Friday, May 1, 2020

sEpoHOn kAYu dAuNnYa riMBun


hari ini jumaat. 8 ramadhan 1441H bersamaan 1 may 2020.

Hari pertama dalam bulan May
Hari ke 8 umat Islam di Malaysia berpuasa.
Jumaat ke 2 dalam bulan ramadhan
Tinggal lagi 22 hari sebelum ramadhan ini pergi dan digantikan pula dengan kehadiran syawal.

hampir 4 dekad yang lalu, pada waktu sebegini kebiasaannya kedai stationary mahupun kedai-kedai menjual surat khabar telah mula menjual pelbagai jenis kad raya

kad raya?
Ye, kad raya..
Mungkin anak-anak zaman sekarang akan mengajukan soalan ini, seandainya dikatakan kepada mereka tentang kad raya. Berbeza dengan anak-anak seusiaku pada masa dulu. Kad raya ini telah sinonim dengan kehadiran bulan ramadhan. Ada pelbagai karektor dan variasi. Ada yang khas ditujukan kepada ibu bapa, guru-guru, sahabat handai, tidak kurang juga yang khas ditujukan kepada pasangan. Ada yang sehelai, ada juga yang berlipat dua. Terdapat pelbagai saiz dan harga, sehinggalah ada yang mempunyai muzik apabila dibuka.

Sebagai seorang yang masih bergelar kanak-kanak pada masa itu, sudah semestinya kad raya pilihan aku adalah yang tidak dikhususkan kepada sesiapa. Tidak kepada ibu bapa, guru, atau sebagainya. Sebaliknya aku lebih suka memilih kad raya yang memaparkan lukisan-lukisan pemandangan, suasana kampung, bunga-bungaan mahupun gambar haiwan. Sudah semestinya kad raya ini akan aku tujukan kepada rakan-rakan. Baik rakan di sekolah ataupun rakan yang telah berpindah.

Bagi penerima kad raya ini, semestinya mereka akan mengirimkan semula kad raya kepada ku sebagai tanda balasan. Sehinggakan terdapat 1 pantun yang memang sinonim dengan kad raya ini..

Pecah kaca, pecah gelas,
Sudah baca, harap balas,

Haha, itulah diantara pantun yang sering ditulis kan bersama kiriman kad raya. Pada penghujungnya semua kad raya yang aku terima, akan dikumpulkan bersama-sama kad raya yang diterima oleh bapa dan adik beradik ku. Menjelang sehari dua sebelum berakhirnya ramadhan, kami akan mencari pokok renek yang tumbuh meliar di seketar rumah untuk dijadikan sebatang pokok kad raya. Pokok yang kami pilih biasanya berketinggian sekitar 4 kaki, lalu dibersihkan dan dibuang daun-daunnya. Dan kami akan tanamkan di dalam pasu. Seandainya tiada pasu yang kosong kami akan gunakan apa-apa sahaja tin yang bersaiz besar. Masukkan tanah, lalu, tanamkan pokok yang telah kami bersihkan tadi.

Kad raya, akan kami ikat dengan benang, lalu digantungkan di dahan-dahan dan di ranting-ranting pokok tersebut. Semakin banyak kad raya yang kami terima, semakin penuhlah ruangan pokok tersebut. Dan ini akan menjadikan pokok kad raya tersebut akan lebih kelihatan menarik dan subur. Dari jumlah penerimaan kad raya itu kebiasaannya, menjadi tolok ukuran seberapa ramai rakan-rakan yang masih mengingati kita. Dan seperti kebiasaannya, aku adalah yang paling sedikit menerima kad raya berbanding abang dan kakak ku. Maklumlah aku bukannya mempunyai banyak duit untuk membeli kad raya. Kalau ada pun hanyalah duit belanja sekolah, yang aku korbankan untuk membeli kad raya. Semakin banyak kita menghantar kepada rakan-rakan, maka semakin banyaklah juga balasan yang akan kita perolehi.

Bagi mencantikkan lagi pokok kad raya, kebiasaanya kami akan bungkuskan tin atau pasu dengan kertas nipis berwarna warni. Kertas yang kebiasaannya dijadikan sebagai bunga manggar. Seandainya masih ada lebihan kertas bunga manggar, kami akan lilitkan pada bahagian batang dan dahan-dahan pokok kad raya, dan mengguntingkannya halus-halus untuk ditaburkan di pangkal pokok kad raya, bagi menutupi tanah yang menjadi paksi pokok tersebut.

Setelah selesai semua kerja-kerja. Pokok kad raya tersebut akan diletakkan satu sudut ruang tamu untuk dijadikan sebagai hiasan.

Kini, zaman dan teknologi semakin maju dan canggih. Kad raya tradisional telah digantikan dengan ucapan raya digital. Kebiasaannya sehari sebelum berakhir ramadhan barulah ucapan raya digital akan dikirimkan. Hanya beberapa detik ucapan raya digital telah sampai kepada penerimanya melalui medium whattsap, wechat, michat, instagram dan sebagainya. Berbanding dengan kad raya yang dipos memerlukan masa yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya.

Biar apapun bentuk kad raya mahupun ucapan raya digital, apa yang penting adalah bagaimana cara mana kita menghargai erti sebuah pershabatan. Dan lebih lagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Wallahuaklam


gambar yang aku ambil dari 'uncle google', amat mustahil lah untuk aku merakamkan gambar pokok kad raya buatan kami sendiri, kerana zaman tu masih belum ada kamera digital dan jauh sekali memori kad.



No comments:

Post a Comment