simpan sini buat kenangan diri sendiri
dan tatapan anak cucu, kerana Majalah RODA-RODA yang aku simpan telah melebihi 2 dekad ini semakin mereput dan rapuh di mamah masa.
Bil : 125
Keluaran : Mac 1997
Segmen : Ragam Anak Muda
Tajuk : SECEBIS KENANGAN BUAT TEMAN
Sebelum
ini aku pernah luahkan rasa tak puas hati aku pada kalian bila mana aku tertipu
dalam usaha memiliki sebuah motor RXZ terpakai. Melalui ruangan Ragam Anak Muda
(RXZ Ohh RXZ,RR Jul 94). Kemudian aku telah pun Berjaya memiliki sebuah RXZ
baru.
Pada
10 Ogos tahun lalu seperti hari-hari lain sebelumnya, aku pulang agak lewat
dari tempat kerja. Walaupun waktu sebenar aku bertugas adalah dari pukul 8:30
pagi hingga 5:00 petang, pada hari-hari biasa dan separuh hari pada hari Sabtu.
Tetapi memandangkan terlalu banyak tugasan yang terpaksa aku siapkan , nak tak
nak kenalah pulang lewat. Kebiasaan aku akan pulang ke rumah sebaik saja waktu
Maghrib. Begitulah rutin aku pada hari yang sama.
Sedang
asyik mata dan jariku tertumpu pada ‘monitor’ computer, tanpa aku sedari jam
telah menunjukkan pukul 7:20 malam. Sebagai seorang hambaNya aku juga tak mahu
tergolong di dalam golongan orang-orang yang akan menerima azab yang amat
dahsyat itu. Kewajipan mesti didahulukan. Alhamdulillah. Setelah menunaikan
solat Maghrib, baru aku teringat aku ada temu janji dengan seorang sahabat aku
pada pukul 8:00 malam. Apalagi macam lipas kudung aku bersiap untuk pulang ke
rumah. Dalam keadaan tergesa-gesa aku sempat lengkapakan diriku dengan serba
sedikit ciri-ciri keselamatan.
Sebaik
sahaja aku keluar dari Taman Johor Jaya (tempat aku bertugas) aku melalui
lebuhraya JB-Kota Tinggi,untuk ke destinasiku. Keadaan jalan raya pada masa itu
agak lengang,jadi aku memecut dalam purata 140-150km/j. Aku hanya tinggal
beberapa kilometer sahaja untuk sampai ke Bandar Ulu Tiram. Tiba tiba……..
sebuah motor EX 5 dari arah bertentangan membuat U turn dan memintas
dihadapanku. (Sepatutnya dia masih berada di lorong kanan dan setelah aku
melepasinya barulah dia bertukar ke lorong kiri). Dalam keadaan selaju ini, apa
agaknya yang terlintas di kepala kalian yang patut aku lakukan. Maklumlah roda
dua, mengelak jatuh,kalau tak elak…….dah tak de apa yang mampu aku lakukan
selain dari sebat terus.
Dalam
masa aku terlambung hanya kalimah YA
ALLAH yang mampu keluar dari mulutku….. bila sedar semula aku dapati badanku
telah terlentang di atas rumput sambil dikelilingi oleh ramai pengguna jalan
raya pada masa itu. Ramainya bagai semuat megerumuni sebiji gula-gula. Aku
kuatkan semangat untuk bangun tetapi tidak berdaya. Bertambah lemah lagi
semangatku bila aku dapati RXZ ku terbujur kaku tak bernyawa di dalam longkang
sedalam satu meter dengan kedudukan arah bertentangan dari arah destinasiku.
Hancur lebur semangat aku pada masa itu sebagaimana hancurnya motorku. Namun,
aku tetap mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi, kerana masih berpeluang untuk
meneruskan kehidupan ini. Alhamdulillah dengan dilindungi topi keledar penuh
muka dan jaket kulit yang telah aku miliki lebih kurang dua tahun yang lalu,
aku Cuma mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki.
Bersama-sama
kesempatan ini aku nak nasihatkan pada rakan-rakan sekalian. Jangan terlalu
banyak berfikir semasa berada diatas jalan raya sehingga boleh menganggu
pengendalian. Kalau ada rezeki lebih belilah kelengkapan menunggang. Biar
harganya agak mahal sedikit tapi prestasinya memuaskan.
Akhir
sekali aku ucapkan terima kasih pada Man dan Mimi, Gamma JEA 8165 kerana telah
bersusah payah menguruskan motor ku pada hari kejadian. Tak lupa juga ucapan
Selamat Pengatin Baru untuk kalian berdua. Semoga jodoh kalian berpanjangan
hingga ke akhir hayat. Serta setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd
Hizam, kerana telah menguruskan aku dari terlentang di atas jalan raya
hinggalah aku diterlentangkan di hospital. Budi dan jasa baik kalian hanya
Allah swt sahaja yang mampu membalasnya……
Untuk
teman-teman semua aku minta maaf kerana tak dapat sertai XPDC yang kita dah
rancangkan dahulu. Cuma satu nasihat aku. Berhati-hati di jalan raya. Kita ini
umpama mentimun dengan durian. Dilanggar jatuh, melanggar pun jatuh. JJSS.
Jangan Jadi Seperti Saya!
Kini
JDL 3944 telah hilang serinya dan sedang terkulai layu untuk menanti hari
pembedahan. Begitu juga aku terpaksa menerima akibat buruk dari kecuaian orang
lain dan sedang menanti untuk pulih seperti sediakala. Yang aku sendiri pun tak
tahu…. Entahkan bila….?
MAN. J327 Dato’ Bentara Village, Johor
Di sebalik tabir : 15 fakta, bukan auta.
1.
karangan ini adalah hasil nukilan aku sendiri, tiada editor tak bertauliah yang dilantik.. hihi. Sebab waktu tu aku dah
bertukar kerja dari seorang juruteknik industry kepada Pelukis Pelan di Jalan
Bakawali 36, Tmn Johor Jaya.. sepanjang masa kerja aku menghadap computer. Jadi
aku boleh karang cerita, dan edit
sendiri mana-mana ayat yang kurang sesuai.
2.
selama bertugas disana aku sering stayback
seorang diri di pejabat, terkadang hingga ke jam 10 malam, namun tidak pernah
aku dibayar upah kerja lebih masa. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku menjadi seikhlas
itu, Cuma apa yang aku tahu pelan terlalu banyak, sedangkan hanya aku seorang yang
melukis. Permintaan untuk mengambil lagi pembantu sering aku luahkan, tapi boss
aku memang jenis kedekut.
3.
pada hari kejadian tu, sebenarnya aku ada janjitemu dengan Ali dan seorang
rakannya barunya. kami bercadang hendak ke Kg Makan Kota Tinggi untuk bertemu
seorang guru silat, Imam Hj. Abd Razak. Sekarang dah arwah.
4.
Watak Mimi dalam perenggan ke-8 adalah kakak kepada Ali dan Man adalah tunang
nya pada masa itu. Kebetulan mereka berdua melalui jalan yang sama tempat aku
kemalangan. Beberapa bulan kemudian mereka berdua telah diijabkabulkan. Dan aku
sendiri mengiringkan mereka ke kampong halaman Man di Terengganu.
5.
manakala watak mohd hizam pula aku pun tak kenal. Yang pasti dia juga adalah
seorang penunggang motosikal yang sedang menuju ke Kota Tinggi katanya. Dan
ikhlas membantu aku atas dasar sesame Islam.
6.
Lokasi kemalangan aku adalah betul-betul di U turn jambatan timbang JPJ arah ke
Ulu Tiram, berhampiran susur masuk lebuhraya E22, Senai-Desaru. Tol Ulu Tiram.
Tapi masa itu lebuhraya E22 masih belum wujud lagi.
7.
EX5 yang membuat pusingan U itu ditunggang oleh seorang uncle dan aunty
berbagsa cina, beliau mengakui terjadinya kemalangan itu adalah atas
kesalahannya. Beliau telah membayar RM300 sebagai duit perubatan. Selebihnya
aku claim insuran motor untuk membaikpulih Rxz ku, manakala kos perubatan, aku
claim personal insuran yang aku langgani.
8.
Selang beberapa hari semasa proses membuat tuntutan insuran motor aku ke kedai
motor di pekan Ulu Tiram. Selesai menandatangani borang tuntutan. Aku duduk
berehat dulu di depan kedai motor tersebut. Lalu datang dua orang pelanggan,
pakcik dan makcik. Sedang pakcik tu berurusan dengan tokey kedai, makcik tu
sempat membelek-belek Rxz aku yang tersadai di depan kedai dgn bertanah-tanah
dan rumput kering yang masih melekat pada Rxz aku. Sambil mengucap “Astagfirullah-hal-azim..
macamana la agaknya orang yang bawak motor ni, mati agaknya”… aku hanya
tersenyum sambil berkata, “Alhamdulillah, masih hidup orang nya makcik”..
9.
keadaan aku tidaklah seteruk yang di ceritakan, itu hanya sebagai ‘bahan
perasa’ aje untuk memberi kesedaran kepada pembaca. Alhamdulillah helmet fullface dan jaket kulit dapat memberi
perlindungan terbaik kepadaku dengan izin Allah jua.
10.
kecederaan aku hanya luka melecet pada bahagian kaki dan sedikit terkehel.
Sebab masa kemalangan tu aku berguling kira-kira sejauh 10M. mungkin berguling
tu dapat mengurangkan kadar kecederaan teruk. Tapi terdapat kesan calar yang
agak dalam pada fullface dan jaket
kulit aku, Alhamdulillah Allah masih melindungi aku dari kecederaan yang lebih
teruk.
11.
kesan dari kemalangan itu syarikat ku telah meminjamkan sebuah kereta untuk
kegunaan aku pergi dan balik kerja, juga untuk kegunaan aku melawat tapak
binaan.
12.
hampir sebulan Rxz aku tersadai di kedai untuk proses tuntutan insuran. Oleh
kerana masa yang diambil terlalu lama, telah menyebabkan banyak bahagian yang
dah berkarat. lalu aku menambah sedikit bayaran untuk menukar dari warna asal,
merah kepada warna hijau petronas.
13.disebabkan
aku telah disediakan kereta oleh pihak syarikat. Aktiviti menunggang
motorsikalku semakin berkurangan, tambahan pula hubungan aku dengan Ali dah
semakin renggang, di sebabkan Ali seolah-olah telah bertukar minat dari bidang
permotoran kepada ‘kebatinan’ bersama kawan barunya. Namun atas minat yang mendalam pada
motor, sesekali aku masih ada membuat xpdc-xpdc santai bersama abangku ke
sekitar tempat-tempat peranginan dan bersejarah sekitar Johor, Melaka, N9 dan
Pahang.
14.
Akhirnya aku terpaksa akur bahawa tiada lagi kawan yang mempunyai minat
mendalam terhadap xpdc bermotor, kerana abangku Hazla telah berumahtangga. Aku
pula terpaksa menerima lamaran seorang kenalan terhadap Rxz ku. Kebetulan pada
waktu itu aku memerlukan sedikit wang untuk bantu membayar tanah orang tuaku.
15.
Dan fakta yang betul-betul bukan auta, pada usia 46 tahun ini minat aku
berputik semula pada jentera 2 roda. Tapi mungkin lebih menjurus kepada ala-ala
sportbike (bukan superbike) spt ninja SE 250, z250, R25, dan mungkin juga Modenas Ninja yang akan dilancarkan
tidak lama lagi. Tambahan pula abangku Hazla telah setahun memiliki Blade naked
250. Mungkinkah kami boleh ber’xpdc’ lg.. ???
No comments:
Post a Comment