Wednesday, May 20, 2020

dARi jAuH kU pOhON maAF




hari ini rabu, 27 ramadhan bersamaan 20 may 2020. Berjalan seperti biasa, tiada apa-apa yang istimewa. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Pada waktu-waktu sebegini merupakan saat-saat akhir aku berkerja. Kerana malamnya kami akan bermusafir pulang ke kampung isteri. Syawal ini merupakan tahun ke-3 bagi keluarga aku beraya di Johor, bersama ibu dan adik beradik ku.

Tidak seperti dahulunya setiap tahun kami akan menyambut aidilfitri di utara tanah air. Di kampung isteriku Baling, Kedah. Masih bermain difikiran, semua kenangan lalu. Keseronokkan menempuh perjalanan sejauh 700 lebih km yang mengambil masa sehingga 10 jam lamanya malah, seandainya keadaan jalan sesak teruk terkadang boleh mencecah sehingga 15 jam..

Memandangkan aidilfitri cuti sekolah agak lama berbanding aidilahda, jadi kami menggunakan peluang tersebut untuk beraya dikampung. Masih segar dibenak ingatanku, kebiasaannya kami akan bertolak dari rumah pada sebelah malam. Samada selepas menunaikan solat tarawikh mahupun sekitar jam 2 atau 3 pagi. kerana ingin mengelakkan kepanasan pada waktu siang, disamping dapat menyelamatkan puasa anak-anak. Maklumlah mereka masih kecil waktu itu. Pastinya akan berasa letih bermusafir dalam berpuasa.

Menempuh perjalanan yang jauh menggunakan sebuah kereta iswara amatlah memenatkan. Keselesaan sangat alakadar. Anak ku yang sulong dan bungsu akan tidur berpelukkan di kerusi sebelah pemandu. Penyandarnya aku rebahkan supaya mereka dapat berbaring, walaupun kurang selesa. Manakala anak perempuan ku akan baring melintang di kerusi belakangnya, ditemani isteriku di belakang kerusi pemandu. Alhamdulillah…

Jika diberbanding zaman kanak-kanak ku, langsung tak pernah menjamah naik kenderaan sendiri. Kerana bapaku hanyalah memiliki sebuah basikal. Kalau hendak kemana-mana pastinya kami akan menaiki pengangkutan awam. Bas tanpa pendingin udara, ataupun kereta sapu yang disumbat penuh dengan penumpang seperti sardin.

Bila anak-anak semakin membesar. Iswara telah semakin uzur dan tidak sesuai untuk dibawa berjalan jauh. Dengan rezeki yang nyawa-nyawa ikan, aku gagahkan diri membeli sebuah van terpakai. Alhamdulillah perjalanan semakin menjadi lebih selesa. Anak-anak bebas bergolek ke mana saja di bahagian belakang. Tambahan pula van yang aku beli itu dilengkapkan kerusi yang apabila direbahkan bahagian penyandarnya, akan menjadi seperti sebuah katil queen size. Seronoklah mereka duduk, bermain, berguling hinggalah tertidur sesama mereka. Manakala aku ditemani isteri diruangan pemandu. Ini menjadikan perjalanan kurang membosankan kerana ada bidadari menemani disebelah…

Namun jodoh aku tak panjang bersama van tersebut. Sekitar 2 tahun saje. Maklumlah barang terpakai, banyak masalah sehingga menuntut kos penyelenggaraan yang tinggi. Memandangkan ekonomi keluarga makin stabil pada masa itu, kami menukarkan van tersebut dengan exora baru. Alhamdulillah. Keadaan semakin jadi lebih selesa dan bergaya. Meskipun tidak seluas sebuah van. Namun memadai keluasan di bahagian belakang untuk ketiga-tiga anak ku bermain sesama mereka, duduk bersandar ataupun tidur berbaring. Kali ini, kami dapat lebih menikmati dan menghayati keindahan ciptaan tuhan disepanjang perjalanan. Kami tidak lagi terikat bersengkang mata meredah perjalanan waktu malam bagi mengelak panas teriknya sinaran matahari. Tidak perlu lagi mengalami kelenguhan kaki kiri mengimbangi cluth semasa jalan sesak dan terhenti-henti. Dan aku tidak bersendirian lagi memandu sejauh permusafiran itu, sebaliknya isteriku lebih berkeyakinan menjadi pemandu pengganti.

Ketibaan kami di kampung kebiasaannya akan disambut mesra oleh ibu mertuaku. Keseronokkan dan keceriaan terpancar jelas pada wajahnya. Maklumlah berbulan-bulan lamanya terpisah jauh dari anak kesayangan. Inilah ketikanya dapat bertemu dan melepaskan rindu. Anak-anak ku keseronokkan tidak terkata. Bebas bermain di sekeliling rumah, berlari bersama sepupu-sepupu mereka meniti batas bendang, berenang di tali air sambil menangkap anak-anak ikan. Mandi air kolah yang dingin kerana disalirkan dari puncak gunung. Kebebasan yang sangat bermakna, berbanding tinggal di taman perumahan. Penuh dengan hiruk pikuk kenderaan. Karbon monoksida menjadi bauan. Anjing-anjing berkeliaran, yang boleh mengancam keselamatan.

Aku…? Sudah pastinya gembira melihatkan keseronokan mereka.
Penat..? tidak usah ditanya… berbaring seketika di bawah rumah bagi menghilangkan lelah sambil menanti waktu berbuka. bertemankan pemandangan sawah padi luas terbentang, dipagari dengan kehijauan gunung ganang dan belaian angin bendang sepoi-sepoi bahasa, membuatkan aku terlena….

“Abah, oo abah, bangun la, dah masuk asar ni… jom solat.” sayup-sayup terdengar suara anak perempuan ku memanggil… Apabila membuka mata, aku dapati diri aku berada di atas kusyen ruang tamu rumahku….  Rupanya itu semua hanyalah sebuah kenangan yang tak mungkin dapat diulang. Sudah tiada lagi nasihat lembut dari seorang ibu mertua, tak kan terdengar lagi kata-kata berloghat siam patani nya kepada ku yang berketurunan bugis jawa. Tidak akan kelihatan lagi senyuman manis nya tatkala aku tidak memahami bahasa ucapanya… Kerana pada tanggal 18 december 2017 merupakan tarikh perpindahan ibu mertua ku dari dunia ke alam akhirat. Kegagalan semasa melakukan proses pembedahan membuang kanser pada bahagian pehanya.. berehatlah dengan tenang dikau disana wahai ibu. Semoga kasih sayang dan rahmat dari Allah sentiasa dicurahkan keatas roh mu. Masih segar diingatan saat-saat akhir kau tinggal bersama kami. Walaupun tidak begitu lama, namun cukuplah saat-saat berharga itu menjadi penebus kerinduan terhadap anak kesayangan mu. Maafkan aku ibu kerana terpaksa membawa anak mu tinggal berjauhan dari mu. Aku menyedari kerinduan dan kesepian yang kau tanggung selama aku menikahi anak mu, namun sebagai insan kerdil yang hidup serba kekurangan aku tidak mampu membawanya pulang selalu. Maafkan aku ibu…

Sesekali, kerinduan ini merobek hati, namun aku sedar itu semua telah tertulis sejak azali. Pasti dan pasti kami akan menyusulimu suatu masa nanti. Doa dan harapan ku semoga Allah akan menyatukan kita semula di dalam syurga Nya. Amiin ya Robbal alamin… dari kejauhan dan kerinduan ini aku titipkan kiriman Al-Fatehah untuk mu ibu..




No comments:

Post a Comment