Monday, May 11, 2020

bAJu rAyA rUKuNtEtAngGa


tajuk ni takde kena mengena dengan aku pun. Saje aku teringat pada satu watak Ujang dalam kisah bersiri aku budak minang melalui majalah humor Gila-Gila edisi 80’an

bercerita pasal baju raya. Tahun ni anak-anak ku terpaksa membeli baju raya secara online. Maklumlah PKP berkuatkuasa dari bulan rejab sehinggalah kini. Mana ada bazar baju raya mahupun bazar ramadhan. Pasaraya pun hanya membuka seksyen barangan keperluan harian sahaja. Namun Alhamdulillah, masih ada medium lain untuk membelikan baju raya anak-anak. Kebiasaannya baju raya anak-anak, akan kami beli sebelum masuk bulan ramadhan, maklum je lah waktu berpuasa boleh terjelir lidah kalau nak tawaf satu pasar kemboja yang menjual pakaian. Baik di kota tinggi ataupun di sg tiram. Keluasannya menyamai sebuah padang bola.

Teringat aku semasa zaman kanak-kanak Perkataan baju raya memang takde dalam kamus kehidupan kami adik beradik. berbanding dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Di sekolah mereka sibuk bercerita tentang baju raya yang berbagai warna. Ada yang mendapat sepasang seorang, tidak kurang yang mendapat 2 pasang dari ibubapa mereka. Berbagai reaksi dan kemegahan diri masing-masing terserlah ketika menceritakan baju raya mereka. sebaliknya aku hanya mendiamkan diri sambil mendengar dengan tanpa rasa minat perbualan tentang baju raya ini. Kerana aku sedar, aku tidak seperti keluarga mereka yang mempunyai lebihan simpanan kewangan. Bagi kami sekeluarga, seandainya ada makan dan pakaian harian pun sudah bersyukur. Lupakanlah sahaja hasrat mengimpikan sepasang baju raya baru.

Baju raya kami hanya akan mewarisi dari abang kepada adik. Itu pun sekiranya baju itu telah ketat dipakai oleh abangku. Dan baju raya warisan itu hanyalah sehelai baju, tanpa seluar, bukanlah sepasang baju raya… Bagaimana dengan seluar?.. kami hanya memakai seluar panjang harian sahaja. mungkin kalian  membayangkan baju lusuh yang aku pakai, kerana mewarisi dari abang-abangku. Ye memang benar. Namun ia tidaklah terlalu lusuh. Kerana kebiasaannya ibu akan menyimpan semula baju-baju raya tersebut apabila habis musim raya. Ibu akan menyimpan elok-elok didalam ikatan kain, dan diletakkan di dalam kotak kayu yang bertutup rapat. Bagi mengelakkan dari digigit oleh tikus.

Baju-baju raya tadi hanya akan dikeluarkan semula pada hari raya aldiladha nanti ataupun pada aidilfitri tahun berikutnya.  Seandainya tahun berikut itu badan abang aku telah membesar dan tak muat baju tahun lalu, maka ia akan menjadi rezeki aku pula. Tapi bagi aku, baju raya tahun lepas walaupun ketat sedikit ia masih menjadi milik aku juga. Sebab kedua-dua adik aku adalah perempuan. Takkan mereka nak memakai baju raya lelaki…

Seingat aku, pernah sekali aku mendapat baju raya baru berwarna putih.. kenapa putih? Kebetulan baju sekolah agama ku telah terlalu lusuh. Itu pun baju yang aku warisi dari abang-abangku. Maka tahun itu ibuku menjahitkan sepasang baju raya baru berwarna putih, supaya selepas musim raya nanti baju itu boleh aku gunakan untuk ke sekolah agama.

Masa berlalu, musim berubah. Meningkat ke zaman remaja setelah tamat persekolahan, aku telah berkerja. Dan telah mampu membeli baju raya sendiri disamping membelikan baju raya untuk adik-adik. Alhamdulillah, merasa juga bergaya dengan baju raya baru. Bukan sekadar sepasang baju raya, malah kami telah mampu membeli aksesori baju raya termasuk sampin. Pada usia sebeginilah baru aku dapat menikmati beraya dengan baju baru. Malah aku telah mampu memberi duit raya kepada kedua ibubapa ku… Alhamdulillah, syukur di atas setiap kurniaan Mu ya Robb.

Teringat aku pada satu pagi aidilfitri. Selesai dari menunaikan solat hari raya di masjid jamek Ulu Tiram. Aku bergegas pulang untuk memohon maaf dan mengucapkan selamat hari raya kepada kedua ibu dan abah ku. Selesai mohon maaf aku hulurkan sampul duit raya berisi note lima puluh sebanyak 3 keping. Kepada mereka.. selang beberapa ketika, abah ku bertanya kenapa bagi duit raya banyak sangat. Aku menjawab selamba. “man dapat bonus”. Zaman itu, 150 sudah dikiranya banyak, berbanding sebulan aku berkerja berhempas pulas, pendapatan hanyalah 750 ringgit.



No comments:

Post a Comment