Tuesday, June 9, 2020

seDEkaT pErjALaNan mErEnTaSi wAkTU (part 2)


Mengislah diri setelah 1 dekad perjalanan merentasi waktu. Apa yang aku perolehi?... dah kaya kah aku?... dah bukak syarikat design plan ke aku?... dah menimbun kah harta aku?... dah banyak akaun bank kah aku?... dah menggunung kah harta aku?...

Semua soalan itu aku boleh jawab dengan hanya 1 jawapan… iaitu “belum, dan aku tidak perlukan semua itu”

Setiap insan yang bernyawa pastinya mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang berbeza-beza. Ada yang ingin menjadi kaya, ada yang ingin membina empayar, ada yang ingin menaikki tahta dan ada yang sekadar menginginkan bahagia. Ye, bahagialah yang aku cari. Terdapat berbagai definisi tentang bahagia. Ada yang mengatakan bahagia bila memperolehi banyak harta. Ada yang mengatakan bahagia apabila memperoleh wang berjuta. Ada pula yang berasa bahagia apabila bebas membuat apa sahaja.

Alhamdulillah aku tidak meletakkan matlamat hidup ku terlalu tinggi. Agar aku mudah melatih jiwa mensyukuri semua nikmat yang diberi dan merasa bahagia.

Setelah menamatkan kerja dari syarikat kontraktor. Aku lebih menumpukan perhatian kepada freelance draughtsman. Sama seperti seorang peniaga, ada kala banyak job, kadang kala sekadar yang perlu sahaja. begitu juga dengan pendapatan ku, sesekali melebihi keperluan, kadang kala mendapat sekadar yang perlu saje. Alhamdulillah, Allah tidak pernah melupakan aku dalam mengagihkan harta kekayaan dan rahmat Nya.. Namun dari sudut masa, aku lebih mempunyai masa yang berkualiti bersama keluarga. Anak-anak tidak lagi aku hantar ke taska, sebaliknya aku menguruskan sendiri keperluan mereka. Menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari.

Setelah mereka semua ke sekolah barulah aku mulakan kerja. Sebelum mereka pulang, aku menyiapkan makan tengahari dan menyediakan baju untuk mereka ke sekolah agama. Seandainya ada jiran yang tidak mengenali ku, pasti mereka akan menyangkakan akulah suri rumah manakala isteriku keluar berkerja. Biarlah apa mereka kata, asalkan aku bahagia.

Menyedari pendapatan freelance yang tidak menentu, aku perlu lebih tegas dalam menguruskan hal kewangan. Seandainya pendapatanku melebihi keperluan, aku akan menabung, apabila bila datang musim kemarau, aku akan mengorek tabung sekadar yang perlu… haha..

Bagi memenuhi masa yang kadang kala banyak terluang, aku menyertai Sukarelawan Pertahanan Awam. Boleh la memanfaatkan masa yang berlebihan dan menjadi sumber pendapatan kedua bagi ku. Maklumlah hidup di bandaraya. Aku memperolehi pendapatan extra sekitar seribu lebih sebulan. Lagipun penugasan di Pertahanan Awam tidak mengikat aku dengan masa. Bila aku berkelapangan, semua pelan telah disiapkan, barulah aku ke Pertahanan Awam. Hampir  setahun aku bersama Pertahanan Awam, aku telah ditawarkan untuk Menjadi Sukaralawan Simpanan Polis (SPJPAM).

Ahamdulillah, ini memudahkan lagi pengurusan masa bagiku, kerana semasa bersama Pertahanan Awam aku perlu berulang alik sejauh 25km, manakala bersama SP pula aku hanya perlu ke balai polis berdekatan saje. Dan balai pilihan bagi ku adalah balai polis Ulu Tiram. Hanya 7 minit perjalanan dan ia terletak diluar kawasan perumahan ku. Secara tidak langsung ini dapat mengelakkan aku dari menjadi seorang yang double standart. Maklumlah bila menjalankan amanah ditempat sendiri, pastinya aku akan bertemu dengan rakan-rakan mahupun orang-orang yang aku kenali. Seandainya mereka melakukan kesalahan pastinya aku kan serba salah untuk mengambil tindakan. Pada fikiranku ini akan melatih aku menjadi orang yang mengambil ringan kepada amanah yang dipertanggungjawabkan.

3 perkara yang aku lakukan berbeza dalam 1 masa. Melukis pelan. Menjadi paramedic di Pertahanan Awam dan menjaga ketenterawan bersama Polis. Mungkin sukar untuk kalian membayangkan bagaimana aku membahagikan masa… senang je sebenarnya. Aku akan mengutamakan keperluan mengikut keselesaan dan kelapangan masa ku. Walaupun terpaksa berkerja tidak menentu masa, namun, Alhamdulillah, aku rasa bahagia.

Hampir 4 tahun aku bergelar manusia bionik 3 dalam 1, haha.. akhirnya aku mendaftarkan sebuah syarikat pembuatan perabot… Dari mana datangnya idea menubuhkan Zaman senireka perabot ni?... Mana datang pengetahuan dalam bidang pembuatan ni?... Dan aku korek modal memulakan perniagaan ni?... akan aku ceritakan dalam entry yang lain… insyaAllah..

Kini setelah sedekat aku merentasi waktu, aku tidaklah menjadi kaya raya seperti yang mereka sangka, aku bukanlah jutawan yang mengumpul kekayaan, malah, aku bukan hartawan yang mempunyai asset berkoyan-koyan. Aku masih kekal sebagai insan biasa. Perlu berkerja untuk menyara keluarga, perlu menabung untuk hari tua.

Namun, bahagia yang aku cari itu telah lama aku nikmati. Aku tidak perlu memikikan bil kad kredit panjang berjela, tidak perlu keluar masuk bank menjelaskan hutang rumah mahupun hutang kereta. jauh sekali melarikan diri dari hutang ceti.. Alhamdulillah. syukur ke hadrat Illahi kerana tidak pernah melupakan aku dalam mengagihkan harta kekayaan dan rahmat Nya.

Mungkin ada yang mengimpikan sebuah Ferrari sebagai identity diri. Mungkin ada yang mengangankan sebuah banglo di tepi pantai. Mungkin juga ada yang mendigamkan sebuah rumah agam seluas taj mahal. Malah ramai juga yang sedang membina empayar untuk diwariskan kepada keluarga.

Biarkan lah mereka terus berusaha dan memburu impian mereka. Kerana bagiku memadailah sekadar apa yang aku perlu sahaja. Kerana aku yakin Allah tidak pernah melupakan aku dalam mengagihkan harta kekayaan dan rahmat Nya. Kerana ukuran bahagia bagi ku adalah bebas menjalani kehidupan tanpa bebanan hutang dan mempunyai masa secukupnya untuk mengumpul bekalan kesana…

Untuk anak-anak bagaimana?... aku menyakini kata-kata bahawa setiap insan yang lahir di dunia ini Allah telah menuliskan rezeki, jodoh malahan ajal bagi mereka. Bukan kah telah banyak pengajaran yang kita dengar, seringkali harta yang ditinggalkan bukanlah menjadi pembela kepada simati sebaliknya hanya menjadi perebutan dan perkelahian anak-anak…

Teringat aku pada pesan tuan guru dato hj ismail bin kamus, “kita hidup ni kena banyak beramal, kena cari masa, jangan asyik sibuk dengan urusan dunia. Esok kita mati baru terpikir nak beramal. Dah terlambat. Anak-anak sibuk buatkan tahlil mengharapkan mak bapak dia masuk syurga. Aik..! kita sendiri masa hidup tak nak beramal untuk masuk syurga. Bila dah mati sibuk pulak mengharapkan anak-anak kirim pahala untuk masuk syurga… itu kalau anak-anak ingat pada kita. Kalau anak-anak sibuk berebutkan harta?… abis laa.. ini saya nak pesankan selagi hidup kita beramal untuk diri kita. Ada duit lebih, sedekahkan, wakafkan untuk diri sendiri dan ibubapa kita. Semoga pahalanya berterusan bila kita dah mati esok… jangan terlalu berharap kepada anak-anak. Alhamdulillah kalau mereka ingat kirimkan pahala pada kita. kalau mereka sibuk..? haa jadi masa kita hidup ni beramallah untuk diri kita”

diantara ceramah dari Allahyarham tuan guru
berkaitan dengan persiapan menghadapi mati


No comments:

Post a Comment