Sunday, May 24, 2020

1 sYawAL 1441 hiJRaH


Hari ini ahad bersamaan 24 may 2020

Merupakan hari diharamkan berpuasa bagi seluruh umat Islam. Hari kembali kepada fitrah kehidupan. Hari meraikan kemenangan setelah sebulan mendidik dan menundukkan hawa nafsu. Alhamdulillah Allah masih bagi peluang kepada ku berhari raya dalam menyambung sisa-sisa kehidupan ini.

3 fasa berbeza bagi diriku menyambut aidilfitri setelah bergelar bapa.

Fasa pertama.
Dari awal perkahwinan, sehingga usia anak-anak ku mencecah belasan tahun.
Kami menyambut aidilfitri di kampung isteri ku. Bermula malam tadi, sebaik diumumkan hari ni raya, suara takbir memecah keheningan malam. Menggantikan suara cengkerik yang kebiasaannya menemani sepanjang malam ku dikampung. Suara takbir memuji kebesaran Illahi bersahut-sahutan dari corong pembesar suara masjid dan surau. Dengan penuh semangat tanpa mengenal ngantuk mahupun penat Jemaah masjid dan surau bertakbir sehinggalah selesai menunaikan solat sunat aidilfitri.

Selepas menunaikan solat subuh, ibu mertua ku sibuk menghidangkan juadah raya. Kerana kebiasaanya bagi masyarakat dikampung ini, mereka akan menziarahi kubur sebelum menunaikan solat sunat aidilditri. Memandangkan rumah ibu mertua ku bersebelahan dengan tanah perkuburan, lazimnya selesai menziarahi kubur, mereka akan singgah beraya dirumah ibu mertua ku terlebih dahulu. Secara tak langsung aku akan  menemankan tetamu yang datang itu sambil bersarapan sekali. Maklumlah aidilfitri ini kita disunatkan menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat raya berbanding aidiladha. Pada mula-mula perkahwinan dahulu aku berasa hairan dengan rutin masyarakat dikampung ini. Ye lah, mana pernah berlaku di Johor menziarah rumah orang selepas subuh. Tapi lama kelamaan aku sudah lali dengan budaya ini.

Selesai menunaikan solat sunat aidilfitri yang kebiasaannya diadakan pada jam 9 pagi, aku dan anak-anak terus balik kerumah, mahklumlah kami bukannya kenal sangat penduduk kampung disini. Terasa malu pula hendak singgah beraya dirumah mereka jika tidak ditemani isteri. Sekembalinya kami kerumah, kami akan bermaaf-maafan, bermula dari memohon maaf dari ibu mertua ku, diikuti dengan tuk perempuan isteriku, aku, isteri dan diakhiri oleh anak bungsu lelaki ku.

Selesai bermaafan, kami akan bergegas ke rumah ayah mertua ku, yang terletak di Tg. Pari, kira-kira setengah jam perjalanan. Di rumah ayah mertua, kami tidak begitu lama. Sekadar menghantar sedikit juadah raya sebagai tanda ingatan, menjamah juadah raya yang disediakan dan bersembang ringkas bersama ipar duai ku sahaja. Mereka faham akan keadaan ini, mengapa kami bertandang seketika sahaja di pagi raya.

Selaku anak sulong dan telah bercerai lama dari suaminya, ibu mertua ku kembali tinggal bersama mak dan bapaknya. Maka rumah yang kami tumpangi itu sudah tentulah menjadi kunjungan wajib adik beradik ibu mertuaku. Oleh sebab itu, kami mesti cepat-cepat pulang. Maklumlah kalau ditinggalkan ibu mertua ku bersendirian dengan ibu nya, sudah tentu kelam kabut dibuatnya nanti nak melayan puluhan, malahan ratusan tetamu yang datang tak putus-putus.

Tambahan pula memang dari kecil setelah kedua ibubapa nya bercerai, isteriku kurang rapat dengan ayahnya. Bukan kerana sikap anak derhaka, tapi ayah telah berkahwin lain dan mempunyai anak-anak baru, sedangkan ibunya terus menjanda dan hanya mempunyai satu-satunya anak kesayangan nya iaitu isteriku.

Lagipun selama kami bercuti raya dikampung bukan hanya sekali kami mengunjungi ayah. Memandangkan jarak rumah antara mereka hanyalah setengah jam, kami sering berulang alik meziarahi ayah mertua ku.

Dirumah, telah sibuk dan hiruk pikuk dengan kehadiran adik beradik ibu mertua ku. Sepupu sepapat memenuhi ruang tamu, dapur mahupun di bawah kolong rumah. Kami terpaksalah bertindak sebagai tuan rumah membantu ibu. Membuat air. Menambah mana-mana kueh ataupun lemang yang telah habis. Keadaan sebegitu berlarutan sehingga kemalam hari. Maklumlah adik beradik ibu mertuaku seramai 11 orang, sepupu isteriku melebihi 50 orang, anak saudara… tak terkira banyaknya. Itu belum lagi dicampur dengan adik beradik tuk dan salasilah keturunannya… pendek kata kalau nak buat kenduri tak payah jemput jiran, kumpulkan saudara mara je dah boleh abis seekor lembu.. Penat sepanjang hari tak usah ditanya. Ngantuk sudah semestinya. Namun itulah dikatakan kemeriahan berhari raya.

Menjelang hari raya kedua, barulah giliran kami mengunjung balas pakcik dan makcik. Kebiasaannya ibu tidak turut serta, kerana dia menguruskan tuk yang telah uzur. Niat dihati, mahu je aku angkut kedua-duanya. Tapi tuk seringkali menolak atas faktor keuzurannya. Begitulah sehingga cuti kami berakhir dan pulang ke Johor.

Di Johor, akan bermula satu lagi episod raya. Kebiasannya kami telah ketinggalan konvoi raya adik beradik ku. Namun itu tidak merencatkan kami untuk beraya kerumah mereka mahupun saudara mara. Maklumlah di Johor raya kan sebulan.

Fasa kedua raya.
Setelah 2 tahun permergian ibu mertua. Kami sudah tidak lagi pulang beraya di Kedah, sebaliknya kami akan pulang pada awal ramadhan ataupun sebelum aidiladha nanti. Raya di Johor seakan menjadi perkara yang pelik pula bagiku. .. kenapa pelik…? maklumlah berbelas tahun lamanya aku menyambut aidilfitri diutara. Dikelilingi suasana kampung yang masih dara. Sawah bendang luas terbentang,. Keriuhan sanak saudara yang ramai tak kira… Perkara sebaliknya berlaku di Johor. Selepas menunaikan solat sunat aidilfitri, barulah kami akan bertolak ke rumah ibu. Tidaklah jauh jaraknya hanya sekitar 40 minit perjalanan. Sudah pasti tiada rasa nikmat menempuh satu perjalanan pulang ke kampung. Sepertimana bait-bait lirik lagu balik kampung, dendangan Allahyarham Sudirman. ‘perjalanan jauh. tak kurasa, kerna hatiku melonjak sama’. Sampai dirumah ibu, bukanlah suasana kampung yang menjadi hidangan mata, sebaliknya hanyalah deretan hutan batu taman perumahan. Kami hanya terperap di rumah, menikmati juadah ketupat, lontong, kuah kacang dan kueh raya, sambil menonton tv. Sesekali kakak dan abang ku bersama anak beranak nya datang. Duduk sejam dua. Mereka pun pulang. Seketika nanti adik-adik ku pula datang bersama keluarga mereka, dan pulang juga kerumah masing-masing. Maklum lah mereka sekariah dengan ibuku. berjalan kaki sahaja boleh sampai ke rumah ibu.

Penat atau ngantuk, baik mereka balik kerumah masing-masing bebas tidur membongkang, dari bersempit-sempit dirumah ibu. Aku kebiasaanya akan tidur semalaman dirumah ibu. Sebelum pulang kerumah pada petang hari raya kedua,aku akan singgah kerumah adik-beradik yang berdekatan sambil bermarhaban, itupun kalau cukup korum.

Hari raya ketiga semua telah kembali berkerja. Kunjungan raya hanya berlaku pada sebelah malam ataupun hujung minggu sahaja. Menunggu adik beradik, anak saudara mahupun rakan sekerja.

Fasa ketiga raya.
Tahun ini adalah tahun yang cukup berbeza bagi kami dan keseluruhan rakyat Malaysia. Kerana pandemic covid-19 seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan agar beraya dirumah sahaja. Bukan setakat itu, malah telah hampir 3 bulan lamanya kami berkurung dirumah. Aku sendiri pun tak tahu sampai bila akan berkurung begini.. Keluar hanya membeli barang keperluan makanan, solat fardhu dan tarawikh berjemaah dirumah, tiada solat fardhu jumaat jauh sekali solat sunat aidilfitri.

Penangan covid ini juga telah membuka lembaran baru dalam sejarah hidupku, mengimami solat sunat tarawikh dan aidilfitri dirumah. Tahun hadapan belum tentu peluang seperti ini dapat aku rasai lagi. Selesai solat sunat raya, kami bermaafan sesama kami. Menikmati juadah raya, sambil menonton tv. Tidak perlu bergegas ke rumah ibuku dan tidak perlu menunggu kehadiran tetamu.

Inilah sejarah baru dalam perjalanan hidup ku, dari kecil tidak pernah aku menyambut raya seperti ini, jauh sekali terbayang pada tahun 2020 yang dikatakan serba canggih ini sambutan aidilfitri jadi sebegini.. namun bersyukur kepada yang Maha Esa kerana masih mengurniakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam. Jika diamati perintah berpuasa secara tidak langsung dapat mendidik jiwa insan agar mengenangkan mereka yang dhaif dan kemiskinan, hidup dalam kelaparan. Perintah berkurung PKPB ini pula dapat memberi sedikit gambaran mungkin beginikah saudara-saudara seIslam diseluruh dunia yang tinggal di negara bukan Islam. Dan lebih menyedihkan lagi, mungkinkah inilah perasaan mereka yang hidup disebuah negara yang terlibat dengan kancah peperangan.

Wallahuaklam…



No comments:

Post a Comment