seorang sukarelawan. Lalu bertukar pula menjadi seorang peniaga, di bidang pembuatan..



kini… sendiri disini, mencari mu tak tahu dimana… apakah yang aku cari sebenarnya di dalam kehidupan ini… aku sendiri pun tak tahu arah tujuanku.. yang pasti perjalanan ini perlu diteruskan menuju ke tujuan sebenarnya di sana

aPAkaH pULa nAnTi

zaman senireka perabot
hari ini 3 mac 2020 bersamaan 8 rejab 1441H

pengakhiran perjalanan sebuah perniagaan yang telah lama tenat dan koma terlantar di kamar sepi…



setelah kian lama ku tinggalkan, akhirnya hari ini aku kembali semula kesini untuk mengemas semua peralatan ku sebelum boleh aku mencucapkan selamat tinggal kepada tanah yang penuh besejarah ini. Terpaksa aku lakukan begini kerana tanah yang dipijak ini sudah menjadi milik orang. Kemanakah langkah aku seterusnya nanti..? ku serahkan segalanya kepada pencipta ku yang menentukan…

Zaman Senireka Perabot 
dalam kenangan.. (2011 - 2018)