Wednesday, May 6, 2020

dAiRY raMaDhAn kU


6 may 2020 rabu, bersamaan 13 ramadhan 1441H

teringat sewaktu zaman kanak-kanakku. Waktu-waktu sebegini kebiasaannya kakak ku berdua sedang sibuk membuat kueh raya. Pelbagai jenis dan warna-warna kueh raya yang dikirakan moden pada zaman itu. Ada semperit, ada biskut dam, ada biskut kacang, ada tart nenas, biskut nestum dan pelbagai lagi ntah apa nama-namanya.

Tabiat akak aku pula suka memulakan proses membuat kueh raya ini selepas waktu berbuka. Maklumlah pada waktu siang mereka juga sibuk berkerja. Menguli, mengadun, mencetak, akan mereka berdua lakukan bersama. Manakala aku dan kedua abang ku akan menunaikan solat tarawikh dahulu di masjid. Sekembali dari masjid barulah tugasan untuk kami bermula. Kami akan mula membakar biskut-biskut raya tadi didalam oven butterfly. Kadang kala menjelang ke waktu sahur barulah siap kami membakar kesemua biskut-biskut tadi. Penat dan mengantuk memang tidak boleh dinafikan. Kadang kala sampai kami terlelap di tepi oven. Nasib baiklah sessi persekolahan kami pada sebelah petang.

Manakala bagi ibu ku pula, setiap tahun hanya membuat 2 jenis kueh raya tradisional. Iaitu bahulu dan rempeyek. Kebiasaannya rempeyek kacang hijau lah menjadi pilihan ibuku. Ada yang mengatakan rempeyek kacang hijau itu sebagai tumpi… ah.. lantaklah. Bagi aku sama sahaja. Rempeyek ke, tumpi ke, apa yang penting bagi aku semua itu boleh menaikkan mood raya. Sebaik sahaja timbul kisah tentang kueh raya, pastinya hari raya akan menjelma tidak lama lagi.

Maklum lah pada zaman dahulu agak susah untuk menikmati kueh-kueh raya bukan pada musimnya. Tidak seperti zaman sekarang, di pasaraya sentiasa ada menjual kueh-kueh mahupun biskut raya.. Begitu juga lagu-lagu raya hanya boleh didengari pada minggu-minggu akhir ramadhan, tidak seperti zaman sekarang, setiap masa boleh mendengar lagu raya dari youtube. Tapi awas jangan bukak volume terlalu kuat. Takut-takut nanti jiran sebelah tuduh kita buang tabiat pulak….

Rutin ibuku pula, kebiasaannya dia akan membakar bahulu pada hari cuti sekolah hujung minggu. Waktu begini bolehlah kami membantu ibu untuk membakar bahulu. Cerita pasal bahulu adalah cerita yang boleh menimbulkan berbagai perasaan. Seronok sebab, pastinya hari raya akan menjelma tidak lama lagi. Penat, sebab kami adik beradik ditugaskan memukul telur dan gula bermula dari pagi sehinggalah selesai. Kadangkala boleh mencecah sehingga waktu isya’. Memang tak pergi tarawikh la gamaknya. Mana tak nya, sekali membuat bahulu, ibuku akan mengadun sehingga 30 bijik telur. Yang boleh menghasilkan sehingga 2 tin biskut yang besar. Manakala pembakarnya pula hanyalah 1 adunan tembaga. Ada bentuk ayam, ikan mas, kerang dan berbagai lagi.

Apa boleh buat, hanya itulah satu-satunya kemampuan abah ku membeli adunan tembaga pembakar bahulu. Kebiasaanya ibu akan membakar bahulu di dapur kayu luar rumah. Begitu juga dengan rempeyek. Ibu akan menggoreng rempeyek pada hujung minggu terakhir ramadhan. Alasan nya supaya rempeyek tadi tidak cepat lemau. Namun kerja-kerja menggoreng rempeyek tidaklah seteruk memukul telur bergilir-gilir dari pagi sampai ke malam.

Rempeyek hanya memerlukan adunan cair tepung bersama bahan-bahan adunannya di dalam tin besar. Apabila mula hendak menggoreng ibu akan pindah sedikit ke dalam besen dan dicampurkan dengan kacang hijau yang telah direndam semalamam. Lalu dicurahkan dengan senduk di bibir minyak panas. Seringkali juga aku akan mengambilalih tugasan ibu untuk menggoreng rempeyek. Alah bias tegal biasa. Maklumlah aku dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Membuat kerja-kerja dapur itu sudah biasa bagi kami. Malah bukan setakat kerja-kerja dapur sahaja. Pada usia ku seawal 10 tahun aku telah membantu abah membina rumah yang kami diami itu. Tidak ketinggalan dengan kedua-dua abang ku juga.

Kini, semua itu telah menjadi sebuah kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin dapat diulang. Ibu ku semakin lemah dan tidak berdaya, meniti sisa-sisa usia tuanya. Abah telah lama pergi menghadap Pencipta nya. Adik beradik ku pastinya sedang sibuk melayan kerenah anak-anak dalam usaha membesarkan mereka. Dan sudah pastinya kami sedang melalui apa yang dilalui oleh ibu dan abah suatu masa dahulu. Meskipun kehidupan kami pada masa dahulu hanyalah mencukupi sekadar yang perlu, namun itu adalah jauh lebih baik berbanding mereka-mereka yang serba kedaiffan. Sesungguhnya kehidupan aku dulu telah menjadikan aku insan yang tahu menghargai setiap hikmat yang dikurniakan.

timbul persoalan dibenak ku… adakah anak-anakku menikmati setiap kesusahan dan kekurangan dalam menjalani kehidupan ini sebagai kemanisan. Atau mungkinkah mereka menganggap setiap kekurangan adalah kepahitan yang memeritkan.. wAllahuaklam




No comments:

Post a Comment