Monday, June 22, 2020

kEnANgaN zAmaN kANaK-kanAk ku



aTOk vS jEmAn

sepanjang tempoh PKP yang lalu aku banyak menghabiskan masa di depan laptop usangku. Menaip dan meluahkan perasaan melalui sebuah penulisan. sedang aku memerah otak menyusun bait-bait perkataan. Tiba-tiba anak perempuan ku bertanya, “abah, kenapa abah tulis nama abah jeman?” lama aku merenung mukanya dalam mod loading, lalu aku sekadar tersenyum kerana soalannya telah mengingatkan aku pada seseorang kawan ketika zaman kanak-kanak dulu. Ye, seorang kawan, sebaya dengan ku, sekelas dengan ku semasa di sekolah kebangsaan ulu tiram dulu, malah duduk bersebelah dengan ku. Mohd Nizam bin Shamat namanya. Orangnya kurus tinggi. Tinggal di sg tiram. Hobinya adalah melukis. Setiap kali cikgu tidak masuk kelas mengajar atau pada masa-masa terluang dia akan melukis. Baik lukisan kartun mahupun lukisan pemandangan.

Disebabkan aku duduk bersebelahan dengannya, aku selalu menjadi penonton setia setiap kali dia meluahkan hasil nukilannya. Tak cukup di atas kertas lukisan, abis buku-buku sekolah dilukis. Begitu seninya jiwa anak muda ini. Seandainya disalurkan kearah yang betul mungkin suatu masa nanti beliau boleh menjadi seorang artis yang berjaya. Pernah juga beberapa keping lukisannya diberikan kepadaku. Setiap kali selesai melukis dia akan menandatangani lukisan tersebut dengan nama pena nizam arjuna.

Tapi ini kisah tentang kawan aku, nizam arjuna. Mana jawapan dari soalan anak ke2 ku tadi..? sebenarnya dialah yang suka memangil namaku jeman, atau kadang kala ditambahnya menjadi jeman poklat. Aku sendiri tak tau apa makna poklat tu. Jeman itu memang sudah biasa bagi ku, kerana dikampung ibu ku, aku dipanggil jeman oleh mak long ku.. mak long ?.. teringat pula aku pada maklong yang kami panggil namanya wak.

Pernah sekali semasa zaman remaja, aku sampai ke kampung lewat malam. Kerana perlu manghabiskan kerja syif petang. Selepas aku meletakkan kereta disuatu sudut halaman rumah, bersebelahan pokok kelapa, aku berjalan terhendap-hendap dalam kegelapan malam menuju ke pintu dapur untuk memberi salam, sebab bilik sepupuku bersebelahan dapur, jadi senanglah dia hendak mendengar salam ku. Maklumlah dah pukul 2 pagi. Pasti semua sedang lena diulit intan...


Dalam kegelapan malam itu aku berjalan teraba-raba dan memastikan langkah supaya tidak tersepak tunggul kayu. semasa melintasi bilik wak, aku semakin berhati-hati menyusun langkah kerana, tidak mahu mengganggu wak yang sedang tidur pada sangkaan ku, secara tiba-tiba…. kriekk tingkap kayu bilik wak terbuka luas dan terpacul sekujur tubuh benar-benar berada bersebelahan kepala ku..

kuss semangat!! terperanjat aku, dah la suasana kampung gelap gelita hanya disirami samar-samar cahaya bulan. Boleh tiba-tiba wak membuka tingkap, sambil tangannya kiri dan kanan terkangkang memegang daun tingkap, dengan rambutnya yang telah putih dan mengerbang. Sekali pandang tak ubah seperti nenek hantu yang sedang terbang. Tambahan pula bilik wak ditingkat atas rumah, manakala aku pula sedang berjalan dibawah. Bila mendongak keatas, kelihatan seperti dia sedang terbang…. Nasib baik tak gugur jantung aku. Dalam pada aku sedang kalut menyusun kembali degupan jantung yang telah naik mendadak,  selamba wak menyapa “jeman rupanya, wak ingatkan hantu”.. perrgh, boleh dia sangkakan aku hantu, padahal aku yang separuh mati keras, darah dah turun kekaki, terperanjat melihat dia yang macam hantu.. kini wak dah tiada lagi. dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun kedua aku mendirikan rumahtangga.

Berbalik pada kisah zaman sekolah, teringat pula pada kawan-kawanku. Dimanakah mereka semua sekarang berada. Apa yang sedang mereka lakukan. Seorang sahabat baik ku bernama Zulkibri bin Mohd Asli. Kami terpisah selepas tamat darjah 6, kerana beliau meneruskan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja, mungkinkah dia telah menjadi pegawai kanan tentera dikala ini.. Salimin bin Kasiran dan abang nya Malek. Dua beradik yang membesar hanya bersama seorang ayah, mereka tinggal berhampiran PULADA ketika itu… Kemana pula perginya Husairi, dari Kebun Baru estet ulu tiram. kami terpisah semasa tingkatan 4, aku berpindah ke vokasaional kota tinggi, manakala Husairi masuk ke vokasional Batu Pahat. kemana pula Abdul Razak bin Maniso, Aris bin Kassim dan ramai lagi. Doa dan harapan ku, walau dimanapun kalian berada, semoga sentiasa sukses menjalani alam dewasa bersama keluarga masing-masing. Al-Fatehah ku kirimkan kepada seorang sahabat baik ku semasa bersekolah rendah, Norizan bin Abu Bakar dari sg tiram. Semoga kau tenang disana bersama rahmat dan kasih sayang dari Allah. Berita kematiannya hanya aku terima selepas beberapa tahun pemergiannya. Kemalangan semasa menunggang motorsikal.

Atok?
Aku mendapat gelaran atok pula semasa aku berkerja kilang. Ada seorang rakan bernama Imran, tinggal bersama neneknya di felda ulu tebrau. tapi kami memanggil nya Toim. Aku sendiri tak tau dari mana dia dapat idea memanggil aku dengan gelaran atok. Yang pasti nama tu masih lekat sampai sekarang.. walaupun Toim telah berhijrah ke kuala berang, Terengganu mengikut isterinya. Kami masih berhubung melalui wasap grup ex-rakan sekerja. Sehingga kini mereka masih memanggil aku dengan gelaran atok dan aku selesa dengan nama itu.

Sebenarnya banyak lagi gelaran aku yang diberikan oleh kawan-kawan. Salah satunya kawan-kawan abang ku Syah, memanggil aku engge, ringkasan dari perkataan kerengge. Kenapa kerengga? Mungkin jawapannya ada pada mereka. Tapi nama ni tak terlalu lekat denganku, kerana jarang sekali, aku berjumpa dengan rakan-rakan abangku melainkan semasa berkonvoi motosikal, sewaktu remaja dahulu.

Biar apa pun gelaran dan panggilan orang terhadapku, namun itu semua hanyalah istilah dari sebuah memori sehingga terciptanya gelaran tersebut. Dan aku berbangga dengan setiap gelaran yang diberikan, kerana bagi ku gelaran itulah yang membuatkan mereka mudah mengingatiku...

harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Dan pastinya nama yang ditinggalkan itu tidak kekal malah akan pudar lalu hilang ditelan masa…

Aku yang bergelar
SAWF YAMUT
bakal jenazah.

No comments:

Post a Comment